Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bengkel percuma khidmat Nasihat SkillsFuture ke pasar dampingi "makcik-makcik & pakcik-pakcik"

Jangan terkejut sekiranya anda dihampiri para wakil SkillsFuture semasa sedang menghirup kopi di kedai atau berbelanja di Pasar Geylang Serai.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAMediacorp: Jangan terkejut sekiranya anda dihampiri para wakil SkillsFuture semasa sedang menghirup kopi di kedai atau berbelanja di Pasar Geylang Serai.

Ini adalah inisiatif terbaru yang bertujuan membawa skim-skim dan dasar-dasar Pemerintah lebih dekat dengan masyarakat - khususnya orang Melayu.

(Gambar-gambar: Nurulkhasanah Agost/BERITAMediacorp)

Inisiatif itu diumumkan oleh Datuk Bandar CDC Tenggara, Dr Mohamad Maliki Osman di acara sulung Raikan Ilmu@Tenggara hari ini (21 Jul) sempena Pesta SkillsFuture, yang disokong BERITAMediacorp.

Di acara itu, Dr Maliki juga berkongsi, lebih 22,000 penduduk sudah didampingi menerusi bengkel khidmat Nasihat SkillsFuture dalam tempoh sembilan bulan sahaja.

Menurutnya, bagi CDC Tenggara sendiri, 4,000 peserta sudah didampingi dan menjelang suku terakhir tahun ini, bengkel-bengkel percuma itu bakal dibawa ke pasar-pasar untuk lebih dekat lagi dengan "makcik-makcik dan pakcik-pakcik".

"Yang ingin kami dekati ialah membawa aspek-aspek ataupun program-program kami di mana mereka tinggal. Di ruang-ruang masyarakat. Apa yang sering kita katakan, jika tak dapat membawa mereka ke kelas-kelas atau bengkel-bengkel kita bawa bengkel kepada mereka," beliau memberitahu BERITAMediacorp.

(Gambar-gambar: Nurulkhasanah Agost/BERITAMediacorp)

AKAN DILUASKAN KE RUANG-RUANG LAIN MASYARAKAT

Dr Maliki Osman berharap ia dapat membuka minda penduduk sekaligus mencetuskan minat mereka untuk mengetahui lebih lanjut mengenai skim nasional itu.

Menurut Dr Maliki, sebagai langkah permulaan CDC Tenggara akan menganjurkan dua bengkel sebulan - satu di dalam pasar Geylang pada sebelah pagi dan satu lagi di bangunan Wisma Geylang Serai.

Ia kemudian akan diluaskan ke ruang-ruang lain masyarakat dalam kawasan Tenggara pada tahun depan.

"Apa yang kami dapati selepas mereka mengikuti kursus Nasihat SkillsFuture ini minda mereka terbuka. Mereka mengetahui apakah pekerjaan-pekerjaan yang lebih sesuai untuk mereka," ujar beliau.

(Gambar-gambar: Nurulkhasanah Agost/BERITAMediacorp)

JIKA DULU "ENTAH", PADA MASA AKAN DATANG "TAHU SEMUANYA"

Dalam pada itu, Dr Maliki berkata pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam di Singapura dilihat sebagai pemangkin untuk mendekati keluarga-keluarga yang dibantu mereka.

Selain menghulurkan bantuan dari kewangan, mereka juga boleh memberikan maklumat-maklumat yang diperlukan supaya keluarga-keluarga tersebut tahu dan memahami apa yang disediakan oleh Pemerintah untuk mereka.

Selain itu pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam juga memainkan peranan penting memperjuangkan SkillsFuture dan pembelajaran sepanjang hayat.

"Saya rasa pertubuhan Melayu/Islam kita mempunyai peluang yang baik untuk memainkan peranan mereka dan sama-samalah bekerjasama dengan agensi-agensi pemerintah untuk mendekati, khususnya anggota masyarakat kita," kata Dr Maliki.

(Gambar-gambar: Nurulkhasanah Agost/BERITAMediacorp)

Jika sebelum ini ada sebahagian masyarakat kurang atau tidak tahu tentang kursus-kursus yang ditawarkan, Dr Maliki berharap kerjasama antara pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam dengan agensi-agensi Pemerintah akan dapat mengubah minda dan sikap mereka.

"Bila kita bertanya dengan anggota masyarakat Melayu ‘kenapa tak mengambil bahagian dalam kursus sedemikian ataupun kenapa tidak mengambil manfaat dari segi skim yang ada', sering yang keluar daripada mulut mereka ialah ‘Entahlah, tak tahu’. Jadi kita harap selepas ini bukan Entahlah nak, tak tahu’, (sebaliknya) ‘Nak, makcik tahu semua ini’," tambah Dr Maliki.

(Gambar-gambar: Nurulkhasanah Agost/BERITAMediacorp)

15 AGENSI BAWAH SATU BUMBUNG

Acara hari ini misalnya menghimpunkan 15 agensi pemerintah dan pertubuhan buat julung-julung kalinya.

Antara agensi dan pertubuhan yang menyertai Festival SkillsFuture itu termasuk, Mendaki Sense, Kementerian Kesihatan (MOH), Lembaga CPF, Persatuan Rakyat (PA) dan SkillsFuture Singapore (SSA).

Salah seorang pengunjung yang ditemui BERITAMediacorp, Cik Siti Zubaidah Bakar, berkata acara sedemikian amat membantu.

Lebih-lebih lagi bagi dirinya yang sedang merancang untuk meneruskan pengajian ke peringkat Sarjana.

"Saya tahu adanya SkillsFuture tapi saya tak tahu perinciannya mengenai SkillsFuture seperti kita boleh gunakan untuk kursus-kursus apa. Sebab itu SkillsFuture kalau acara-acara seperti ini lebih baik untuk kita hadiri dan mendapatkan lebih maklumat," kata pegawai khidmat teknikal dalam sektor kejuruteraan penerbangan udara itu.

Beliau juga berharap agar acara-acara sedemikian dapat diluaskan ke kawasan-kawasan lain.

"Saya sarankan adakan lebih banyak acara-acara sebegini bukan setakat di tempat-tempat pusat macam ini. Tapi lebih macam Pasir Ris, di mana tumpuan kita, di pusat pertukaran bas atau stesen MRT," tambah Cik Siti Zubaidah.

SKILLSFUTURE SATU "BONUS"

Seorang lagi pengunjung, Cik Susilawati Abdul Kadir, yang merancang untuk menajamkan kemahirannya menyeru kepada masyarakat Melayu supaya merebut peluang belajar sepanjang hayat menerusi skim SkillsFuture yang disifatkan sebagai "bonus".

"Ia sebagai bonus untuk masyarakat Melayu atau semua (rakyat Singapura) untuk menggunakan wang yang diperuntukkan, untuk masyarakat meningkatkan kemahiran masing-masing dalam bidang masing-masing," kata Cik Susilawati.

Semangat seperti itulah yang diharapkan Dr Maliki - agar mereka yang sudah memanfaatkan SkillsFuture, turut mengalak rakan-rakan, jiran tetangga, sahabat handai dan juga sanak-saudara untuk mengikuti kursus-kursus kemahiran.

Acara Raikan Ilmu@Tenggara itu dihadiri sekitar 3,000 peserta. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan