Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Budak 12 tahun antara 189 disiasat kerana kegiatan pinjaman wang tanpa lesen

Seramai 189 orang berusia antara 12 hingga 78 tahun sedang disiasat kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pinjaman wang tanpa lesen, kata Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Selasa (7 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
Budak 12 tahun antara 189 disiasat kerana kegiatan pinjaman wang tanpa lesen

Seorang pengguna mesin ATM (Gambar hiasan: iStock/PKpix)

Diterbitkan : 07 Dec 2021 08:57PM Dikemas Kini : 07 Dec 2021 09:00PM

SINGAPURA: Seramai 189 orang berusia antara 12 hingga 78 tahun sedang disiasat kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pinjaman wang tanpa lesen, kata Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Selasa (7 Dis).

SPF menjalankan operasi serata pulau selama dua minggu ke atas kegiatan tailong antara 22 Nov hingga 3 Dis.

Operasi itu melibatkan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah dan tujuh divisyen darat polis melakukan serbuan serentak di merata negara.

"Siasatan awal mendedahkan 16 suspek didakwa melakukan gangguan di kediaman peminjam," menurut SPF dalam satu kenyataan media.

“Seramai 37 lagi suspek dipercayai orang suruhan yang membantu perniagaan pinjaman wang tidak berlesen melakukan pemindahan wang daripada mesin wang automatik (ATM).

“Seorang suspek juga dipercayai memberikan maklumat hubungan palsu kepada pemiutang tidak berlesen, sehingga menyebabkan gangguan dilakukan di kediaman mangsa.”

Baki 135 suspek didakwa membuka akaun bank dan kemudian memberikan kad ATM, nombor pengenalan peribadi dan token perbankan Internet mereka kepada peminjam wang tidak berlesen untuk memudahkan aktiviti mereka.

Siasatan polis sedang dijalankan.

Apabila akaun bank, kad ATM atau token perbankan Internet seseorang digunakan untuk memudahkan pinjaman wang oleh pemiutang tidak berlesen, orang itu dianggap sebagai membantu menjalankan perniagaan pinjaman wang tidak berlesen, tegas SPF.

Pesalah kali pertama boleh dihukum penjara hingga empat tahun, didenda antara S$30,000 dengan S$300,000, dan diberi hingga enam kali sebatan rotan.

Pesalah kali pertama yang disabitkan kesalahan melakukan atau cuba melakukan sebarang tindakan mengganggu bagi pihak pemberi pinjaman wang tidak berlesen boleh dipenjara hingga lima tahun, didenda antara S$5,000 dengan S$50,000, dan diberi tiga hingga enam kali sebatan.

Mereka yang didapati bersalah memberi maklumat kontak palsu untuk mendapatkan pinjaman daripada pemiutang tidak berlesen boleh dipenjara hingga 12 bulan.

“Polis akan terus mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas terhadap mereka yang terlibat dalam perniagaan pemiutang tidak berlesen, tanpa mengira peranan mereka, dan memastikan mereka akan dikenakan tindakan undang-undang tegas,” kata SPF.

"Ini termasuk mengambil tindakan terhadap mereka yang membuka atau memberikan akaun bank mereka untuk membantu peminjam wang tanpa lesen."

SPF menambah bahawa peminjam wang tanpa lesen semakin menggunakan pesanan teks dan platform online untuk mengirim iklan pinjaman yang tidak diminta. Orang ramai dinasihatkan agar tidak menjawab pesanan mengenai iklan sedemikian dan melaporkannya sebagai spam atau pesanan sampah. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan