Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Berunding secara aman' cara terbaik huraikan perselisihan, kata Ng Eng Hen berhubung pertikaian maritim dan ruang udara

'Berunding mengikut cara yang aman' merupakan cara terbaik untuk menghuraikan sebarang perselisihan, kata Menteri Pertahanan Ng Eng Hen hari ini (20 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 20 Jan 2019 06:29PM Dikemas Kini : 20 Jan 2019 10:37PM

SINGAPURA: 'Berunding mengikut cara yang aman' merupakan cara terbaik untuk menghuraikan sebarang perselisihan, kata Menteri Pertahanan Ng Eng Hen hari ini (20 Jan).

Dr Ng berkata demikian sebagai merujuk kepada pertikaian maritim dan ruang udara antara Singapura dengan Malaysia, semasa berucap di luar acara Program bagi Kehidupan Aktif di Bishan.

Dr Ng berkata: "Satu perkara paling penting yang dapat dipelajari sejak kapal-kapal milik kerajaan Malaysia mencerobohi perairan Singapura dekat Tuas serta keadaan di Seletar dan isu-isu berhubung ruang udara adalah: Kami dapat mengelakkan perbalahan menjadi teruk.

"Cara terbaik untuk menghuraikan perselisihan adalah menerusi rundingan damai dan perbincangan."

Dr Ng menambah kedua-dua pihak "kini mencapai kemajuan" dan sedang berbincang, namun pada masa yang sama, agensi keselamatan Singapura "sentiasa berwaspada".

"Saya rasa bahawa kami kini mencapai kemajuan kerana Menteri Pengangkutan dan Menteri Ehwal Luar serta para pegawai (Malaysia) sedang berbincang," katanya. "Pada masa yang sama, agensi-agensi keselamatan kami (SAF dan Home Team) sentiasa berwaspada".

"Kami sedang memantau keadaan dengan teliti. Kami tahu apa yang sedang berlaku. Kami dapat bertindak balas dengan pantas."

Singapura dan Malaysia terlibat dalam satu pertikaian berhubung pelaksanaan prosedur-prosedur Sistem Pendaratan Alatan baru bagi Lapangan Terbang Seletar, yang menurut Malaysia akan menghalang pembinaan bangunan tinggi di Pasir Gudang yang terletak di bahagian utara dari lapangan terbang itu. Singapura bagaimanapun tidak bersetuju.

Satu pertikaian berhubung isu maritim pula tercetus akibat keputusan sepihak Malaysia untuk meluaskan had pelabuhan Johor Bahru pada Oktober lalu, serta pencerobohan oleh kapal-kapal milik kerajaan Malaysia di perairan Singapura.

Para pegawai dari kedua-dua negara akan mengadakan pertemuan "dalam beberapa minggu akan datang" bagi membincangkan pertikaian tersebut, menurut Kementerian Luar Malaysia pada Sabtu (19 Jan).

Mengulangi kenyataan beliau di Parlimen bahawa agensi-agensi keselamatan Singapura "bertindak dengan menahan diri", Dr Ng berkata kedua-dua negara sudahpun menyuarakan pandangan masing-masing dan ia kini bergantung kepada para diplomat untuk mencapai "kedudukan yang membina".

"Kedua-dua pihak sudahpun menyuarakan pandangan masing-masing. Oleh itu, biarlah para diplomat dan pegawai kami berbincang dan mencapai kedudukan membina yang menghormati hak kedua-dua negara, mengikuti undang-undang antarabangsa serta dapat membantu kedua-dua pihak menjadi makmur," katanya.

"Tujuan kami adalah untuk memimpin negara masing-masing, namun kami berkhidmat kepada rakyat dan kami mesti memastikan agar rakyat tidak diancam dan mata pencarian mereka tidak terjejas," tambah Dr Ng.

"Pada masa yang sama, kami harus melindungi hak masing-masing mengikut undang-undang antarabangsa dan pada pendapat saya berdasarkan itu, terdapat pandangan yang dikongsi bersama oleh kedua-dua pihak yang boleh membantu kami mencapai objektif kami. Itulah cara yang terbaik untuk berkhidmat kepada rakyat masing-masing."

TIADA "PENINGKATAN BESAR" DALAM PERBELANJAAN PERTAHANAN

Dr Ng juga berkata kementeriannya tidak menjangkakan peningkatan besar dalam perbelanjaan pertahanan dalam belanjawan tahun ini. MINDEF pada Jumaat (18 Jan) mengumumkan bahawa ia akan membeli sejumlah kecil jet F-35 bagi menggantikan jet pejuang F-16 yang semakin usang.

"MINDEF sudah mengumumkan bahawa kami akan meneruskan usaha menggantikan jet F16 dengan jet F35," kata Dr Ng. "Ia adalah sebahagian daripada rancangan menyeluruh kami untuk memodenkan (Angkata Bersenjata Singapura) dan seperti yang saya katakan, kami akan melakukan demikian mengikut belanjawan pertahanan yang diperuntukkan.

"Kami tahu bagaimana untuk menggunakan peruntukan dengan sebaik-baiknya dan jika perancangan jangka panjang dilakukan, kami boleh melakukannya," tambah Dr Ng. "Bidang pertahanan sentiasa memerlukan pelaburan yang besar tetapi kami tidak menjangkakan kenaikan amat besar dalam peruntukan pertahanan dalam belanjawan tahun ini." 

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan