Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Belanjawan 2019: 30% belanjawan diperuntukkan bagi pertahanan, keselamatan dan diplomasi

SINGAPURA: Di tengah-tengah latar belakang yang disifatkan oleh Menteri Kewangan Heng Swee Keat sebagai "persekitaran geopolitik yang semakin tidak menentu", Pemerintah akan membelanjakan sekitar 30 peratus daripada perbelanjaan tahun ini untuk menampung pertahanan, keselamatan dan usaha diplomasi.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 18 Feb 2019 05:23PM Dikemas Kini : 19 Feb 2019 12:36AM

SINGAPURA: Di tengah-tengah latar belakang yang disifatkan oleh Menteri Kewangan Heng Swee Keat sebagai "persekitaran geopolitik yang semakin tidak menentu", Pemerintah akan membelanjakan sekitar 30 peratus daripada perbelanjaan tahun ini untuk menampung pertahanan, keselamatan dan usaha diplomasi.

"Perbelanjaan ini sangat besar dan ketara, namun amat penting," tegas Encik Heng semasa membentangkan Kenyataan Belanjawan pada Isnin (18 Feb).

Sambil menekankan bahawa Singapura tidak boleh memandang ringan terhadap keamanan, kemakmuran dan kestabilan yang diraihnya selama ini, beliau turut menambah: "Kita akan membuat lebih banyak pelaburan, jika perlu, untuk melindungi kedaulatan Singapura dan kesejahteraan rakyatnya."

Jumlah yang dibelanjakan untuk pertahanan, keselamatan dan usaha diplomasi kekal konsisten seperti belanjawan-belanjawan lalu.

Bagi tahun kewangan 2019, kementerian-kementerian Pemerintah diramal akan membelanjakan sekitar S$80.3 bilion, naik sedikit berbanding S$79 bilion pada tahun kewangan 2018 (FY2018).

Daripada jumlah ini, Kementerian Pertahanan (MINDEF) dianggar membelanjakan S$15.5 bilion, naik 4.7 peratus berbanding FY2018.

Perbelanjaan yang dianggarkan bagi Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Kementerian Ehwal Luar (MFA) masing-masing tidak berubah berbanding FY2018, iaitu S$6.7 bilion dan S$0.5 bilion.

Perbelanjaan bagi ketiga-tiga kementerian itu dianggarkan sekitar S$22.7 bilion.

Singapura sedang berdepan dengan pertikaian dua hala melibatkan isu ruang udara dan maritim dengan Malaysia. Encik Heng bagaimanapun tidak merujuk kepada isu-isu tersebut dalam ucapannya.

Namun, sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih tampuk kepimpinan Malaysia Mei lalu, kerajaan PH membangkitkan beberapa isu lama termasuk harga air dan ia juga membangkitkan isu-isu baru.

Sejak November lalu, kapal-kapal kerajaan Malaysia berulang kali menceroboh perairan Singapura.

Menurut Encik Heng, Kementerian Ehwal Luar (MFA) "secara berterusan membina hubungan yang baik dengan negara-negara jiran dan kuasa-kuasa utama selain mengusulkan aturan antarabangsa berteraskan peraturan yang mematuhi undang-undang dan norma-norma antarabangsa".

Menyentuh tentang pertahanan, Encik Heng menekankan bahawa Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) yang kuat "akan terus menjadi benteng pertahanan Singapura terhadap sebarang ancaman yang menggugat kehidupan kita". Ia juga akan "mengukuhkan" usaha diplomatik kita di samping memastikan rundingan dengan Singapura diberikan perhatian yang serius.

"Jika usaha diplomasi gagal, kita mesti bersedia untuk melindungi kepentingan kita dan mempertahankan diri kita".

Encik Heng turut menyentuh tentang kerja-kerja yang dilakukan oleh Home Team untuk mewujudkan persekitaran yang selamat - meskipun kadar jenayah di negara ini rendah - dan juga Agensi Keselamatan Siber dalam membanteras ancaman siber yang kian meningkat.

Encik Heng turut menekankan bahawa komitmen Singapura terhadap pertahanan dan keselamatan "tidak pernah goyah".

"Diplomasi dan pencegahan adalah tunggak kembar dalam pendekatan kita," kata beliau. "Kedua-dua dasar ini penting kepada kedaulatan negara ini, kejayaan kita dan bagi melindungi kepentingan utama kita."

ANCAMAN BARU DAN KIAN MENINGKAT

Encik Heng turut menarik perhatian kepada ancaman-ancaman keselamatan yang "kian berubah-ubah dan semakin rumit", dengan ancaman pengganasan masih di paras yang tinggi.

Selain ancaman fizikal, kegiatan-kegiatan siber yang berniat jahat turut meningkat, kata beliau. Ini termasuk penyebaran berita palsu yang berniat untuk memecah-belahkan masyarakat serta serangan siber oleh para pelaku asing yang cuba mempengaruhi politik dan ehwal dalam negeri.

Menurut Encik Heng, kemunculan teknologi baru turut memudahkan pihak luar untuk melancarkann serangan "dengan lebih mudah dan lebih hebat, dengan taktik yang serba canggih".

Dengan kemunculan ancaman-ancaman tersebut, agensi-agensi Pemerintah perlu terus berinovasi dan membina keupayaan baru.

Seperti yang diumumkan sebelum ini, MHA akan menubuhkan Agensi Sains dan Teknologi di bawah naungan Home Team menjelang hujung tahun ini. Peranannya adalah untuk membangunkan keupayaan sains dan teknologi bagi menyokong keperluan operasi. Lebih banyak perincian akan dibentangkan dalam perbahasan Jawatankuasa Peruntukan pada bulan depan.

Sektor privet juga mempunyai peranan untuk dimainkan. Sebagai contoh, Encik Heng menukil usaha sebuah firma keselamatan privet, Certis, yang memanfaatkan data raya dan kecerdasan buatan dalam operasinya. MHA akan membantu untuk merubah industri keselamatan privet melalui daya inovasi dan teknologi, kata beliau.

Sementara itu, Pemerintah juga menyertakan pertahanan digital sebagai tunggak keenam rangka kerja Pertahanan Mutlak. Lima tunggak lain adalah pertahanan tentera, awam, ekonomi, sosial dan psikologi.

Singapura digegarkan dengan pencerobohan siber berprofil tinggi termasuk serangan ke atas pangkalan data SingHealth.

Encik Heng turut menekankan betapa pentingya untuk setiap individu terus berwaspada. Ini boleh dilakukan "dengan mengamalkan rejim siber yang baik, terus berwaspada terhadap berita palsu dan membantu antara satu sama lain untuk menggunakan teknologi dengan selamat dan berhemah," tambahnya.

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan