Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bibi Fatimah Sheikh Md sandang Anugerah Ibu Teladan anjuran Jamiyah, Ju Ann Thong pula Ibu Muda Teladan

Cabaran-cabaran yang ditempuhi kaum ibu kian berubah mengikut peredaran masa dan apa yang diamalkan dahulu mungkin tidak lagi berkesan mahupun relevan kini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Cabaran-cabaran yang ditempuhi kaum ibu kian berubah mengikut peredaran masa dan apa yang diamalkan dahulu mungkin tidak lagi berkesan mahupun relevan kini.

Maka itu, Presiden Halimah Yacob menggesa golongan ibu agar mengubah suai dan memperhalusi cara mereka membesarkan anak.

Puan Halimah berkata demikian di Anugerah Ibu Teladan 2018 anjuran Jamiyah Singapura yang berlangsung di hotel Mandarin Orchard Singapore petang tadi (20 Okt).

Acara kali ini turut menabalkan Anugerah Ibu Muda Teladan, sebuah kategori baru, bagi ibu berusia bawah 40 tahun.

PERNAH MURUNG KERANA PUTUS HARAPAN

Hilangnya sinar harapan langsung terjerat dalam kemurungan.

Apabila suaminya perlu berhenti kerja akibat jatuh sakit, Cik Bibi Fatimah Sheikh Md, 55 tahun, rasa benar-benar diuji kerana seluruh tanggungjawab untuk menyara keluarga terletak pada bahunya.

Tidak mahu terus bergundah, Cik Bibi Fatimah bingkas untuk mempelajari kemahiran menaip yang berjaya menaik taraf pekerjaannya kepada seorang kerani bersama Singapore Post.

Kini, tiga daripada empat anaknya berjaya menggenggam segulung ijazah dan diploma.

Atas kecekalan hatinya mengharungi cabaran hidup, Cik Bibi Fatimah diiktiraf Anugerah Ibu Teladan (EMA) 2018.

Beliau menerima Perisai Presiden Tony Tan Keng Yam, plak, sijil serta wang tunai $6,000 daripada Presiden Halimah Yacob yang hadir selaku tetamu terhormat.

"Bagaimana saya memberi mereka kasih sayang begitu juga pelajaran kepada mereka, saya harap mereka akan turunkan kepada anak-anak mereka supaya mendapat zuriat yang baik, soleh dan solehah," ujar Cik Bibi Fatimah.

Empat finalis lain masing-masing menerima plak, sijil serta wang tunai $2,000.

Anugerah Pengiktirafan Khas turut disampaikan kepada lima calon lain yang disenaraipendek dalam 10 tangga teratas bagi EMA.

Setiap calon menerima plak, sijil dan wang tunai $1,000.

GALAS TIGA PEKERJAAN DEMI SARA HIDUP KELUARGA

Penerima pertama Anugerah Ibu Muda Teladan (EYMA) Cik Ju Ann Thong, juga pencari nafkah tunggal keluarganya.

Cik Thong, 35 tahun, terpaksa memikul tiga pekerjaan secara serentak setelah suami beliau didiagnos menghidap sejenis barah luar biasa.

Ini demi menampung kos rawatan dan perubatan yang tinggi itu selain mengasuh tiga orang anaknya.

Oleh kerana sering berperang dengan masa untuk melunaskan tanggungjawab sebagai suri rumah, Cik Thong mengajar anak sulungnya berusia 12 tahun melakukan kerja-kerja rumah ketika beliau keluar bekerja.

Cara itu bukan sahaja membentuk anaknya menjadi insan berdikari dan bertanggungjawab, malah juga bijak dalam pengurusan masa.

Sebagai pemenang, Cik Thong membawa pulang plak, sijil dan wang tunai $2,000.

"Kami adalah cinta pertama setiap anak. Ia adalah penting bagi kami untuk menunjukkan kasih sayang yang sebaiknya kepada mereka. Jadi sebagai seorang ibu, ke mana jua kami pergi, kami harus bertimbang rasa dan menguruskan anak-anak dengan cara menyeluruh," kongsi Cik Thong.

68 pencalonan diterima bagi EMA yang diadakan buat kali ke-26 manakala kategori EYMA pula menerima 29 pencalonan.

Pengerusi Jabatan Wanita dan Keluarga, Jamiyah Singapura Nora Rustham.

"Besar kemungkinan kita akan teruskan lagi kategori ini kerana ia telah menarik ramai ibu muda dan ibu muda ini akan sekali gus menjadi contoh teladan kepada ibu-ibu muda di luar sana," kata Cik Nora Rustham, Pengerusi Jabatan Wanita dan Keluarga, Jamiyah Singapura.

Para hadirin turut dihiburkan dengan persembahan khas oleh penyanyi Malaysia, Dayang Nurfaizah. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan