Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Budak 6 tahun maut digilis bas melintas jalan lebih awal dari ibunya

Budak lelaki berusia enam tahun dari India yang maut digilis sebuah bas tahun lalu didapati melintas jalan sebelum ibunya, menurut dapatan siasatan koroner pada Isnin (18 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Budak 6 tahun maut digilis bas melintas jalan lebih awal dari ibunya

Kemalangan di Choa Chu Kang Avenue 5. (Gambar: Facebook/Charlie Lim)

Diterbitkan : 19 Feb 2019 09:19PM Dikemas Kini : 19 Feb 2019 09:22PM

SINGAPURA: Budak lelaki berusia enam tahun dari India yang maut digilis sebuah bas tahun lalu didapati melintas jalan sebelum ibunya, menurut dapatan siasatan koroner pada Isnin (18 Feb).

Membentangkan dapatannya, Koroner Negara Kamala Ponnampalam berkata bahawa kanak-kanak mesti diawasi di jalan raya dan tangan mereka dipegang oleh orang dewasa.

Arul Dev Ashwin dilanggar bas pada pagi 24 Mei 2018 di Choa Chu Kang Avenue 5. Dia terperangkap di bawah bas dan dikejarkan ke Hospital Universiti Nasional (NUH) dan meninggal dunia pada pagi yang sama akibat beberapa kecederaan yang dialaminya.

Mahkamah difahamkan bahawa ketika itu Arul sedang bersama ibunya, Cik Nagarajan Lakshmi yang sedang dalam perjalanan ke kelas di Choa Chu Kang.

Dalam keterangannya, Cik Lakshmi mendedahkan bahawa beliau memegang tangan anaknya sambil memegang skuter luncur semasa melintas jalan raya utama di Choa Chu Kang Avenue 5.

Anaknya bagaimanapun melepaskan tangannya dan mula berjalan sekitar dua tapak di hadapannya ke pembahagi jalan.

Beliau kemudian melihat anaknya mengambil dua langkah dari pembahagi jalan dan dilanggar sebuah bas. Menurut Cik Lakshmi, bas itu terus bergerak sebelum ia berhenti, dengan anaknya terlentang dekat tayar belakang bas berkenaan.

Jenazah anaknya kemudian dihantar pulang ke India.

PEMANDU BAS TIDAK NAMPAK MANGSA SEHINGGALAH BERLAKU NAHAS

Semasa prosiding, pemandu bas SMRT itu, Encik Anuar Mahat, berkata beliau ketika itu sedang memandu bas nombor 983 dan tidak ternampak budak itu.

Beliau hanya menyedari tentang kehadiran budak itu selepas terasa impak nahas pada bahagian hadapan basnya. Encik Anuar kemudian melihat pada cermin depan bas dan mendapati sisi bas sudah melanggar budak itu.

Setelah menyedari basnya sudah melanggar budak enam tahun itu, Encik Anuar segera menghentikan bas dan menghubungi bilik kawalan untuk memaklumkannya tentang kemalangan tersebut.

Dua orang saksi - seorang penumpang bas dan pejalan kaki yang membelakangkan jalan raya - berkata mereka tidak tahu dari arah mana datangnya budak itu.

Dalam analisis titik buta, seorang ahli sains forensik mendapati bahawa budak berkenaan dengan ketinggian 1.18 meter itu mungkin terlindung daripada pandangan pemandu itu semasa dia berada di bahgian tengah pembahagi jalan.

Dia tidak kelihatan dalam kamera bas semasa berlaku kemalangan dan tiada rakaman video ditemui yang menunjukkan kemalangan sebenar.

Menurut koroner, "penting untuk ambil perhatian bahawa kanak-kanak biasanya mengikut gerak hati dan tingkah laku mereka biasanya sukar diramal".

Beliau menambah tumpuan kanak-kanak mudah beralih kepada perkara lain dan ini menyukarkannya dilihat oleh pemandu.

"Ibu bapa dan pengasuh kanak-kanak boleh gunakan peluang ini untuk mendidik kanak-kanak untuk mengenal pasti tempat yang selamat untuk melintas jalan, menjangkakan tingkah laku pemandu dan lebih awas terhadap keadaan lalu lintas," kata beliau.

"Langkah-langkah mudah ini boleh membawa kesan ketara dalam mengurangkan bilangan kanak-kanak yang maut di jalan raya kita."

Beliau menyifatkan kematian budak itu sebagai "satu peristiwa malang" dan menyampaikan takziah kepada keluarganya. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan