Images
  • parliament building
    (Gambar: Mediacorp)

Belanjawan 2019 dibentang 3.30 petang Isnin depan

SINGAPURA: Menteri Kewangan Heng Swee Keat akan membentangkan Kenyataan Belanjawan Singapura 2019 di Parlimen Isnin depan (18 Feb) pada 3.30 petang, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

Orang ramai boleh menonton ucapan Belanjawan menerusi beberapa saluran, termasuk siaran langsung di laman Belanjawan.

Ucapan tersebut juga akan disiarkan secara langsung di Channel NewsAsia dan lamannya serta saluran radio 938Now dan wadah Toggle Mediacorp. Kemaskini secara langsung menerusi blog serta laman Channel NewsAsia dan wadah Facebook dan Twitternya juga disediakan.

Menurut kenyataan itu lagi, MOF sedang bekerjasama dengan Persatuan Orang Pekak Singapura (SADeaf) untuk menyediakan penterjemahan bahasa isyarat serentak di laman Belanjawan semasa ucapan disampaikan.

Laman Facebook dan akaun Twitter MOF juga akan menyediakan kemas kini bagi sebarang pengumuman penting dalam ucapan itu dalam masa nyata.

Maklumat terkini Belanjawan juga akan diedarkan menerusi emel, serta saluran WhatsApp dan Telegram MOF bagi mereka yang berdaftar.

MAKLUM BALAS BELANJAWAN

Portal maklum balas Pemerintah REACH akan menganjurkan Dialog Belanjawan 2019 pada 21 Februari untuk membincankgan langkah-langkah yang diumumkan dalam belanjawan.

Ia akan dipengerusikan oleh Menteri di Pejabat Perdana Menteri Indranee Rajah dan pengerusi REACH, Sam Tan, yang juga merupakan Menteri Negara Ehwal Luar merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga.

REACH juga akan mengadakan siri perbincangan radio dan dialog. Mereka yang berminat untuk menyertai dialog-dialog itu boleh berdaftar di laman Belanjawan REACH atau mengirimkan emel ke reach@reach.gov.sg.

Warga Singapura juga boleh berkongsi pandangan mereka secara persendirian di reruai maklum balas Belanjawan REACH yang akan dibuka di beberapa tempat dari 20 Februari hingga 3 Mac.

- CNA/TQ/tq

Top