Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Beratur panjang, masa menunggu 5 jam pada hari pertama ujian swab bagi individu mungkin terdedah kes TTSH

Barisan beratur begitu panjang sehingga anggota kakitangan pusat pemeriksaan sukar menguatkuasakan jarak selamat 1 meter antara individu yang hadir untuk ujian swab.

Anggaran Waktu Membaca:
Beratur panjang, masa menunggu 5 jam pada hari pertama ujian swab bagi individu mungkin terdedah kes TTSH

Orang ramai beratur berjam-jam di luar pusat saringan COVID-19 di Ang Mo Kio pada 3 Mei 2021 (Gambar: Nuria Ling/TODAY)

Diterbitkan : 03 May 2021 10:42PM Dikemas Kini : 03 May 2021 10:48PM

SINGAPURA: Pasangan warga emas, Encik Foo Say Hin dan isterinya - masing-masing berusia 84 dan 78 tahun, menunggu lebih lima jam untuk menjalani ujian swab COVID-19 mereka di sebuah pusat pemeriksaan di bekas tapak Sekolah Rendah Da Qiao di Ang Mo Kio.

Mereka adalah dalam kalangan ratusan orang yang hadir di pusat-pusat pemeriksaan COVID-19 pada hari pertama ujian swab percuma diadakan untuk individu yang terdedah kepada kes disahkan positif COVID-19 daripada kelompok Hospital Tan Tock Seng (TTSH).

Kumpulan itu menerima kiriman mesej daripada Kementerian Kesihatan (MOH) memaklumkan bahawa mereka baru-baru ini berada di tempat awam pada masa yang sama dengan seorang kes positif daripada kelompok TTSH. Maka itu, mereka dinasihatkan agar menjalani ujian COVID-19.

Mesej itu menyatakan mereka boleh menjalani ujian secara percuma antara 3 hingga 16 Mei dan mereka berbuat demikian dengan menempah janji temu di mana-mana poliklinik serta klinik doktor keluarga yang menawarkan khidmat Swab dan Hantar Pulang (Sash) atau boleh memilih untuk menjalani swab di salah satu daripada empat pusat pemeriksaan daerah.

Pusat-pusat itu terletak di Ang Mo Kio, Bishan, Pasir Ris dan Jurong East.

Ketika Encik Foo dan isterinya datang ke pusat pemeriksaan di Ang Mo Kio, mereka terpaksa beratur bersama ramai lagi orang yang berada di sana atas sebab berlainan. Misalnya, ada pekerja binaan yang mahu menjalani ujian rutin berjadual dan kontraktor ubah elok yang perlu menjalani ujian swab sebelum boleh memasuki tapak-tapak kerja.

Namun, pasangan itu tetap bertekad untuk menjalani ujian swab pada Isnin maka mereka menunggu giliran di pusat tersebut dari sekitar 9.00 pagi sehingga kira-kira 2.00 petang.

Encik Foo, yang belum menerima vaksinasi COVID-19 disebabkan keadaan kesihatannya, baru-baru ini berhenti kerja di sebuah cawangan McDonald's di pusat beli-belah CompassOne, di mana beliau mungkin terdedah kepada kes COVID-19. Beliau dan isterinya menerima kiriman mesej daripada Pemerintah pada hujung minggu lalu menggalak mereka untuk mengambil ujian swab.

Apabila ditanya mengapa mereka sanggup menunggu di bawah terik matahari sedangkan ramai yang lain memilih untuk meninggalkan pusat pemeriksaan itu, Cik Foo berkata usia lanjut serta keadaan kesihatan mereka yang uzur bermakna mereka mudah terdedah kepada COVID-19.

"Oleh kerana Pemerintah menyatakan kemungkinan kami terdedah kepada kes-kes TTSH jadi kami takut (dengan virus itu) dan hanya mahukan kepastian," ujar Cik Foo sambil menambah bahawa kakitangan di pusat itu menawarkan mereka tempat duduk semasa menunggu di luar kerana usia lanjut mereka.

Salah seorang anggota kakitangan di pusat pemeriksaan Ang Mo Kio memberitahu TODAY bahawa mereka tidak menyangka akan menerima begitu ramai orang ramai.

Keadaannya juga serupa di pusat-pusat lain di Bishan dan Pasir Ris. Hanya pusat di Jurong East sahaja tidak begitu sesak apabila TODAY mengunjunginya pada petang Isnin.

Keadaan di Ang Mo Kio begitu teruk di mana barisan beratur panjang berjela dari pintu masuk pusat itu sehinggalah ke kolong blok flat-flat HDB yang terletak sekitar 200 meter jauhnya.

Mereka yang datang diberikan pelekat yang menandakan mereka akan diuji kerana kes-kes TTSH. Setelah itu, pusat berkenaan akan mula memberikan slot waktu bagi ujian mereka.

"Ini adalah satu huraian yang diperbaharui," kata salah seorang anggota kakitangan yang sedang menguruskan barisan beratur. "Hari ini amat sukar dan orang ramai marah kerana mereka diberitahu ini adalah ujian tanpa janji temu dan tidak menjangkakan perlu menunggu."

Mereka juga mendapati hampir mustahil untuk meminta orang ramai dalam barisan beratur supaya menjaga jarak selamat 1 meter kerana ramai yang berkumpul untuk berteduh dari panas mentari di bawah pokok.

Seorang lagi anggota pusat itu berkata: "Kami hanya boleh memberitahu orang ramai bahawa kami sangat kesal dan berharap mereka faham kami juga perlu melakukan tugasan kami."

Pada sekitar tengah hari di Ang Mo Kio, pusat itu berhenti memberikan pelekat dan anggota kakitangan mula memberitahu mereka yang baru datang supaya datang semula pada hari yang lain atau ke pusat pemeriksaan yang lain.

Jurutera Jessica Lim, 29 tahun, berkata beliau datang ke pusat Ang Mo Kio pada 11.00 pagi hanya untuk diberitahu bahawa ia sudah penuh. Beliau kemudian membuat keputusan untuk pergi ke pusat di Bishan yang terletak di bekas tapak Sekolah Menengah Bishan Park.

Namun, di sana pula, beliau diberitahu perlu menunggu beberapa jam sebelum gilirannya.

"Di Ang Mo Kio, mereka menyuruh kami supaya jangan tunggu. Saya terjumpa orang yang datang dari pusat di Pasir Ris pada sebelah pagi juga mengatakan keadaan amat teruk di sana," kata Cik Lim, yang mungkin terdedah kepada kes positif COVID-19 di AMK Hub.

Beberapa orang dalam barisan beratur berkata klinik-klinik persediaan kesihatan awam (PHPC) yang mereka kunjungi juga meminta mereka agar pergi ke pusat-pusat pemeriksaan.

Pelajar ITE Mohammed Danial Razali, 18 tahun, berkata beliau telah pergi ke sebuah klinik PHPC pada sebelah pagi untuk menjalani ujian tetapi diberitahu bahawa masa menunggu mungkin memakan masa lebih tiga jam. Pekerja di klinik itu juga menasihatinya supaya pergi ke pusat pemeriksaan daerah.

"Saya rasa saya mungkin perlu menunggu di sini untuk lagi satu atau dua jam bagi giliran saya," kata Danial yang beratur di pusat pemeriksaan di Bishan.

Menjelang petang, barisan beratur mula reda.

TODAY sudahpun menghubungi MOH bagi mendapatkan ulasan.  

Sumber : Today/FZ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan