Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bersikap bertanggungjawab, jauhkan diri dari kemudaratan sebahagian tuntutan agama, kata Timbalan Mufti S'pura

Memikul sikap bertanggungjawab adalah sebahagian daripada tuntutan agama dan Allah melarang umat Islam daripada mendedahkan dirinya kepada kebinasaan, kata Timbalan Mufti Negara Ustaz Mohd Murat Md Aris.

Anggaran Waktu Membaca:
Bersikap bertanggungjawab, jauhkan diri dari kemudaratan sebahagian tuntutan agama, kata Timbalan Mufti S'pura

Timbalan Mufti Ustaz Mohd Murat Md Aris. (Petikan video: MUIS/Facebook)

SINGAPURA: Memikul sikap bertanggungjawab adalah sebahagian daripada tuntutan agama dan Allah melarang umat Islam daripada mendedahkan dirinya kepada kebinasaan, kata Timbalan Mufti Negara Ustaz Mohd Murat Md Aris.

Ustaz Mohd Murat memberikan peringatan itu kepada umat Islam setempat melalui pesanan video yang dimuat naik ke laman Facebook Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) pada Selasa (21 Apr), sambil berkata bahawa usaha untuk mengawal penularan COVID-19 akan menjadi kurang berkesan seandainya lebih ramai orang mengingkari langkah pemutus rantaian jangkitan. 

Sebaliknya tambah beliau, jika setiap anggota masyarakat mengamalkan sikap lebih bertanggungjawab dalam mematuhi langkah-langkah yang dikuatkuasakan, penularan pandemik itu akan lebih cepat dikawal lantas membolehkan kita keluar daripada keadaan "circuit breaker" sekarang.

“Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan," Ustaz Mohd Murat memetik firman Allah dalam surah al-Baqarah, Ayat 195.

"Kaedah Fiqah juga menunjukkan bahawa syariat Islam telah menetapkan bahawa tidak boleh mendedahkan diri kepada kemudaratan dan tidak boleh memudaratkan orang lain sebagai asas dalam berijtihad (mengkaji serta memberikan tafsiran), menentukan hukum atau fatwa," ujarnya.

"Dalam erti kata lain, sekiranya seseorang Muslim itu sengaja melanggar peraturan lalu menyebabkan kemudaratan pada orang lain maka dia telah melakukan perbuatan yang menentang dengan Syara' dan dia sebenarnya telah melakukan perbuatan dosa.

"Atas dasar ini maka wajarlah Allah menyediakan pahala yang amat besar bagi mereka yang mematuhi peraturan-peraturan tersebut," jelas beliau lanjut.

Dengan itu, Ustaz Mohd Murat mengajak masyarakat Melayu/Islam untuk merebut kebaikan serta ganjaran yang disediakan sepanjang Ramadan penuh barakah sambil mengejar pahala dengan mematuhi peraturan pemutus jangkitan.

"Kita manfaatkan situasi dan masa yang terluang ini untuk melakukan sebanyak ibadah bersama-sama keluarga di samping mencari peluang untuk melakukan amal kebajikan lain," ujarnya dalam video yang berdurasi lebih 3 minit itu.

"Akhir kata, marilah kita semua bermunajat dan berdoa agar Allah memberkati segala usaha kita ini, menjayakannya serta mengangkat ujian ini dari muka bumi ini secepat mungkin. Amin," menurut Ustaz Mohd Murat sebelum mengakhiri catatan tersebut. 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan