Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Belanjawan 2020 sertakan langkah baru 'tidak difikirkan sebulan lalu', kata DPM Heng

Belanjawan Singapura 2020 akan meliputi langkah-langkah yang "tidak difikirkan sebulan lalu". Ini sebagai respons kepada keadaan virus korona COVID-19 sekarang ini. Demikian kata Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat pada Isnin (17 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Belanjawan 2020 sertakan langkah baru 'tidak difikirkan sebulan lalu', kata DPM Heng

Belanjawan 2020 akan disampaikan pada 18 Feb 2020 oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Heng Swee Keat. (Gambar: Heng Swee Keat/Facebook)

Diterbitkan : 17 Feb 2020 10:48PM Dikemas Kini : 17 Feb 2020 10:50PM

SINGAPURA: Belanjawan Singapura 2020 akan meliputi langkah-langkah yang "tidak difikirkan sebulan lalu". Ini sebagai respons kepada keadaan virus korona COVID-19 sekarang ini. Demikian kata Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat pada Isnin (17 Feb).

"Selalunya, kami akan cuba tetapkan butirannya seawal mungkin. Tahun ini, kami tidak boleh berbuat begitu kerana penularan COVID-19," kata Encik Heng dalam satu catatan Facebook.

Para pegawai di Kementerian Kewangan (MOF) terpaksa bekerja lembur untuk menjejaki keadaan, mengumpulkan saranan daripada orang ramai dan melakarkan langkah-langkah sokongan tertumpu, kata beliau.

Menulis di laman Facebooknya menjelang Ucapan Belanjawan pada Selasa (18 Feb), Encik Heng yang juga Menteri Kewangan berkata bahawa tanpa rizab Singapura - kedua-dua kewangan dan lainnya - Singapura mungkin berada dalam keadaan lebih teruk.

"Pasukan saya dan saya tidak dapat meluangkan baki beberapa minggu lalu untuk melakarkan langkah-langkah penstabilan dan sokongan," kata menteri itu. "Kami sebaliknya bersengkang mata, mencuba untuk meramalkan kesan negatif akibat wabak itu, bagaimana teruk kita akan terjejas dan bukan apa yang boleh kami lakukan untuk menstabilkan ekonomi serta menyokong warga negara kami."

"RIZAB YANG BANYAK"

Singapura boleh bertindak "pantas dan tegas" terhadap virus COVID-19 kerana negara mempunyai "rizab yang banyak", ujarnya. Rizab tersebut bukan sahaja dalam bentuk kewangan, kata Encik Heng, tetapi juga yang kurang ketara seperti kekuatan dan daya bingkas.

"Jika kita tidak mempunyai kualiti seumpama itu, kita tidak boleh bersatu mengharungi krisis ini dan bangkit lebih kuat."

Beliau meminta Singapura melihat wabak penyakit ini sebagai satu "rangsangan dan ujian".

"Ia merangsang kita untuk menjadi rakyat Singapura lebih baik yang melakukan yang terbaik untuk keluarga dan orang di sekeliling mereka," katanya. "Ia satu ujian untuk kita menunjukkan bahawa kita boleh bangkit daripada cabaran ini dan menjadi generasi berharga kepada generasi sebelum kita dan generasi akan datang."

Kenyataan Encik Heng dibuat sedang negara dibelenggu dengan virus korona COVID-19 yang berterusan di tengah-tengah prospek ekonomi yang suram. Singapura pada Isnin (17 Feb) menurunkan ramalannya bagi pertumbuhan ekonomi 2020 kepada antara -0.5 peratus hingga 1.5 peratus.

Pada Ahad (16 Feb), Encik Heng berkata satu pakej untuk membantu keluarga dengan kos hidup akan diperkenalkan sebagai sebahagian daripada Belanjawan tahun ini. Ini sedang beliau berusaha meyakinkan rakyat Singapura bahawa Pemerintah memperuntukkan sumber sepenuhnya untuk menangani penularan COVID-19.  

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan