Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bercelaru, terpesong dan dibelenggu masalah: 3 bekas tahanan ISD dedah bagaimana mereka menjadi radikal

Tahanan boleh menghuraikan salah faham mengenai konsep Islam dan berbincang tentang keprihatinan dan perasaan mereka tentang perkara yang tiada kaitan dengan agama

Anggaran Waktu Membaca:
Bercelaru, terpesong dan dibelenggu masalah: 3 bekas tahanan ISD dedah bagaimana mereka menjadi radikal

(Gambar hiasan: Rendiansyah Nugroho/Unsplash)

Diterbitkan : 04 Aug 2018 11:53AM Dikemas Kini : 04 Aug 2018 11:59AM

SINGAPURA: Dalam satu langkah yang jarang berlaku, pihak berkuasa Singapura baru-baru ini bersetuju untuk membenarkan pihak media mewawancara individu-individu yang pernah menjadi radikal. Ini selepas tiga individu sedemikian turut bersetuju untuk diwawancara.

Sepanjang dua hari, para wartawan dari agensi berita terpilih dibawa masuk ke dalam sebuah bilik pemeriksaan Pusat Warisan ISD untuk mewawancara para individu itu.

Bagi melindungi identiti mereka, nama samaran diberikan dan perincian seperti umur, sekolah atau pekerjaan tidak boleh dilaporkan.

Pada masa yang sama, maklumat seperti bila mereka ditangkap atau dibebaskan dan sama ada sebelum ini, mereka berada dalam tahanan ataupun dikenakan perintah sekatan, tidak boleh didedahkan bagi memastikan identiti mereka tidak dapat dijejaki memandangkan ketiga-tiga individu tersebut sudahpun berjaya berintegrasi dan pulang ke pangkuan masyarakat.

Beliau dikejutkan ibunya dan diberitahu bahawa para pegawai Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) berada di dalam rumahnya. Mereka mahu menyiasat kerana beliau sudah menjadi radikal.

Dalam masa beberapa minit saja, Irfan (bukan nama sebenar) dibawa keluar oleh para pegawai tersebut dengan disaksikan anggota keluarga yang tidak mampu melakukan apa-apa.

Semasa siasatan, Irfan memberikan kerjasama dengan menceritakan bagaimana dirinya menjadi radikal dan mendedahkan segalanya kepada para pegawai.

Selepas itu, proses pemulihan bermula sepantas penangkapannya. Sebahagiannya melibatkan kaunseling agama di mana beliau bersemuka dengan seorang asatizah.

Irfan menyuarakan pandangannya mengenai bagaimana masyarakat Islam ditindas dan bertanya sekiranya jihad adalah sesuatu yang betul atau salah.

Menurut Irfan, dengan adanya seorang asatizah yang mendampingi dirinya, berlaku pertukaran pandangan berbanding belajar tentang Islam di internet di mana ia setakat belajar tanpa mendapatkan panduan dan bimbingan daripada sumber yang bertauliah.

Seorang lagi individu yang pernah melalui pengalaman serupa ialah Hakim yang pada mulanya hanya mahu menjadi seorang Muslim yang lebih baik, namun terpesong akhirnya.

Satu lagi faktor yang dikongsi kedua-dua individu berkenaan adalah isu menebus dosa.

Hakim mengakui bahawa beliau bukan seorang yang warak memandangkan beliau pernah meminum arak, tetapi gaya hidup beliau berubah selepas seorang anggota keluarganya jatuh sakit. Dalam proses mendapatkan “bantuan Tuhan” dan berdoa agar cepat sembuh, beliau mula membaca lebih banyak tentang Islam dan menyedari keindahan agama.

Beliau menyingkap kehidupan masa lalunya dan berasa mahu bertaubat dan “menebus dosa-dosanya”.

Dengan menolak pandangan budaya majmuk di mana beliau membesar di Singapura, Hakim menjadi yakin bahawa “perpaduan Islam mengatasi jati diri rakyat tidak kira negara mana sekalipun”.

Terdapat percanggahan tanggapan tentang siapa yang boleh menjadi radikal. Ada pihak yang mengusulkan bahawa mereka yang cetek pengetahuan atau tidak berpendidikan berisiko, manakala ada pihak lain yang menuding jari ke arah kemiskinan sebagai faktor utama.

Golongan belia juga dipandang sebagai lebih berisiko dengan kecenderungan memutarkan idea menjadi sebahagian perjalanan berbahaya kepada sesuatu yang indah.

Bagaimanapun, satu kajian yang diterbitkan pada 2016 oleh para ahli psikologi Kementerian Ehwal Dalam Negeri yang mendampingi para indivisu yang menjadi radikal mendapati bahawa tiada profil tetap yang berupaya mengenal pasti seseorang berisiko menjadi tertarik kepada pengganasan.

Satu lagi kes melibatkan Kenny yang ditangkap di sebuah pusat transit di sebuah negara lain semasa beliau dalam perjalanan ke Syria dengan rancangan untuk menyertai kumpulan militia yang bertempur dengan ISIS.

Kenny dihantar pulang ke Singapura di mana siasatan menunjukkan bahawa tindakannya adalah sebab beliau mahu melarikan diri daripada masalah kewangan. Kegagalan dalam perniagaan menyebabkan Kenny berhutang dengan beberapa bank yang “bernilai lima angka” secara keseluruhannya.

Dengan menjalani pemulihan menyusuli penangkapan mereka, kesihatan mental dan emosi para individu berkenaan dipertimbangkan. Mereka bukan sahaja menerima kaunseling agama, tetapi juga kaunseling psikologi.

Para pegawai pemulihan akan menjelaskan sebarang kesangsian para tahanan mengenai sistem, seperti bagaimana mereka akan dipulihkan.

ISD menyatakan bahawa para tahanan juga boleh menghuraikan salah faham mereka mengenai konsep-konsep Islam dan berbincang tentang keprihatinan dan perasaan mereka tentang perkara-perkara yang tiada kaitan dengan agama.

Sejak 2002, hampir 90 individu ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri bagi kegiatan-kegiatan berhubung pengganasan. Buat masa ini, sekitar tiga suku daripada mereka sudah dibebaskan daripada tahanan. Setakat sehingga 20 Jun tahun ini, terdapat 21 orang yang ditahan dan lagi 21 yang lain dikenakan perintah sekatan, yang sebagai contoh, menghadkan dan memantau pergerakan mereka.

Sumber : Today/HS/hs
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan