Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bom peninggalan Perang Dunia Kedua Jiak Kim Street: Penduduk kondo, tetamu hotel kosongkan bangunan sebelum proses ledakan

Para penduduk kondominium dan tetamu hotel di Jiak Kim Street, di mana sebutir bom peninggalan Perang Dunia Kedua ditemui minggu lalu, sudahpun mengosongkan bangunan-bangunan di kawasan itu sebelum proses pemusnahan dijalankan pada Isnin (18 Nov). 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 18 Nov 2019 01:04PM Dikemas Kini : 18 Nov 2019 10:13PM

SINGAPURA: Para penduduk kondominium dan tetamu hotel di Jiak Kim Street, di mana sebutir bom peninggalan Perang Dunia Kedua ditemui minggu lalu, sudahpun mengosongkan bangunan-bangunan di kawasan itu sebelum proses pemusnahan dijalankan pada Isnin (18 Nov).

Pihak-pihak berkuasa menyatakan kali pertama pihak mereka mengetahui tentang bom tersebut adalah pada 12 November lalu selepas ia ditemui semasa kerja-kerja penggalian dilakukan di tapak binaan.

Pasukan Pemusnah Bom Angkatan Bersenjata Singapuras (SAF) mendapati peninggalan zaman perang tersebut adalah bom pesawat seberat 50 kilogram. Pasukan itu menilainya sebagai tidak selamat untuk dipindahkan dan harus dimusnahkan di tapak penemuannya.

Kepungan keselamatan berukuran 200 meter dibangunkan di sekitar tapak binaan pada sekitar 9.30 pagi Isnin (18 Nov). Kepungan polis juga didirikan di sekitar Jiak Kim Street dan kawasan sungai berhampiran.

Semua penduduk kondominium-kondominium Mirage Tower dan Tribeca by the Waterfront serta beberapa penduduk di The Rivergate diberitahu supaya jangan berada di rumah mereka antara jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang.

Para penduduk meninggalkan kondominium Mirage Tower di Jiak Kim Street pada 18 Nov 2019. (Gambar: Try Sutrisno Foo)

(Para penduduk meninggalkan kondominium Mirage Tower di Jiak Kim Street pada 18 Nov 2019. Gambar: Try Sutrisno Foo)

Para penduduk kondominium dilihat meninggalkan bangunan mereka sebelum tempoh akhir 8.00 pagi. Mereka diberitahu supaya membiarkan tingkap rumah terbuka atau terbuka sedikit dan menyimpan dengan elok barang-barang di dalam rumah.

"Ini setakat langkah berjaga-jaga awal kerana tingkap mungkin pecah berderai meskipun perbezaan tekanan tidak mungkin berlaku," menurut polis.

Bunyi bising juga mungkin kedengaran di kawasan berkenaan semasa proses pemusnahan tersebut, tambah polis.

TEMPAT MENUNGGU SEMENTARA

Para tetamu yang menginap di bilik-bilik tertentu Hotel Grand Copthorne Waterfront juga terpaksa meninggalkan premis itu.

Dalam satu notis yang dipaparkan di lobinya, hotel tersebut memaklumkan kepada para tetamu yang menginap di tingkat lima (bilik bersiri 15-17) dan tingkat tujuh hingga 30 (bilik bersiri 20-26) untuk meninggalkan bangunan dari 8.00 pagi hingga 6.00 petang.

Satu tempat menunggu sementara berdekatan Sekolah Rendah River Valley disediakan untuk menampung para penduduk dan tetamu hotel yang terjejas, menurut polis.

Beberapa jalan raya di kawasan tersebut ditutup bagi pemusnahan bom peninggalan perang itu. Ini termasuk Jiak Kim Street, Kim Seng Road antara Kim Seng Promenade dan Havelock Road, jalan susur keluar dari Zion Road menghala ke Kim Seng Road dan sebahagian River Valley Green.

Bas-bas dengan nombor perkhidmatan 5, 16, 75, 175 195 dan 970 yang melalui jalan-jalan raya tersebut turut dilencongkan.

Bahagian Sungai Singapura antara Jambatan Robertson dengan Jambatan Jiak Kim juga ditutup. Khidmat teksi sungai turut digantung.

Kerja-kerja di tapak binaan di Kim Seng Road bagi stesen Havelock MRT, di bawah Laluan Thomson-East Coast, juga dihentikan.

Polis menyatakan ia akan memberikan kemas kini di laman media sosialnya sejurus selepas kawasan-kawasan terjejas dibuka semula.

Semasa penutupan beberapa batang jalan raya, akses hanya akan diberikan kepada polis, SAF dan kenderaan kecemasan. Pegawai polis trafik akan dikerahkan ke kesemua jalan raya terjejas untuk membantu mengalihkan laluan para pemandu, tambah polis.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan