Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bina terlebih dulu bagi penuhi permintaan, tunjang Lapangan Terbang Changi atasi persaingan

Membina terlebih dahulu bagi keperluan masa depan adalah penting bagi Lapangan Terbang Changi mengatasi persaingan. 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 03 Aug 2018 01:14PM Dikemas Kini : 03 Aug 2018 09:34PM

SINGAPURA: Menteri Penyelaras bagi Prasarana merangkap Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan, berkata membina terlebih dahulu bagi keperluan masa depan adalah penting bagi Lapangan Terbang Changi mengatasi persaingan.

Dalam ucapan beliau di majlis pembukaan rasmi Terminal 4 Lapangan Terbang Changi hari ini (3 Ogos), Encik Khaw menekankan bahawa membuat unjuran permintaan masa depan "ternyata antara faktor menyumbang kepada kejayaan ekonomi Singapura" dalam bidang-bidang, seperti penerbangan, maritim dan pembangunan industri.

"Bagi perniagaan global, sekiranya anda tidak mempunyai keupayaan untuk berkhidmat, anda akan kehilangan perniagaan kepada pesaing. Ia semudah itu," kata beliau.

Encik Khaw juga menekankan bahawa keputusan untuk membina lebih awal sebelum permintaan "memerlukan pertimbangan kukuh" dan tidak semudah "membina, dan permintaan akan menyusul kemudian".

"Industri penerbangan adalah tidak menentu, terdedah kepada banyak gangguan, termasuk harga minyak dan ada kalanya campur tangan pihak pemerintah. Mematuhi ramalan semata-mata mungkin berakhir dengan kerugian," ujar beliau.

"Kita harus peka kepada gangguan-gangguan yang mungkin berlaku dan bersiap-sedia melakukan perubahan-perubahan strategik dengan tepat apabila perlu," tambah beliau.

T5 bakal jadi lapangan terbang kedua S'pura

Encik Khaw juga menyentuh tentang Terminal 5 yang dijadualkan siap dibina menjelang 2030.

Terminal 5 akan meningkatkan keupayaan Lapangan Terbang Changi untuk mengendalikan 50 juta penumpang pada awalnya dan kemudian naik kepada 70 juta penumpang setahun, jika perlu. Ini bermakna Lapangan Terbang Changi boleh mengendalikan 150 juta penumpang setiap tahun berbanding 82 juta penumpang sekarang.

Menurut Encik Khaw: "T5 bukan sahaja sebuah bangunan terminal tambahan. T5 sebenarnya akan menjadi lapangan terbang kedua kita."

"Bagi menangani risiko gangguan, kami sedang mereka bentuk T5 secara bertahap-tahap dan mengikut beberapa fasa," tambah beliau. "Ia adalah satu pendekatan yang praktikal
bagi mengelakkan pelaburan berlebihan dan tersilap langkah jikalau ramalan kami tersasar."

Terminal 5 sedang dibina di salah satu tapak binaan terbesar Singapura. Berukuran sekitar 1,000 hektar, ia sebesar bandar baru Tampines atau sekitar dua setengah saiz Marina Bay.

Sumber : CNA/HS/hs
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan