Images
  • Abuse
    Gambar hiasan. (Gambar fail: Try Sutrisno Foo)

Berang dibebel & dipanggil salah nama, lelaki dipenjara serang isteri

SINGAPURA: Seorang lelaki berulang kali menyerang isterinya selepas dia meminum arak dan selepas isterinya "membebel" dan secara tidak sengara memanggilnya dengan nama anak lelaki beliau hasil perkahwinan sebelum ini.

Apabila pertikaian mereka menjadi semakin tegang sehingga polis dihubungi, lelaki itu menyumpah seranah para pegawai dan memberitahu seorang inspektor stesen bahawa punggung beliau "gebu".

Mohamad Farali Khan Ismail Khan, 31 tahun, hari ini (8 Apr) dijatuhi hukuman penjara setahun dan dikenakan denda S$4,000.

Dia mengaku bersalah atas tiga tuduhan sengaja menyebabkan kecederaan teruk ke atas isterinya, sengaja menyebabkan kecederaan dan menghina pegawai perkhidmatan awam.

Tuduhan keempat, iaitu meninggalkan rumahnya semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan, dipertimbangkan semasa menjatuhkan hukuman.

Mahkamah diberitahu bahawa Farali berkahwin dengan mangsa, iaitu seorang wanita berusia 52 tahun, pada bulan Disember 2019. Mereka tinggal bersama di sebuah flat.

Insiden pertama berlaku pada malam 8 Mac tahun lalu semasa pasangan itu berada di dalam bilik.

Farali minum arak dan bergaduh dengan isterinya. Dia mendakwa bahawa isterinya membebel dan dia memukul kepala wanita itu sebanyak tiga kali dengan tapak tangannya.

Apabila isterinya cuba mengelak pukulan tersebut, Farali sengaja memukul tangan wanita itu, sehingga menyebabkan tulang jari telunjuk isterinya retak.

Isterinya kemudian meminta agar Farali membawanya ke hospital dan dia menurut permintaan itu. Isterinya kemudian didiagnos mengalami keretakan pada tulang jari telunjuk dan juga pada bahagian kepala.

Pihak hospital kemudian menghubungi polis pada hari yang sama, memaklumkan tentang kes keganasan antara pasangan suami isteri.

INSIDEN KEDUA

Insiden kedua berlaku beberapa bulan kemudian.

Farali minum arak sebelum memandu isterinya ke rumah ibu bapa angkatnya selepas tengah malam pada 25 Mei tahun lalu untuk menghantar makanan.

Selepas meninggalkan rumah tersebut di tingkat 12, pasangan itu sedang berjalan ke lobi lif apabila isterinya secara tidak sengaja memanggil Farali dengan nama anak lelaki beliau hasil daripada perkahwinan sebelum ini.

Ini membangkitkan kemarahan Farali, yang kemudian menampar muka wanita itu dan menarik rambutnya apabila mereka keluar daripada lif di tingkat satu.

Selepas itu, dia menyentap isterinya dengan menarik rambut beliau sehingga terlanggar sebuah tong sampah berdekatan.

Farali kemudian mula merokok dan meminum satu tin arak yang dibawa bersamanya.

Apabila seorang lelaki yang lalu di kawasan itu dan bertanya keadaan mangsa, Farali memekik menyuruh lelaki itu pergi dan berkata ia adalah "masalah suami isteri". Isteri Farali hanya mendiamkan diri.

Setelah lelaki itu berlalu, mangsa kembali ke rumah ibu bapa angkatnya untuk meminta bantuan.

Farali memarahi beliau dari koridor flat dan saudara lelaki angkat mangsa menghubungi polis.

Para pegawai polis tiba di tempat kejadian sekitar pukul 2.20 pagi.

Farali menjadi semakin berang dan menghamburkan kata-kata kesat kepada seorang inspektor wanita sedang beliau menangkapnya.

Farali juga menghamburkan kata-kata kesat dalam bahasa Kantonis dan Hokkien ke arah pegawai itu.

Sedang pegawai itu menahannya, Farali berkata: "Eh, saya boleh rasa punggung awak, sangat gebu," menurut Timbalan Pendakwa Raya Gabriel Lim.

Pendakwa Raya itu berkata pindaan kepada Kanun Keseksaan bertujuan untuk memberikan lebih banyak perlindungan kepada mereka yang lebih mudah menjadi mangsa dera dan keganasan termasuk keadaan di mana pihak-pihak terlibat diberi kepercayaan.

Atas kesalahan sengaja menyebabkan kecederaan teruk, Farali boleh dipenjara sehingga 10 tahun, didenda dan dikenakan sebatan rotan.

Oleh kerana kesalahan itu dilakukan ke atas isterinya sendiri, dia boleh dikenakan hukuman berganda. 

- CNA/NK/nk

Top