Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Budak lelaki luka setelah serpihan konkrit jatuh ke atasnya di bilik air

Selepas seorang kanak-kanak lelaki cedera apabila bahagian siling konkrit di bilik air rumahnya terjatuh ke atasnya, pihak berkuasa perumahan awam mengingatkan para penduduk supaya mengambil tindakan awal apabila mereka mengesan tanda-tanda retakan di siling.

Anggaran Waktu Membaca:
Budak lelaki luka setelah serpihan konkrit jatuh ke atasnya di bilik air

(Gambar: Syasya DanialAlissa/Facebook)

Diterbitkan : 22 May 2020 11:31AM Dikemas Kini : 22 May 2020 11:35AM

SINGAPURA: Selepas seorang kanak-kanak lelaki cedera apabila bahagian siling konkrit di bilik air rumahnya terjatuh ke atasnya, pihak berkuasa perumahan awam mengingatkan para penduduk supaya mengambil tindakan awal apabila mereka mengesan tanda-tanda retakan di siling.

Dalam beberapa catatan pada Selasa (19 Mei), seorang pengguna Facebook dengan nama Syasya DanialAlissa berkata bahawa anaknya "sedang seronok bermain dengan air" di bilik mandi ketika kejadian itu berlaku.

Budak lelaki itu telah memancutkan air ke siling, tetapi beliau berkata bahawa siling itu "sudahpun retak sebelum beliau melakukannya".

Beliau kemudian memuat naik gambar serpihan konkrit di lantai, serta gambar anaknya yang terluka, sambil menambah bahawa "mimpi terburuknya menjadi kenyataan".

Kanak-kanak itu kemudian dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Dalam catatan susulan, Cik Syasya berkata bahawa Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan majlis bandaran yang menguruskan kawasan perumahannya sudah mengambil langkah susulan.

Menjawab pertanyaan Mediacorp pada Khamis, HDB menyatakan bahawa pegawainya mengunjungi flat itu pada Selasa dan mendapati terdapat konkrit menggelupas di siling bilik mandi.

"Kami telah membantu keluarga itu membersihkan serpihan akibat konkrit menggelupas itu, dan akan melakukan kerja pembaikan di flat itu pada Jumaat. Oleh kerana ini adalah flat sewa, HDB akan menanggung kos pembaikan."

HDB mengambil perhatian bahawa flat sewa itu berusia 45 tahun dan sebagai "bangunan lebih tua", ia terdedah kepada haus dan lusuh semula jadi yang boleh menyebabkan konkrit menggelupas.

"Konkrit terkelupas berlaku apabila batang besi dipasang dalam siling mula berkarat kerana kelembapan dan unsur berasid," jelasnya.

Lama kelamaan, ini menyebabkan siling konkrit retak dan terkupas, tambahnya.

"(Ini) cenderung berlaku lebih kerap di kawasan yang terdedah kepada kelembapan seperti dapur dan bilik mandi di mana kelembapan akan mempercepat proses karbonasi, yang menyebabkan konkrit terkupas.

"Bagaimanapun, konkrit terkupas tidak melibatkan struktur dan tidak akan menjejas keutuhan struktur bangunan."

APA YANG HARUS DILAKUKAN PEMILIK RUMAH

Dalam peringatannya kepada orang ramai, HDB menyatakan bahawa jika ada tanda-tanda konkrit menggelupas, para pemilik flat harus melakukan pembaikan dari awal untuk mengelakkan masalah itu daripada semakin teruk dan menjejas kawasan yang lebih besar.

"Sekiranya penyewa mendapati sebarang kerosakan seperti konkrit terkupas atau siling bocor, penyewa harus melaporkannya kepada HDB supaya HDB boleh melakukan kerja-kerja pembaikan yang sewajarnya," katanya.

Dengan penyenggaraan secara tetap, konkrit terkupas di dalam flat biasanya kecil dan boleh diperbaiki dengan mudah, tambahnya.

Maklumat lebih lanjut mengenai pembaikan konkrit terkupas tersedia di laman web HDB.


Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan