Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Belanjawan 2019: Mengapa anda perlu ambil tahu?

Setiap tahun, pada sekitar Februari atau Mac, ramai rakyat Singapura akan terpaku di kaca televisyen ataupun di skrin telefon untuk mendengar apakah habuan yang akan diagihkan Pemerintah dalam kenyataan Belanjawan. Tahun ini ia disampaikan pada Isnin (18 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Belanjawan 2019: Mengapa anda perlu ambil tahu?

(Gambar: Koh Mui Fong/TODAY)

Diterbitkan : 18 Feb 2019 03:08PM Dikemas Kini : 18 Feb 2019 03:12PM

SINGAPURA: Setiap tahun, pada sekitar Februari atau Mac, ramai rakyat Singapura akan terpaku di kaca televisyen ataupun di skrin telefon untuk mendengar apakah habuan yang akan diagihkan Pemerintah dalam kenyataan Belanjawan. Tahun ini ia disampaikan pada Isnin (18 Feb).

Namun pandangan yang menumpukan semata-mata kepada soalan "apa yang ada untuk saya" tidak memberi gambaran penuh tentang belanjawan, kata para pengamat.
Menteri Kewangan Heng Swee Keat sebelum ini menekankan bahawa Belanjawan "bukan tentang memberi habuan".

Sebaliknya, kenyataan Belanjawan adalah "set perancangan yang agak serius untuk kita memikirkan apakah kita, sebagai negara dan rakyat ingin lakukan bersama dan untuk bergerak ke hadapan," tambah beliau.

ACARA NASIONAL UTAMA

Sejak berdekad lamanya, Belanjawan Singapura adalah salah satu acara penting dalam kalendar politik.

Para penganalisis menekankan bahawa Belanjawan digunakan sebagai cara untuk memperkenalkan dasar-dasar baru.

Meskipun ia membentangkan peruntukan sumber dan keutamaan Pemerintah bagi tahun fiskal, para pemimpin pemerintah sering menekankan bahawa setiap Belanjawan adalah kesinambungan daripada belanjawan sebelumnya.

Menyusuli Pilihan Raya Umum pada 2015, tiga Belanjawan sudah didedahkan sejauh ini di bawah penggal Pemerintah sedia ada.

Para pengamat menekankan beberapa tema penting dalam tiga Belanjawan lalu:

- Perubahan Ekonomi

- Merapatkan jurang ketidaksamarataan

- Kemampanan alam sekitar dan fiskal

PERUBAHAN EKONOMI: SATU TUGAS PENTING

Menurut para pemerhati, penyusunan semula ekonomi mungkin tetap menjadi keutamaan terpenting Pemerintah meskipun terdapat cabaran-cabaran lain - dalam bidang sosial dan persekitaran - yang perlu ditangani.

Penolong Profesor Woo Jun Jie dari Universiti Pendidikan Hong Kong berkata bahawa ini terutamanya disebabkan oleh "persekitaran ekonomi luaran yang semakin rumit dan kompetitif."

Ini sebahagiannya disebabkan oleh cabaran-cabaran yang timbul akibat Revolusi Perindustrian keempat, yang khususnya merujuk kepada gangguan yang berlaku disebabkan oleh kemajuan pesat teknologi.

Oleh kerana tiada cara untuk menghalang teknologi-teknologi tersebut daripada mencetuskan perubahan besar pada ekonomi global, profesor sosiologi Paulin Straughan dari Universiti Pengurusan Singapura (SMU) berkata bahawa Singapura yang berada di "pusat trend global", perlu "bergerak seiring trend itu atau akan ketinggalan".

"Oleh itu terdapat keperluan segera di sana," tambah beliau.

MENANGANI KEPERLUAN SOSIAL

Sedang Pemerintah dianggap sangat berjimat-cermat berhubung perbelanjaan sosial, keprihatinan utama hari ini adalah untuk mengetahui cara untuk mendapatkan hasil bagi memenuhi keperluan sosial lebih besar.

Berdasarkan statistik Kementerian Kewangan (MOF), Pemerintah membelanjakan lebih banyak wang bagi pendidikan dan jagaan kesihatan tetapi para penganalisis berkata ini bukan satu kelaziman beberapa dekad lalu.

Dasar-dasar sosial menjadi lebih penting di Singapura kerana dasar-dasar yang tertumpu kepada ekonomi semakin diakui tidak membantu beberapa lapisan masyarakat dan meluaskan jurang ketidaksamarataan, menurut para penganalisis.

Meskipun ada yang berkata bahawa kepentingan ekonomi akan diutamakan, sesetengah pihak berpendapat program ekonomi dan sosial bukan dua perkara berbeza sama sekali.

Menurut profesor Eugene Tan dari SMU, pihak berkuasa sudah mencuba untuk "berhati-hati mengimbangi" kepentingan ekonomi dan cabaran sosial dan mencapai keseimbangan antara kedua-duanya sentiasa satu "usaha berterusan". 

Sumber : Today/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan