Images
  • berita jelajah
    Wartawan BERITAmediacorp Amirah Isa mendampingi golongan PMET semasa BERITA Jelajah. (Gambar: BERITAmediacorp)

Belanjawan 2020: Sokongan kos jagaan kesihatan, sara hidup, pekerjaan antara harapan rakyat

SINGAPURA: 65 peratus golongan karyawan, pengurus, jurutera dan teknisyen (PMET) berharap isu berkaitan jagaan kesihatan dapat menjadi tumpuan utama dalam Belanjawan Negara yang akan dibentangkan Selasa ini (18 Feb).

Itu dapatan daripada tinjauan rambang dijalankan BERITAmediacorp semasa kakitangan kami turun padang ke daerah pusat perniagaan atau CBD hari ini (14 Feb).

Sesi mendampingi golongan PMET tersebut adalah untuk mendapatkan maklum balas daripada PMET tentang apakah yang patut menjadi tumpuan Belanjawan.

Selain isu kesihatan yang kini bermain di minda ramai orang mentelah lagi di tengah-tengah penularan COVID-19, isu-isu perumahan, pekerjaan serta perbelanjaan keluarga turut memprihatinkan 100 orang awam yang ditinjau.

"Pemerintah dapat memberikan sokongan kepada pekerja-pekerja dari segi latihan di syarikat sendiri," kata Marianti Tugimen.

Abdul Hanan Jumadi pula berkongsi: "Saya harap mereka boleh bantu dalam bidang jagaan kesihatan dan pelajar yang bekerja sambil sekolah. Jadi kita lagi senang untuk belanja di luar dan bantu keluarga."

Lebih sepertiga daripada mereka berharap sokongan lebih besar dapat diberikan kepada keluarga-keluarga kerana kini turut berdepan dengan landskap ekonomi lebih muram dek kesan daripada virus COVID-19.

AP GRC Bishan-Toa Payoh Saktiandi Supaat yang turut hadir di sesi itu berkata: "Dari segi Belanjawan yang akan datang ini, mungkin pemerintah saya harap dapat memberikan lebih banyak lagi untuk warga Singapura dari segi pertolongan mengurangkan kos kehidupan.

"Jadi khusus untuk sektor-sektor tertentu saya rasa mungkin dalam Belanjawan ini pertolongan dari segi khusus pekerja-pekerja dan firma-firma dalam sektor F&B, runcit, mungkin perdagangan borong."

Selain menangani kelembapan ekonomi dan cabaran COVID-19, belanjawan kali ini juga disebut-sebut sebagai 'belanjawan Pilihan Raya' memandangkan pilihan raya umum besar kemungkinan diadakan tahun ini. 

- BERITAmediacorp/ru

Top