Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bincang kes Parti Liyani secara terbuka di Parlimen perkara 'baik', kata Shanmugam

Adalah baik untuk membincangkan kes Parti Liyani di Parlimen secara terbuka, kata Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam pada Rabu (16 Sep). Beliau menambah sebilangan Anggota Parlimen (AP) sudahpun mengajukan soalan berhubung perkara itu. 

Anggaran Waktu Membaca:
Bincang kes Parti Liyani secara terbuka di Parlimen perkara 'baik', kata Shanmugam

Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam.

Diterbitkan : 16 Sep 2020 08:01PM Dikemas Kini : 16 Sep 2020 08:04PM

SINGAPURA: Adalah baik untuk membincangkan kes Parti Liyani di Parlimen secara terbuka, kata Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam pada Rabu (16 Sep). Beliau menambah sebilangan Anggota Parlimen (AP) sudahpun mengajukan soalan berhubung perkara itu.

Encik Shanmugam berkata beliau akan menyampaikan satu kenyataan menteri mengenai kes tersebut.

“Sejak beberapa hari lalu, saya dimaklumkan mengenai pelbagai soalan yang difailkan oleh para AP," kata Encik Shanmugam.

“Beberapa anggota PAP, sekurang-kurangnya dua orang, sudahpun memfailkan pertanyaan tentang kes Parti Liyani dan cara ia ditangani," tambahnya. "Baik untuk membincangkannya di Parlimen secara terbuka, membentangkan apa yang berlaku dan menjawab soalan-soalan mengenainya."

Bercakap di luar satu acara yang diadakan di Balai Bomba Tuas View, Encik Shanmugam turut menjawab satu soalan berhubung respons beliau terhadap usul penangguhan Parti Pekerja (WP) untuk menyentuh tentang meningkatkan kesaksamaan dalam sistem keadilan jenayah Singapura.

"Ternyata, AP berminat. Sekarang, WP juga sudah memfailkan usul," kata beliau.

“Saya rasa adalah baik bagi kedua-dua pihak, AP PAP serta AP WP, tampil lebih berminat."

WP sebelum ini menyatakan pada Rabu bahawa ia sudahpun memfailkan usul penangguhan untuk berucap apabila Parlimen bersidang pada Oktober.

Berjudul "Keadilan untuk Semua: Meningkatkan Kesaksamaan dalam Sistem Keadilan Jenayah", usul itu akan merujuk kepada "isu-isu lebih mendalam" yang timbul daripada kes pembantu rumah Parti Liyani, menurut WP.

Cik Parti bulan ini dibebaskan daripada semua tuduhan selepas beliau sebelum ini disabitkan kesalahan pada Mac 2019 kerana mencuri daripada keluarga bekas pengerusi Changi Airport Group Liew Mun Leong. Encik Liew adalah majikannya dari 2007 hingga 2016 semasa beliau dipecat.

Pejabat Peguam Negara menyatakan bahawa pembebasan Cik Parti daripada semua tuduhan menimbulkan tanda tanya yang "memerlukan siasatan lebih lanjut". Kes itu sedang dikaji semula dan ia diketuai oleh Timbalan Peguam Negara Hri Kumar Nair.

Minggu lalu, Encik Shanmugam berkata terdapat sesuatu "yang tidak kena dalam rantaian peristiwa" kes itu sambil menambah bahawa ia akan diteliti.

Beliau juga menggesa orang ramai supaya jangan "berprasangka buruk" terhadap semakan itu.

"Kita harus mengambil tahu apa yang berlaku, mengapa ia berlaku dan kemudian menanganinya. Dan memikul tanggungjawab. Itulah cara terbaik untuk membina kepercayaan orang ramai terhadap sistem kita. Selepas itu, dengan cara terbuka mendedahkan langkah-langkah yang telah kita ambil setelah semakan selesai." 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan