Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bekerja dari rumah kekal sebagai aturan pilihan; Skim Bantuan Pekerjaan dilanjutkan bagi sesetengah sektor

Bekerja dari rumah akan menjadi aturan digalakkan sekalipun apabila Singapura melangkah ke Fasa 3 (Kewaspadaan Dipertingkat) dalam masa minggu-minggu mendatang.

Anggaran Waktu Membaca:
Bekerja dari rumah kekal sebagai aturan pilihan; Skim Bantuan Pekerjaan dilanjutkan bagi sesetengah sektor

Gambar hiasan. (Gambar: Unsplash)

Diterbitkan : 10 Jun 2021 04:56PM Dikemas Kini : 10 Jun 2021 09:35PM

SINGAPURA: Bekerja dari rumah akan menjadi aturan digalakkan sekalipun apabila Singapura melangkah ke Fasa 3 (Kewaspadaan Dipertingkat) dalam masa minggu-minggu mendatang.

"Majikan harus memastikan pekerja yang boleh bekerja dari rumah terus berbuat demikian," kata pengerusi bersama pasukan bertindak berbilang kementerian COVID-19, Lawrence Wong, di sidang media pada Khamis (10 Jun).

"Kami rasa ia masih diperlukan demi mengehadkan pergerakan dan untuk mengurangkan risiko," ujar beliau.

Syarikat-syarikat harus terus menyusun waktu kerja yang berperingkat untuk para pekerja mereka dan melaksanakan waktu kerja fleksibel, kata Encik Wong yang juga Menteri Kewangan.

Pekerja juga seharusnya tidak dikerahkan ke beberapa tapak kerja berbeza, tambah Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kenyataan medianya pada Khamis.

Pemerintah mengumumkan pada 14 Mei bahawa bekerja dari rumah akan menjadi aturan pilihan bagi tempat-tempat kerja selepas menyaksikan lonjakan kes COVID-19 dalam masyarakat. Ia adalah sebahagian daripada beberapa langkah di bawah Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) yang bertujuan untuk menurunkan jumlah kes.

SKIM BANTUAN PEKERJAAN DILANJUTKAN

Skim Bantuan Pekerjaan (JSS), yang memberi subsidi kepada gaji para pekerja tempatan, akan dilanjutkan bagi sesetengah sektor yang dikehendaki terus ditutup sehingga 20 Jun,

kata Encik Wong.

Ini adalah sebahagian daripada pembukaan semula secara berperingkat-peringkat di bawah Fasa 3 (Kewaspadaan Dipertingkat) di mana sesetengah sektor tidak akan dibenarkan dibuka semula sehingga 21 Jun.

Mereka akan menerima sokongan JSS sebanyak 10 peratus dari 21 Jun hingga 30 Jun.

Kegiatan-kegiatan yang akan dibuka semula pada 21 Jun termasuk duduk makan di cawangan makanan dan minuman (F&B), persembahan secara langsung, kegiatan sukan yang tidak memerlukan pemakaian pelitup di gim dan studio kecergasan serta tuisyen dan kelas pengayaan secara bertemu muka.

Bagi para pemandu teksi dan kereta sewa privet, Dana Bantuan Pemandu COVID-19 akan dilanjutkan selama tiga bulan dengan S$300 setiap bulan untuk setiap kenderaan manakala S$150 setiap bulan bagi setiap kenderaan selama sebulan selepas itu.

UJIAN BERKALA BAGI KAKITANGAN YANG TERLIBAT AKTIVITI TANPA PELITUP

Individu yang bekerja dalam persekitaran berisiko tinggi dan berusuran dengan pelanggan yang tidak memakai pelitup akan menjalani ujian COVID-19 secara berkala, tanpa mengira status vaksinasi mereka.

Ini termasuk kakitangan cawangan F&B yang membolehkan pelanggan menjamu selera di premis mereka, perkhidmatan jagaan dan penampilan peribadi yang memerlukan pelitup ditanggalkan seperti rawatan muka, sauna dan khidmat solekan serta gim dan studio kecergasan di mana pelanggan tidak memakai pelitup.

Ujian wajib akan dijalankan secara bertahap-tahap bagi perniagaan lebih besar dahulu dan kemudian dilanjutkan kepada perniagaan lebih kecil. Bagi cawangan F&B, ujian akan dilancarkan mulai bulan depan.

Kapasiti bagi rejim Ujian Pantas dan Mudah akan "digandakan dengan lebih cepat" pada bulan-bulan mendatang, menurut MOH. Ujian seperti ujian pantas antigen akan digunakan.

MOH menambah lebih banyak perincian akan diumumkan kelak. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan