Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Besar kemungkinan' aturan perjalanan udara S'pura-HK digantung jika COVID-19 di Hong Kong kembali meningkat, kata Ong Ye Kung

Menteri Pengangkutan Ong Ye Kung memberi amaran pada Sabtu (21 Nov) bahawa "besar kemungkinan" aturan perjalanan udara antara Singapura dengan Hong Kong akan digantung jika situasi COVID-19 di Hong Kong kembali meningkat.

Anggaran Waktu Membaca:
'Besar kemungkinan' aturan perjalanan udara S'pura-HK digantung jika COVID-19 di Hong Kong kembali meningkat, kata Ong Ye Kung

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 21 Nov 2020 03:24PM Dikemas Kini : 21 Nov 2020 03:26PM

SINGAPURA: Menteri Pengangkutan Ong Ye Kung memberi amaran pada Sabtu (21 Nov) bahawa "besar kemungkinan" aturan perjalanan udara antara Singapura dengan Hong Kong akan digantung jika situasi COVID-19 di Hong Kong kembali meningkat.

Bercakap kepada para wartawan sehari sebelum aturan perjalanan itu dilancarkan pada Ahad (22 Nov) - tetapi dengan ujian tambahan COVID-19 dijalankan ke atas para pelawat dari Hong Kong - Encik Ong berkata kedua-dua bandar "masih dianggap berisiko rendah".

"Jadi esok, aturan perjalanan udara ini akan dilancarkan. Tetapi, besar kemungkinan, jika Hong Kong terus melaporkan berpuluh-puluh kes dengan jumlah kes tanpa hubung kait yang tinggi, ia mungkin akan digantung. Saya berpendapat besar kemungkinan ia akan digantung berdasarkan apa yang telah dipersetujui sebelum ini," kata Encik Ong.

'RAKAN KONGSI SEMULA JADI'

Pada Sabtu, Encik Ong turut menyifatkan Hong Kong sebagai 'rakan kongsi semula jadi' bagi aturan perjalanan udara ini, sambil menukil daya tahan dan kebolehpercayaannya.

Beliau akur bahawa aturan perjalanan udara seperti ini tidak mungkin berjalan lancar dan beliau menjelaskan mengapa kedua-dua pihak memutuskan untuk meneruskannya.

"Kita berdua adalah bandar-bandar yang bergantung kepada dunia untuk menampung kehidupan dan penakatan masing-masing. Kita berdua adalah hab penerbangan," kata Encik Ong.

"Maka itu, ia bukan setakat memikat pelancong, yang juga penting, tetapi demi memastikan kita dapat terus mengendalikan syarikat penerbangan masing-masing, terus mempunyai Lapangan Terbang Changi dan mereka pula mempunyai Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong (HKIA).

"Dan kita meneruskan cara hidup kita dan dengan cara kita yang tersendiri, mengekalkan identiti kita sebagai rakyat bandar global."

Encik Ong berkata demikian semasa berucap di pusat latihan Singapore Airlines (SIA), sedang SIA bersiap sedia untuk menawarkan lawatan balik tabir yang bakal diadakan pada hujung minggu ini dan hujung minggu depan.

Beliau akur bahawa pelancaran aturan perjalanan udara itu seakan-akan "tercemar" oleh situasi COVID-19 di Hong Kong, namun menegaskan dengan langkah berjaga-jaga yang betul - seperti memakai pelitup, menjaga jarak selamat dan mengelakkan tempat-tempat yang sesak dan tidak mempunyai pengudaraan yang baik - aturan itu masih boleh diteruskan.

"Saya rasa anda masih boleh menikmati lawatan yang bermakna, menyeronokkan, sama ada ke Hong Kong atau Singapura."

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan