Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Belanjawan 2020 peruntukkan pakej bantu keluarga biaya kos sara hidup semasa wabak COVID-19, kata DPM Heng

Satu pakej sokongan bagi membantu keluarga  mengharungi kos sara hidup akan diperkenalkan dalam Belanjawan tahun ini, kata Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat pada Ahad (16 Feb)

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 16 Feb 2020 07:16PM Dikemas Kini : 18 Feb 2020 02:40PM

SINGAPURA: Satu pakej sokongan bagi membantu keluarga mengharungi kos sara hidup akan diperkenalkan dalam Belanjawan tahun ini, kata Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat pada Ahad (16 Feb). Ia sebahagian usaha untuk meyakinkan rakyat Singapura bahawa Pemerintah memperuntukkan sumber sepenuhnya untuk menangani penularan virus COVID-19.

Setakat Sabtu (15 Feb), 72 orang diuji positif virus korona itu di Singapura dengan Pemerintah menaikkan tahap amaran DORSCON ke Jingga awal bulan ini.

Sedang Singapura berdepan dengan cabaran-cabaran itu, Encik Heng berkata pihak berkuasa sedang melakukan yang terbaik untuk mengatasi virus tersebut.

Kenyataan Encik Heng itu dibuat selepas Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Jumaat (14 Feb) memberi amaran bahawa penularan COVID-19 sekarang ini boleh memberi kesan ketara ke atas ekonomi negara.

"Memandangkan keyakinan terjejas, perniagaan dan pengguna mungkin mengurangkan perbelanjaan," kata Encik Heng. "Gangguan kepada rangkaian bekalan sejagat - akibat gangguan ke atas pengilangan di China - juga akan menjejas perdagangan dan pengilangan. Sememangnya pekerja dan firma kita sangat prihatin."

Lantaran itu, Encik Heng - yang juga Menteri Kewangan - menyentuh tentang "langkah-langkah luas" yang akan diumumkan dalam Belanjawan 2020 untuk menyokong syarikat, pekerja dan keluarga.

Ini termasuk menyediakan sokongan gaji untuk "membantu syarikat mengekalkan pekerjaan bagi pekerja setempat" serta rebat cukai dan pengecualian bayaran sewa bagi menolong syarikat menangani aliran wang tunai mereka.

Lebih banyak sokongan juga akan diberikan kepada sektor-sektor yang terjejas teruk akibat virus itu, kata Encik Heng, termasuk makanan dan minuman (F&B) serta runcit.

Pemerintah juga akan menyokong firma dan pekerja "memanfaatkan dengan sepenuhnya waktu ini" untuk menjalankan penyusunan semula pekerjaan, latihan dan peningkatan kemahiran agar dapat "bangkit lebih kuat lagi apabila keadaan kembali pulih".

Bantuan juga akan dihulurkan kepada isi rumah yang prihatin tentang kos sara hidup, tambah Encik Heng.

Beliau menekankan bahawa Pemerintah akan melakukan "semua yang perlu" untuk membantu mereka yang terjejas oleh penularan COVID-19.

"Dengan semua langkah sokongan tambahan ini, anda dapat jaminan saya bahawa kita akan bangkit dari (penularan) ini. Jangan takut."

Encik Heng berkata hanya seminggu selepas urutan virus penyakit itu disediakan, para penyelidik tempatan sudah menghasilkan satu kit diagnostik bagi virus tersebut.

Singapura menyumbangkan 20,000 kit ujian itu kepada China, tambah beliau, sambil menarik perhatian bahawa "kita semua" akan meraih manfaat daripada kejayaan China mengatasi wabak itu. Singapura dan masyarakat sejagat harus "memainkan peranan untuk menyumbang kepada usaha ini," tambah beliau.

Masyarakat penyelidik tempatan juga bekerjasama dengan rakan kerja di peringkat global untuk lebih memahami virus itu, membangunkan ujian diagnostik lebih cepat yang lebih mudah dijalankan dan mencuba rawatan baru serta vaksin yang berpotensi merawat virus tersebut. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan