Images
  • warga tua
    Gambar fail TODAY.

Benarkah warga emas di S’pura perlukan $1,379 sebulan bagi tampung keperluan asas?

SINGAPURA: Warga tua yang berusia 65 tahun ke atas memerlukan $1,379 sebulan bagi menampung keperluan asas, menurut sekumpulan pengkaji daripada Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew (LKYPP).

Perangkaan tersebut dipetik daripada kajian yang dijalankan oleh pasukan tersebut yang diterajui oleh Penolong Profesor Ng Kok Hoe dari LKYPP di Universiti Nasional Singapura (NUS). Hasil kajian itu didedahkan melalui satu kenyataan media semalam (22 Mei).

Jumlah yang diperlukan bagi menampung keperluan asas warga tua yang tinggal sendirian adalah $1,379 sebulan. Bagi mereka yang tinggal bersama pasangannya, jumlah yang diperlukan adalah sebanyak $2,351 setiap bulan dan individu yang berusia antara 55 hingga 64 tahun pula, memerlukan $1,721 sebulan, menurut kajian itu.

Jumlah berkenaan diperolehi berdasarkan hasil perbincangan kumpulan fokus yang melibatkan lebih 100 peserta daripada pelbagai latar belakang dan menggunakan kaedah berdasarkan persetujuan bersama yang dikenali sebagai Piawai Pendapatan Minimum (MIS).

Para peserta menghasilkan senarai barangan dan perkhidmatan yang dianggap sebagai keperluan asas melalui persetujuan bersama itu.

Berdasarkan senarai tersebut, belanjawan mereka kemudian ditentukan.

PERBEZAAN ANTARA PERBELANJAAN SEBENAR DENGAN PERUNTUKAN BELANJA

Jika dibandingkan dengan data mengenai perbelanjaan sebenar daripada Tinjauan Perbelanjaan Keluarga Singapura 2012/13, perbelanjaan para pesara bagi jagaan kesihatan adalah lebih tinggi daripada yang diramalkan dalam kajian tersebut. Ini tidak termasuk kos merawat keadaan kronik dan sakit teruk.

Menurut kajian itu lagi, meskipun pencarum dan simpanan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) dijangka bertambah bagi kohort-kohort akan datang, bayaran persaraan asas yang kurang $800 membentuk hampir separuh daripada belanjawan warga tua yang tinggal sendirian, menurut kajian itu.

“Bagi mengatasi ketidaksamarataan, adalah penting untuk menentukan paras asas yang dipersetujui agar tiada seorang pun yang terkecuali,” tegas Penolong Profesor Teo You Yenn dari Sekolah Sains Kemasyarakatan, Universiti Teknologi Nanyang (NTU), seorang anggota pasukan tersebut dan penulis buku This is What Inequality Looks Like.

“Kaedah MIS ini boleh digunakan untuk mendapatkan persetujuan bersama masyarakat bagi berbagai-bagai jenis keluarga." 

- CNA/SM/sm

Top