Images
  • sg flags at uae
    (Gambar: Facebook/MFA, Jay Yao)

Bendera S'pura terpancar di Burj Khalifa sempena NDP

BERITAmediacorp: Setiap tahun, sudah menjadi kebiasaan untuk melihat bangunan-bangunan merata Singapura mengibarkan bendera negara dan dihiasi dengan lambang bulan sabit dan lima bintang tatkala menjelangnya Hari Kebangsaan.

Namun tahun ini, gelombang 'merah putih' kebangsaan Kota Singa kelihatan sampai hingga ke Timur Tengah pula - lebih khusus lagi, ke Amiriah Arab Bersatu (UAE).

Dalam catatan Facebook Kementerian Ehwal Luar Singapura (MFA) pada Sabtu, bangunan terkenal Burj Khalifa dan Dubai Festival City Mall memancarkan bendera Singapura di permukaan masing-masing pada Jumaat sempena Hari Kebangsaan Singapura.

Menurut MFA lagi, tanda muhibah itu dilanjutkan lagi oleh Penguasa Jalan Raya dan Pengangkutan Dubai (RTA Dubai) dengan menayangkan ucapan Selamat Hari Kebangsaan di papan-papan tanda elektronik di sana.

"Kami ingin menyampaikan penghargaan kepada rakan-rakan kami atas tanda bermakna mereka, yang menjadikan perayaan Hari Kebangsaan istimewa bagi warga Singapura di UAE," tambah MFA lagi.

"Singapura dan UAE menikmati hubungan yang sangat baik dan kami mengalu-alukan hubungan yang lebih erat bagi tahun-tahun mendatang."

- BERITAmediacorp/TQ/tq

Top