Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Belia S'pura tidak lagi tertarik dengan 5C; punya pemikiran 'YOLO'

Generasi muda Singapura sedang membangunkan erti kejayaan mereka sendiri, dan Pemerintah perlu mewujudkan secara bersama dasar sosial yang betul bagi zaman ini, kata Dr Mohd Maliki Osman dalam ucapannya di Parlimen hari ini (17 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Belia S'pura tidak lagi tertarik dengan 5C; punya pemikiran 'YOLO'

Gambar fail Dr Maliki Osman.

Diterbitkan : 17 May 2018 06:55PM Dikemas Kini : 17 May 2018 06:57PM

SINGAPURA: Generasi muda Singapura sedang membangunkan erti kejayaan mereka sendiri, dan Pemerintah perlu mewujudkan secara bersama dasar sosial yang betul bagi zaman ini, kata Dr Mohd Maliki Osman dalam ucapannya di Parlimen hari ini (17 Mei).

Dr Maliki, yang berucap pada hari keempat perbahasan Ucapan Presiden, menyentuh mengenai pentingnya memahami kebimbangan dan aspirasi golongan milenial. Ini kerana merekalah yang akan mewarisi dan membentuk secara aktif masa depan Singapura.

Presiden Halimah Yacob berkata dalam ucapannya minggu lalu bahawa generasi keempat pemimpin Singapura perlu "bekerja rapat" dengan rakyat Singapura yang muda, dan perlu membakar semangat dan menggembleng tenaga rakyat muda Singapura.

Beliau menarik perhatian tentang cara pemikiran para belia zaman sekarang. Impian rakyat Singapura untuk memiliki 5C - wang tunai, kereta, kad kredit, kondominium dan keanggotaan country club - adalah "zaman lampau" kata beliau. Sebaliknya golongan milenial sedang membangunkan erti kejayaan mereka sendiri.

"Belia zaman sekarang dahagakan pengalaman yang bermakna dan tidak dapat dilupakan yang mementingkan perjalanan, dan bukan hanya tertumpu kepada destinasi," jelas Dr Maliki, yang merupakan Menteri Negara Kanan bagi Pertahanan dan Ehwal Luar.

Beliau turut menambah bahawa belia ingin keghairahan tentang di mana mereka tinggal, bekerja dan bermain, yang sejajar dengan sikap Anda Hanya Hidup Sekali (YOLO).

"Dengan itu, para belia boleh membesarkan keluarga di rumah-rumah yang dapat menawarkan hubungan digital dan fizikal. Bayangkan, dengan menggunakan kecerdasan buatan, rumah-rumah bijak boleh melaksanakan kerja-kerja rumah," kata Dr Maliki.

Di tempat kerja pula, beliau menambah bahawa golongan milenial harus berdepan dengan cabaran menyertai persaingan pasaran pekerjaan global yang amat sengit.

"Lebih ramai lagi akan bertukar-tukar pekerjaan, dengan kadar pemberhentian kerja yang lebih tinggi lagi bagi beberapa kerjaya - kerana mengumpul wang sahaja tidak mencukupi. Mereka ingin mencari pengalaman baru dan belajar benda-benda baru kerana hanya memiliki satu kemahiran tidak mencukupi untuk hidup dalam keadaan persaingan yang sengit," kata beliau.

Dr Maliki menambah bahawa golongan milenial juga suka mencari tempat-tempat yang cantik untuk dikongsi di Instagram, serta menyertai pelbagai acara kesenian dan sukan. Dengan itu Singapura perlu menawarkan lebih banyak aktiviti-aktiviti beriadah.

"Bagi memuaskan keinginan pengalaman baru generasi muda ini, pemerintah perlu bekerjasama dengan rakyat untuk mengubah erti kejayaan dan memahami bahawa ia merupakan sesuatu yang sering berubah dan ia memberikan kita sesuatu yang baru dan lebih baik untuk diimpikan," kata beliau.

Dalam mengiktiraf bahawa e-dagang sudah mengubah pengalaman membeli, yang membolehkan golongan milenial untuk melakukan pembelian dari rumah dengan satu klik sahaja, Dr Maliki menekankan bahawa Perkhidmatan Awam Singapura perlu memikirkan semula cara ia memberikan perkhidmatannya.

"Ini satu seruan kepada pemerintah untuk mempertingkatkan lagi piawai perkhidmatan awam bagi memenuhi jangkaan rakyat kami. Ini merupakan peluang untuk mengubah bidang-bidang urus tadbir seperti perumahan, kesihatan, perkhidmatan sosial, pendidikan dan pengangkutan," tambah beliau.

'FOMO' - TAKUT KETINGGALAN

Merujuk kepada konsep Takut Ketinggalan atau 'Fear Of Missing Out' (FOMO) - cara pemikiran di kalangan anak muda atas kebimbangan mereka ketinggalan sesuatu yang hebat - Dr Maliki menekankan bahawa terdapat "potensi yang besar" bagi rakyat muda Singapura untuk menyertai dalam pembangunan bersama dan bertanggungjawab atas Singapura.

Contohnya, beliau menukil bagaimana rakyat muda Singapura menyertai dalam rekaan bandar dan penggubalan dasar Lembaga Perumahan dan Pembangunan Adventure Playground @ Canberra.

Beliau berkata bahawa taman permainan di estet perumahan Canberra di Sembawang itu mempunyai ciri-ciri yang dibangunkan dan direka oleh para penduduk.

"Sekitar 1,800 orang terlibat dalam bengkel rekaan, pameran dan tinjauan. Hasilnya adalah satu kemudahan yang seronok bagi penduduk muda, dengan ciri-ciri yang mencerminkan warisan kawasan tersebut," kata beliau.  

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan