Images
  • youth main

Belia S'pura digesa jadi 'pejuang keamanan' bagi perangi radikalisme

SINGAPURA: Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri, Amrin Amin mengajak golongan belia untuk tampil ke depan dan memainkan peranan lebih aktif jadi “pejuang keamanan”.

Langkah itu adalah sebagai usaha mereka memerangi penyebaran propaganda radikalisme melalui media sosial.

Beliau berkata, salah satu caranya adalah dengan belia sendiri mengambil inisiatif menganjurkan program silang agama.

Encik Amrin berkata demikian di acara tahunan Forum Belia 2019 anjuran Jagaan Susulan Antara Agensi (ACG), di Politeknik Republic, siang tadi (30 Nov).


BELIA TERUS TERDEDAH KEPADA PENGARUH PROPAGANDA ONLINE

Berdasarkan Buku Tahunan Perangkaan 2019, jumlah belia Singapura mencecah 1.5 juta orang pada tahun ini.

65 peratus daripada mereka giat dalam aktiviti-aktiviti sivik termasuk menggunakan wadah online untuk membincangkan isu-isu masyarakat dan politik.

Ini mendedahkan mereka kepada pengaruh bahan-bahan berbahaya online, seperti ideologi radikal.

Pada masa yang sama dalam era digital sekarang, internet juga wadah yang paling berpotensi mempengaruhi golongan muda menjadi radikal.

Lantas, forum yang dihadiri 200 penuntut kelima-lima politeknik di sini, membincangkan cara-cara paling berkesan memerangi penyebaran radikalisme.

Ini dilakukan menerusi beberapa sesi perkongsian bersama Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY), Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) serta sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS).

Beberapa pelajar yang ditemui berkata sesi tersebut berjaya mengubah beberapa salah tanggapan mereka terhadap isu radikalisme.

"Salah satu salah tanggapan yang paling besar ialah terrorisme sama dengan orang Islam, ia sebenarnya tidak benar. Malah orang Cina atau India juga boleh menjadi radikal, jadi kita tidak boleh hanya memberi fokus kepada orang Islam sebaliknya kita perlu sentiasa memerhatikan kaum-kaum lagi," kata Leona Karen, pelajar Politeknik Republic.

Bagi Luqman Al Hakim Mohd Najib Mohidu pula, sesi perkongsian itu memberikannya pendedahan terhadap saluran-saluran betul bagi mendapatkan bantuan.

"Daripada sesi ini saya dapat tahu tentang pelbagai sumber yang saya boleh cari apabila saya mendapati atau jumpa orang itu menjadi radikal," kongsinya dengan pihak kami.

BELIA DIGESA JADI BARISAN HARAPAN

Menteri Undang-undang merangkap Ehwal dalam Negeri Encik K Shanmugam turut sama dalam forum itu bersama Setiausaha Parlimen Kanan Amrin Amin.

Encik Amrin berkata belia Singapura perlu meningkatkan tanggungjawab dan peranan mereka untuk menjadi golongan barisan hadapan dalam usaha memerangi ideologi radikal.

Beliau berharap belia sendiri dapat mengambil inisiatif menganjurkan sesi silang agama.


"Saya rasa ini perkara yang penting supaya mereka boleh memperkasakan belia-belia kita supaya mereka boleh mengambil tindakan-tindakan, boleh memulakan inisiatif-inisiatif dan program agar belia dari kaum lain dapat berinteraksi dan mengenali antara satu sama lain sebagai kawan, sebagai orang yang berfikir positif antara satu sama lain," kongsi Encik Amrin.

Mengulas tentang sesi yang dijalani para belia itu pula, Encik Amrin berkata ia mempamerkan bagaimana belia Singapura 'serius' dan 'prihatin' terhadap isu ehwal dalam negara.

"Sesi ini menunjukkan bahawa belia kita prihatin tentang cabaran yang dihadapi negara kita tentang cabaran perpaduan agama, perpaduan bangsa.

"Jadi, ini adalah satu perkara yang membimbangkan mereka dan saya juga gambira yang mereka akur mereka boleh mengambil langkah-langkah untuk menangani, untuk menguatkan lagi perpaduan masyarakat kita," tambah beliau lagi.

DOKUMENTARI DILANCAR

Sebuah dokumentari “The Cubs of the Caliphate” ditayangkan, hasil kerjasama Jagaan Susulan Antara Agensi (ACG) yang merangkumi AMP, MENDAKI, Taman Bacaan dan Masjid Khadijah.

Ia mengetengahkan program militan ISIS merekrut kanak-kanak berusia 10 hingga 15 tahun untuk dilatih menjadi tenteranya dan perisai manusia semasa bertempur. 

- BERITAmediacorp/ur

Top