Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bengkel penterjemahan khusus buat guru demi putik minat pelajar terhadap bahasa ibunda

Guru-guru bahasa Melayu dan Tamil peringkat sekolah menengah menyertai sebuah bengkel penterjemahan buat julung-julung kalinya pada 13 Oktober lalu. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Guru-guru bahasa Melayu dan Tamil peringkat sekolah menengah menyertai sebuah bengkel penterjemahan buat julung-julung kalinya pada 13 Oktober lalu.

Meskipun bengkel itu disasarkan kepada para guru dari sekolah Program Pembelajaran Gunaan (Bahasa) atau ALP, ia juga menarik penyertaan guru dari luar sekolah sedemikian, menurut kenyataan media Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) pada Khamis (14 Okt).

ALP, sebuah program di bawah Kementerian Pendidikan (MOE), menyediakan peluang kepada pelajar untuk mengikuti pembelajaran berasaskan pengalaman dan menerapkannya di dalam konteks kehidupan nyata. Sekolah-sekolah dengan ALP (Bahasa) buat masa ini menawarkan program seperti media dan drama.

Bengkel penterjemahan itu bertujuan untuk membimbing guru-guru tersebut merancang kegiatan pembelajaran gunaan yang bermakna dalam penterjemahan bagi para pelajar mereka, sekali gus memutik minat mereka terhadap penterjemahan. Ini dilakukan dengan menggalak guru untuk merancang pelajaran serta kegiatan secara menarik yang berkisar tentang penterjemahan dan kedwibahasaan.

Dek sekatan COVID-19, menurut kenyataan MCI, semua bengkel itu dikendalikan melalui aplikasi Zoom. Para pelatih terlibat dalam bengkel-bengkel tersebut adalah penterjemah mapan yang beriltizam untuk membantu golongan pelajar memupuk cinta terhadap bahasa serta penterjemahan.

Selain berkongsi teori penterjemahan yang relevan dengan para guru, pelatih juga mencadangkan beberapa strategi dan kegiatan yang boleh diterapkan ke dalam rancangan pelajaran serta acara sekolah untuk merangsang minat pelajar terhadap bahasa dan penterjemahan.

Bahkan, sekolah-sekolah yang sebelum ini berjaya menganjurkan program berkaitan penterjemahan juga diundang untuk berkongsi pengalaman mereka bersama dengan para peserta bengkel tersebut.

Bagi bengkel penterjemahan bahasa Melayu, penterjemah dalam perkhidmatan awam yang berpengalaman selama 20 tahun, Bashir Basalamah, dijemput untuk berkongsi peranan penterjemahan dalam tugas beliau. Di samping itu, mereka juga berkongsi sumber media berguna yang boleh diterapkan para peserta ke dalam rancangan pelajaran serta kegiatan sekolah mereka.

Bengkel penterjemahan untuk guru bahasa Mndarin di peringkat sekolah rendah pula akan dianjurkan seterusnya pada 5 November ini. Secara keseluruhannya, hampir 190 guru dari lebih 80 sekolah menyertai bengkel penterjemahan tersebut tahun ini.

Semua bengkel penterjemahan itu dianjurkan bersama oleh MCI, Jabatan Perancangan dan Pembangunan Kurikulum (CPDD) dan Kementerian Pendidikan (MOE). Ia juga sebagai sebahagian daripada usaha di bawah Inisiatif ‘Masyarakat Yang Peka Terhadap Penterjemahan’ (CiT).

Dilancarkan pada 2016 oleh MCI dan Jawatankuasa Penterjemahan Nasional (NTC), inisiatif CiT menghimpunkan rakan kerja dari sektor-sektor awam, privet serta masyarakat untuk menganjurkan acara serta kegiatan yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran selain minat terhadap penterjemahan. Ini juga di samping membekalkan peserta dengan kemahiran penterjemahan yang berguna.

Menurut kenyataan MCI, sejak pelancaran CiT, kementerian itu dan NTC sudah menganjurkan serta menyokong lebih 55 bengkel, perkhemahan, seminar dan peraduan dalam tiga Bahasa Ibunda rasmi di bawah inisiatif tersebut, termasuk 20 bengkel yang dianjurkan bersama oleh MCI dan MOE. 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan