Images
  • hawker (1)

Budaya penjaja S'pura sebagai warisan dunia UNESCO martabatkan makanan dan penjaja Melayu

BERITAmediacorp: Bayangkan jika hidangan-hidangan Melayu - seperti asam pedas, nasi lemak, lontong, mi rebus, putri salat dan abuk-abuk - menjadi terkenal di peringkat antarabangsa.

Semua ini boleh menjadi kenyataan seandainya permohonan Singapura untuk menyenaraikan budaya penjajanya sebagai Warisan Budaya Tidak Ternilai oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), diterima badan tersebut.

Bagaimana ini akan membantu menaikkan martabat makanan Melayu dan memanfaatkan para peniaga Melayu?

MENJAJA SATU BUDAYA SEJAK PERTENGAHAN ABAD KE-19

Budaya menjaja makanan sebenarnya sudah wujud sejak pertengahan tahun-tahun 1800an lagi di Singapura - iaitu lebih 150 tahun lalu dan terus bertahan hingga ke hari ini.

Antara makanan penjaja Melayu yang terus popular sekarang termasuklah sate, soto, nasi lemak, epok-epok dan ondeh-ondeh.

Singapura akan menyerahkan pencalonan rasmi untuk menyertakan budaya penjajanya ke dalam Warisan Budaya Tidak Ternilai UNESCO pada Mac ini. Secara tidak langsung, usaha ini juga memartabatkan warisan makanan Melayu sebagai sebahagian penting daripada budaya penjaja tempatan.

"Kami berharap kami dapat meletakkan budaya penjaja ini di peringkat antarabangsa, di pentas antarabangsa." kata Cik Asmah Alias, Timbalan Pengarah, Pendidikan dan Mendekati Masyarakat di Lembaga Warisan Negara (NHB).

Tambah beliau lagi: "Seluruh dunia akan lebih mengetahui tentang budaya unik di Singapura ini dan dalam masa yang sama mungkin akan menarik lebih ramai pengunjung ke Singapura kerana mereka ingin tahu apakah sebenarnya budaya penjaja ini."

MAKANAN MELAYU BUKAN ASING LAGI, PENUHI CITA RASA PELANGGAN ANTARABANGSA

Kesan limpahannya kepada makanan-makanan Melayu semestinya akan lebih positif lagi jika trend sekarang menjadi ukurannya.

"Kami ada beberapa orang putih, dia datang sini cakap hendak makan mi rebus. Kami pun macam, 'wah dah pandai makan mi rebus.' 'Cili?' 'Ya, cili.' Nasi lemak juga. Ada segelintir daripada mereka makan nasi lemak dengan sambal," kongsi Cik Norizwani Ismail, 49 tahun, yang membantu mengendalikan perniagaan arwah mertuanya - Hani Food Stall - bersama suami dan ipar-duai.


Cik Norizwani (kedua dari kiri) bersama suami dan ipar-duai meneruskan perniagaan yang dimulakan arwah mertuanya.

Perniagaan keluarga itu bermula dari sebuah warung nasi padang di hadapan panggung wayang Starlight dekat Alexandra Terrace sebelum berpindah ke pusat makanan Clementi West pada 1981 dan masih bertahan hinggalah sekarang.

(Gambar: Cik Norizwani Ismail)

Air tangan mereka mengekalkan resipi turun-temurun tidak sahaja mengubat rindu pelanggan-pelanggan sejati bahkan juga sudah mula diterima tekak warga asing.

"Saya rasa bangga yang bangsa asing pun sudah pandai makan makanan tradisional kita," ungkapnya sambil tersenyum.

IBARAT IKLAN GERGASI PERCUMA UNTUK MAKANAN MELAYU, JIKA DISENARAIKAN

Yang jelas juga, jika pencalonan itu diluluskan agensi Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu, ia ibarat satu iklan pemasaran gergasi buat makanan Singapura dan mampu memacu perniagaan penjaja Melayu di sini.
Pastinya, ini satu peluang keemasan untuk peniaga Melayu meluaskan lagi jangkauan pelanggan mereka, mentelah lagi kerana lebih 18 juta pelancong melawat Singapura tahun lalu.

Ini juga sekali gus peluang untuk menonjolkan aneka hidangan tradisional Melayu ke mata dunia.

Seperti kata seorang tokoh masakan Melayu, Aziza Ali: "Makanan Melayu boleh ke tengah sebab sedap."


Cik Aziza Ali.

"Kalau orang datang, orang makan, orang akan bercakap. Dia balik ke negeri mereka, dia kata, 'oh ini sedap'. Seri muka ini Melayu punya. Sedap," ujar beliau.

Sekarang ini, para pengunjung yang ke Singapura sudah secara perlahan didedahkan atau mendekati sendiri budaya penjaja di sini.

Namun, ia hanya di tempat-tempat tertentu seperti Pusat Penjaja Newton.

Maka itu, menurut Cik Asmah,: "Kami berharap ia akan menarik minat mereka (pelancong) untuk mengetahui lebih tentang makanan-makanan di Singapura di tempat-tempat lain."

STATUS WARISAN DUNIA BOLEH PACU PERNIAGAAN PENJAJA TEMPATAN MALAH NEGARA JIRAN

Nyata bahawa faedah yang boleh diperolehi daripada pengiktirafan budaya penjaja Singapura meliputi aspek langsung dan juga tidak langsung.

"Ini sangat bagus. Makanan kita akan meluas, perniagaan kita akan naik. Jadi ini satu yang boleh mengembangkan makanan Melayu ke luar negeri," tekan Cik Aziza.

Negara seperti Malaysia dan Indonesia, yang banyak berkongsi ciri-ciri masakan tradisi dengan Singapura juga secara tidak langsung mampu menerima tempias positifnya, jika makanan penjaja Melayu Singapura menjadi terkenal di tahap UNESCO.

- BERITAmediacorp/na

Top