Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bon kelakonan amah Indonesia: Kedutaan rujuk 64 kes kepada MOM tahun lalu

Kedutaan Indonesia merujukkan 64 kes pembantu rumah asing yang berdepan dengan masalah pekerjaan, kepada Kementerian Tenaga Manusia tahun lalu. Demikian menurut kementerian itu kepada Mediacorp hari ini (10 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Bon kelakonan amah Indonesia: Kedutaan rujuk 64 kes kepada MOM tahun lalu

(Gambar fail: Wee Teck Hian/TODAY)

Diterbitkan : 10 May 2018 11:26PM Dikemas Kini : 10 May 2018 11:28PM

SINGAPURA: Kedutaan Indonesia merujukkan 64 kes pembantu rumah asing yang berdepan dengan masalah pekerjaan, kepada Kementerian Tenaga Manusia tahun lalu. Demikian menurut kementerian itu kepada Mediacorp hari ini (10 Mei).

Komen dari MOM itu dikeluarkan setelah Kedutaan Indonesia menyatakan semalam (9 Mei) bahawa ia mengendalikan 1,579 kes tahun lalu di mana pembantu asing berkata mereka berdepan dengan masalah seperti penganiayaan seks, penderaan secara fizikal, bayaran gaji yang tertunggak selama beberapa bulan, disuruh bekerja sehingga 20 jam sehari dan tidak dibenarkan untuk menunaikan solat.

"MOM menjalankan siasatan ke atas setiap kes yang dikemukakan (oleh Kedutaan Indonesia)," kata jurucakap MOM.

"Kami menggesa Kedutaan Indonesia untuk merujukkan kes-kes pembantu rumah asing yang memerlukan MOM untuk mengambil tindakan lanjut," tambah jurucakap itu.

Daripada 64 kes yang dikemukakan kepada MOM tahun lalu, pihak berkuasa mendapati enam kes di mana terdapat pelanggaran peraturan pekerjaan. Tindakan penguatkuasaan diambil terhadap majikan-majikan serta sebuah agensi pekerjaan dalam enam kes itu, menurut MOM.

Dua kes masih lagi di dalam siasatan, manakala tiada pelanggaran peraturan dalam kes-kes lain, tambahnya.

Kementerian itu kelmarin (8 Mei) mengeluarkan makluman kepada para majikan di mana ia menyifatkan bon kelakonan S$6,000 yang ditetapkan Kedutaan Indonesia sebagai "tidak perlu". Ini memandangkan Singapura sudahpun mempunyai "rangka kerja kawal selia yang komprehensif bagi melindungi semua pembantu rumah asing."

MOM juga menyatakan bahawa syarat-syarat yang ditetapkan bagi pembantu rumah yang dikecualikan daripada bon kelakonan itu, tidak jelas.

Sebagai respons, Kedutaan Indonesia semalam (9 Mei) menyatakan bahawa bon itu "sangat penting" bagi melindungi para pekerjanya sambil mendakwa 1,579 kes yang ditanganinya tahun lalu "hanya peratusan kecil daripada jumlah kes yang dikendalikan keseluruhannya".

Lebih 120,000 pembantu rumah Indonesia bekerja di Singapura.

Kedutaan itu juga menyenaraikan beberapa klausa di mana seorang majikan perlu membayar bon kelakonan itu. Ia juga menjelaskan bon itu tidak akan dibatalkan serta merta, dan ia hanya akan dilakukan "sebagai jalan penyelesaian terakhir" selepas beberapa percubaan pada tahap perundingan dijalankan.

MOM hari ini (10 Mei) masih mempersoalkan tentang syarat-syarat yang ditetapkan dalam perjanjian yang ditandatangani para majikan di mana mereka akan dikecualikan daripada membayar bon kelakonan.

"Tiada maklumat terperinci tentang siapa yang akan menjadi pengantara dan jika ada keberkecualian dalam penyelesaian pertikaian," menurut MOM.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan