Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Belanjawan bukan 'habuan' tetapi pelan kewangan masa depan S'pura, kata DPM Heng

Belanjawan negara bukan "beg habuan" tetapi pelan kewangan yang menyokong rancangan lebih strategik bagi masa depan Singapura, Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat menekankan pada Isnin (20 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 20 Jan 2020 08:27PM Dikemas Kini : 20 Jan 2020 11:53PM

SINGAPURA: Belanjawan negara bukan "beg habuan" tetapi pelan kewangan yang menyokong rancangan lebih strategik bagi masa depan Singapura, Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat menekankan pada Isnin (20 Jan).

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan daripada pengarah Institut Pengajian Dasar (IPS) Janadas Devan tentang sama ada Belanjawan negara ini, yang akan diumumkan pada 18 Feb, adalah "Belanjawan Pilihan Raya".

Timbalan Perdana Menteri Heng berucap semasa sesi soal jawab di sidang Perspektif Singapura anjuran IPS.

Encik Heng, yang juga Menteri Kewangan, berkata: "Banyak perkara yang kami laburkan dalam Belanjawan - sama ada untuk menyusun semula struktur ekonomi, untuk menawarkan peluang lebih baik bagi warga kita - membantu kita membina keupayaan, bukan sekadar untuk setahun dua tapi bagi jangka masa panjang."

Isu-isu tertentu seperti keadaan ekonomi sedia ada yang terjejas oleh perang perdagangan, memerlukan langkah jangka pendek dan panjang, kata beliau.

Dalam ucapannya awal hari ini Encik Heng berkata Pemerintah sedang mengkaji bagaimana pihaknya boleh membantu golongan berpendapatan rendah dan rendah-sederhana di Singapura. Ini termasuk warga emas sedia ada dan akan datang, untuk memenuhi keperluan persaraan mereka dengan cara yang mampan, dengan berjanji bahawa lebih butiran akan diumumkan semasa pembentangan Belanjawan kelak.

FAKTA PERLU TEPAT

Encik Heng juga menjawab beberapa soalan lain, dua daripadanya menyentuh tentang Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Online (POFMA).

Seorang peserta dari Universiti Teknologi Nanyang bertanya sama ada Pemerintah akan menggunakan undang-undang seperti POFMA sebagai "huraian kepada masalah-masalah".

Beliau bertanya jika Encik Heng berpandangan bahawa undang-undang sedemikian "meluaskan jurang" antara rakyat dengan pemerintah.

Menjawab, DPM Heng berkata POFMA bukan bertujuan untuk menghentikan orang ramai daripada mengutarakan pendapat berbeza namun digunakan untuk menyasarkan kepalsuan.

"Bagi wacana politik, apabila anda membuat keputusan bagi masa depan negara, adalah lebih penting untuk memastikan pendapat dan fakta yang dikeluarkan adalah tepat dan bukan palsu atau mengelirukan," jelas beliau.

SISTEM GST TIDAK BERSIFAT REGRESIF

Encik Heng turut menjawab soalan dari anggota parti pembangkang, termasuk Profesor Paul Tambyah dari Parti Demokratik Singapura (SDP), Encik Goh Meng Seng dari Parti Kuasa Rakyat (PPP) dan Encik Leong Mun Wai, penolong setiausaha agung baru Parti Kemajuan Singapura (PSP).

Pengerusi SDP Prof Tambyah bertanya jika semua alternatif sudah dipertimbangkan sebelum Pemerintah memutuskan kenaikan GST yang dirancang. Beliau menyifatkannya sebagai cukai "regresif" dan memberi alternatif, seperti mengembalikan kadar cukai korporat kepada 20 peratus.

Encik Heng berkata angka asal menggambarkan sistem GST sebagai regresif tetapi ia sebenarnya tidak.

"Kami berhati-hati dalam menggubal dasar, untuk memastikan manfaat sistem cukai dan banyak skim yang kami ada, memanfaatkan kumpulan berpendapatan lebih rendah, yang benar-benar memerlukan bantuan," katanya.

Encik Goh, setiausaha agung PPP, berkata "kuasa memecah belah" kini kembali ke Singapura dan bertanya tentang kedudukan rakyat baru dalam "suasatan geopolitik yang berubah-ubah". Beliau memberi contoh rakyat baru dari China yang setia kepada negara asal mereka.

"Adakah ini akan menjejas dasar, arah politik dan keputusan yang kita ambil?" tanya beliau.

Encik Heng mengakui rakyat baru boleh menjadi kuasa pemisah jika ketaatan mereka dipersoal.

Memandangkan rakyat baru sudah memilih untuk tinggal di Singapura, rakyat Singapura perlu berusaha sebaik-baiknya untuk mengalu-alukan dan menyepadukan mereka agar mereka boleh menjadi sebahagian daripada "pasukan kita", kata Encik Heng.

"Dari sudut ini, saya ingin menyatakan saya amat bimbang begitu ramai orang sedang cuba mengeksploitasi perbezaan begini," kata Encik Heng.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan