Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Belanjawan 2019: Pengecualian GST lebih rendah bagi pembelian luar negara

Mereka yang membawa masuk ke Singapura barangan yang dibeli dari luar negara, kini akan mendapat pengecualian Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang lebih rendah.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 18 Feb 2019 09:52PM Dikemas Kini : 19 Feb 2019 12:35AM

SINGAPURA: Mereka yang membawa masuk ke Singapura barangan yang dibeli dari luar negara, kini akan mendapat pengecualian Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang lebih rendah.

Menteri Kewangan Heng Swee Keat mengumumkan demikian semasa membentangkan kenyataan Belanjawan pada Isnin (18 Feb). Perubahan itu berkuat kuasa pada tengah malam Selasa.

Encik Heng berkata bagi mereka yang berada di luar negara kurang 48 jam akan dikenakan GST ke atas barangan yang dibeli di luar negara bernilai lebih S$100.

Sebelum ini, GST hanya dikenakan ke atas barangan yang bernilai S$150 ke atas.

Mereka yang berada di luar negara selama 48 jam atau lebih pula, perlu membayar GST ke atas pembelian melebihi S$500, berbanding S$600 sebelum ini.

Pengeculian GST itu ditetapkan bagi warga Singapura, Penduduk Tetap dan pelancong. Ia bagaimanapun tidak diberikan kepada krew kapal dan pemegang permit kerja, pas kerja, pas pelajar atau pemegang pas jangka panjang.

Perubahan ini akan memastikan daya tahan sistem cukai Singapura, kata Encik Heng. "GST adalah cukai meluas yang menyumbang secara signifikan kepada sumber fiskal," tambah beliau.

Ini menyusuli pengumuman Encik Heng semasa Belanjawan tahun lalu mendedahkan GST ke atas khidmat diimport untuk memastikan kutipan GST "kekal adil dan berdaya tahan dalam ekonomi digital".

Sedang banyak negara lain mengambil "jalan mudah" dengan membiaya perbelanjaan berulang - seperti perbelanjaan penjagaan kesihatan, pendidikan prasekolah dan keselamatan - menerusi pinjaman, Encik Heng menambah bahawa ini "bukan cara Singapura".

"Kita tidak seharusnya melakukan ini, kerana pinjaman sedemikian memindahkan beban membiaya keperluan hari ini kepada generasi masa depan," tegas beliau.

"Pendekatan lebih adil dan mampan adalah dengan membiaya perbelanjaan berulang dengan dapatan berulang. Lantas, kita mesti perlu terus menyemak sistem cukai untuk memastikan daya bingkasnya."

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan