Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Budak lelaki 6 tahun hilang daya pendengaran setelah dilanggar e-skuter

Seorang penunggang skuter elektrik, yang merempuh seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun berdekatan Punggol Park sehingga menyebabkan kanak-kanak itu mengalami keretakan dan kehilangan daya pendengaran buat sementara waktu, dijatuhi hukuman penjara selama lima hari pada Khamis (7 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
Budak lelaki 6 tahun hilang daya pendengaran setelah dilanggar e-skuter

Neo Wei Chia, 42 tahun, mengaku bersalah atas satu tuduhan menyebabkan kecederaan atas tindakan cuai. (Gambar: Channel 8 News/Mr Su)

Diterbitkan : 07 Nov 2019 09:27PM Dikemas Kini : 07 Nov 2019 09:32PM

SINGAPURA: Seorang penunggang skuter elektrik, yang merempuh seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun berdekatan Punggol Park sehingga menyebabkan kanak-kanak itu mengalami keretakan dan kehilangan daya pendengaran buat sementara waktu, dijatuhi hukuman penjara selama lima hari pada Khamis (7 Nov).

Neo Wei Chia, 42 tahun, mengaku bersalah atas satu tuduhan menyebabkan kecederaan yang serius akibat perbuatan cuainya.

Dia mengaku gagal memeriksa keadaan di sekelilingnya semasa menunggang e-skuternya di kawasan Punggol Park Connector di Upper Serangoon Road pada petang 12 April 2018.

Mahkamah diberitahu bahawa Neo sedang menunggang e-skuter dengan "laju" di sebelah kanan taman berkenaan pada sekitar 6.30 petang pada hari kejadian.

Budak lelaki itu sedang membonceng basikal neneknya semasa menghampiri kediaman mereka di kondominium Riversails.

Dia kemudian memberitahu neneknya bahawa dia ingin turun dari basikal. Wanita warga emas itu kemudian terus mengayuh basikalnya, sedang cucunya berlari di sebelahnya.

Neo dapat melihat dengan jelas bahawa kanak-kanak lelaki itu sedang berlari, tetapi tidak memperlahankan e-skuternya, menurut Timbalan Pendakwa Raya R Arvindren.

Secara tiba-tiba, kanak-kanak itu menerpa dari sebelah kiri ke bahagian kanan laluan tersebut.

Oleh kerana Neo tidak berwaspada, dia merempuh budak itu dari belakang.

Mereka berdua terjatuh dan mengalami kecederaan, dengan budak lelaki itu mengalami pendarahan pada bahagian telinga kiri.

Mereka kemudian dibawa ke hospital. Kanak-kanak itu mengalami keretakan dan luka-luka pada bahagian bahu, lengan dan lututnya.

Dia juga mengalami kecederaan di telinganya dan hilang daya pendengaran buat sementara waktu. Kanak-kanak itu diberikan cuti sakit selama 14 hari.

Neo pula mengalami kecederaan di bahagian siku, jari dan lututnya.

Pihak pendakwa mengusulkan hukuman penjara selama seminggu, sambil menekankan tentang keselamatan pejalan kaki.

Atas kesalahan menyebabkan kecederaan akibat perbuatan cuai, Neo boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga dua tahun, didenda sehingga S$5,000 atau kedua-duanya sekali.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan