Images

Bilangan siswa sains kesihatan Melayu melonjak hampir 330% dalam tempoh 10 tahun

SINGAPURA: Dalam tempoh 10 tahun lalu, bilangan anak Melayu yang lulus dalam jurusan sains kesihatan di universiti mencatat suatu peningkatan cukup besar - naik sekitar 330 peratus.

Data Banci Penduduk yang dikupas BERITAmediacorp menunjukkan, pada tahun 2010, jurusan itu melahirkan 925 siswazah Melayu. Namun pada tahun 2020, angkanya menjulang kepada 3,951 - iaitu lonjakan sebanyak 327 peratus.


Ini sekali gus mencerminkan suatu trend 'baru' dalam masyarakat Melayu.

Kemajuan itu dibuat sedang kadar lulusan universiti dalam kalangan masyarakat Melayu meningkat hampir 140 peratus kepada 40,769 orang pada 2020.

Banci Penduduk pada 2010 mendapati lima jurusan yang paling banyak menghasilkan siswazah Melayu adalah pentadbiran perniagaan, ilmu kemanusiaan & sains sosial, sains kejuruteraan, pendidikan dan teknologi maklumat (IT).


Empat daripada jurusan paling popular itu mengekalkan ranking yang hampir sama sedekad kemudian.

Bagaimanapun jurusan kesihatan sains kini 'masuk' ke dalam senarai lima jurusan dengan paling ramai graduan Melayu.


Dengan bilangan siswazah yang bertambah hampir 330 peratus itu, ia turut menjadi jurusan paling pesat berkembang dalam kalangan mahasiswa Melayu. Lulusan jurusan itu bahkan membentuk 10 peratus daripada keseluruhan siswazah Melayu pada 2020, berbanding hanya 5 peratus pada 2010.

Semestinya ini suatu perkembangan baik, menurut dua pakar yang BERITAmediacorp temui.


"Bagi saya ini adalah sesuatu yang bagus. Kita mengisi bidang-bidang yang memerlukan bantuan, memerlukan ilmu dan kepakaran. Kita harus sentiasa membuat diri kita relevan untuk keperluan pada dunia hari ini. Begitu juga bagi masyarakat Melayu," ulas Zamil Penyelidik Institut Kajian Dasar, Dr Mohamad Shamsuri Juhari.

"Terutama dalam keadaan sekarang ini, di mana kita ada masalah kesihatan, virus-virus dan sebagainya. Jadi memang hospital dan pusat-pusat kesihatan memerlukan lebih ramai kakitangan, lebih ramai bantuan dan pekerja yang ada ilmu tentang bidang ini."

Penganalisis Pusat Kajian Ehwal Islam dan Melayu (RIMA), Sheikh Mohamad Farouq Abdul Fareez, turut berpandangan serupa. Prestasi ini kata beliau selaras dengan permintaan dalam bidang jagaan kesihatan yang dijangka terus meningkat.


"Bidang sains kesihatan adalah suatu bidang yang amat penting dan diperlukan. Untuk menampung dan menangani jumlah penduduk Singapura yang semakin menua, kita memerlukan ramai karyawan kesihatan untuk memenuhi keperluan ini.

"Siswazah Melayu boleh terus meraih manfaat daripada tuntutan industri ini," kata beliau.

SUDUT PANDANGAN SISWA - MENGAPA SAINS KESIHATAN?

Jadi, selain keupayaan institusi-institusi menerima lebih ramai mahasiswa sains kesihatan, apa lagi yang sebenarnya menyebabkan jumlah lulusan jurusan itu bertambah dengan begitu pesat sekali?

Bagi mahasiswa Universiti Nasional Singapura (NUS) bernama Rustam Shariq ini, "minat" bukan satu-satunya sebab dia mengambil jurusan berkaitan sains kesihatan di universiti.


Rustam awalnya sudah mendapat tempat dalam fakulti undang-undang di NUS. Tetapi dia akhirnya memilih untuk 'terjun' ke jurusan farmaseutikal pula walaupun dia sangat minat menulis.

Semua ini dilakukan selepas dia terdedah kepada bidang perubatan semasa menjalani Perkhidmatan Negara (NS).

Ketika bertugas sebagai Sarjan Perubatan di Pusat Perubatan Jurong, Rustam perlu menangani situasi nyata sehingga ia membulatkan tekadnya untuk mempelajari aspek-aspek berkaitan sains kesihatan. Dia juga yakin prospek kerjaya dalam sains kesihatan cukup luas.


"Kursus farmasi bukan sahaja mengajar aspek klinikal, tetapi mempunyai subjek lain seperti biokimia, sains data dan lain-lain lagi. Saya amat cenderung untuk mempelajari aspek-aspek ini dengan lebih mendalam lagi," kongsi Rustam.

Namun begitu, belia itu juga berkongsi dua sebab lain yang menurutnya, mungkin mendorong lebih ramai belia Melayu untuk mengambil jurusan sains kesihatan pada peringkat sarjana muda.


Pertama, kata Rustam, bidang sains kesihatan kini banyak digambarkan sebagai pekerjaan yang "berpendapatan tinggi" dan dapat memberi status sosial.

Kedua, orang Melayu memang "amat prihatin dan mempunyai sifat yang suka menolong orang lain".

"Mereka percaya dengan amanah agama dan memberi sumbangan bakti kepada keluarga, masyarakat dan negara. Mereka yang bekerja dalam bidang ini mungkin ada impian atau inspirasi seperti ini. Mereka prihatin dan bimbang tentang mereka yang sakit," kongsi bekas pelajar Maktab Rendah Victoria itu.

JUMLAH ANAK MELAYU DALAM IT KURANG BERKEMBANG

Dalam pada itu, berbanding jurusan-jurusan lain, bilangan anak Melayu yang mengikuti bidang Teknologi Maklumat (IT) pula meningkat paling perlahan - naik daripada 1,250 kepada 1,950 siswazah.


Bermakna, dalam tempoh 10 tahun, jumlah anak Melayu yang mengambil IT di universiti cuma meningkat 700 orang atau 56 peratus. Sedangkan bagi jurusan pengajian lain, peningkatannya jauh lebih besar seperti pendidikan (+208%), perniagaan dan pentadbiran (142%) serta sains kejuruteraan (101%).

Sheikh Farouq menarik perhatian bahawa perangkaan 56 peratus itu juga "masih kecil" jika dibandingkan dengan siswazah IT kaum lain.

Pada 2020, kaum Cina dan India yang masing-masing mempunyai sekitar 65,000 dan 13,000 siswazah dalam jurusan IT.


"Dalam ekonomi digital ini, kemahiran dalam bidang ini merupakan asas penting bagi pelbagai kerjaya dan juga akan sangat diperlukan di Singapura pada masa akan datang. Masyarakat Melayu saya kira harus memberi keutamaan kepada program dan bidang terkini," kata beliau.

Sehubungan itu, Dr Shamsuri berfikir masyarakat Melayu perlu berani untuk mencuba jurusan-jurusan yang mempunyai prospek kerjaya yang cerah.

"Saya rasa, masih ramai anggota masyarakat Melayu/Islam kita yang masih 'segan', masih kurang berani untuk memasuki bidang-bidang seperti ini. Jadi yang saya inginkan, terutama kepada ibu bapa, adalah untuk menonjolkan anak-anak mereka kepada bidang-bidang ini," ujar Dr Shamsuri.


Menurut beliau anak-anak Melayu harus didedahkan kepada masa depan yang sangat positif bidang-bidang seperti itu.

Beliau juga menambah bahawa lebih ramai anak Melayu perlukan pendidikan dalam IT demi mampu menceburi bidang 'Internet of Things' yang membuka pekerjaan-pekerjaan dan industri-industri baru.

"Kita tidak ada kekurangannya - dari segi kualiti, kecerdikan, kita sama sahaja yang lain. Cuma saya rasa mungkin yang menghambat kita untuk memasuki bidang ini adalah kita sendiri. Kita rasa yang mungkin kita tidak sebagus. Kita kurang kualiti. Dan saya rasa semua ini tidak benar."  

- BERITAmediacorp/aq

Top