Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bekerja dari rumah atau di tempat kerja - bagaimana ia jejas kos pengangkutan awam S'pura

Ia mungkin lebih mahal untuk menaiki bas atau kereta api pada masa akan datang jika bekerja dari rumah menjadi satu norma baru dalam jangka panjang walaupun selepas pandemik COVID-19 dapat diatasi kelak.

Anggaran Waktu Membaca:
Bekerja dari rumah atau di tempat kerja - bagaimana ia jejas kos pengangkutan awam S'pura

Seorang penumpang memakai pelitup dilihat menunggu ketiban kereta api di sebuah stesen MRT di Singapura pada 18 Mac 2020. (Gambar: Catherine LAI / AFP)

Diterbitkan : 28 May 2020 02:59PM Dikemas Kini : 28 May 2020 03:02PM

SINGAPURA: Ia mungkin lebih mahal untuk menaiki bas atau kereta api pada masa akan datang jika bekerja dari rumah menjadi satu norma baru dalam jangka panjang walaupun selepas pandemik COVID-19 dapat diatasi kelak.

Jumlah penumpang yang lebih rendah akan menyebabkan keuntungan merosot bagi para pengendali pengangkutan awam. Para pengendali mungkin akan menaikkan tambang atau bergantung lebih kepada subsidi pemerintah untuk memastikan pengangkutan awam dapat terus beroperasi, menurut para pakar.

Isu kos dan pembiayaan juga amat bergantung kepada berapa lama langkah jarak selamat akan terus dikuatkuasakan ke atas bas dan kereta api, kata Profesor Madya Walter Theseira, yang menerajui program pengurusan pengangkutan bandar di peringkat sarjana sains kemasyarakatan Universiti Pengurusan Singapura (SMU).

Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan sebelum ini berkata bahawa pendapatan tambang merosot sekitar 80 peratus semasa pandemik COVID-19, meletakkan tekanan kewangan yang sangat ketara pada para pengendali pengangkutan.

Suasana di stesen MRT City Hall pada hari kedua tempoh pemutus rantaian jangkitan di Singapura. (Gambar: Jeremy Long) 

Beliau menarik perhatian bahawa walaupun jumlah penumpang menjunam, para pengendali pengangkutan awam perlu mengeluarkan perbelanjaan tambahan untuk menampung kerja-kerja pembersihan dan mengerahkan kakitangan untuk menjaga jarak selamat.

Kos-kos tambahan yang perlu ditanggung oleh para pengendali tidak dapat menampung tambang sekarang dan lambat laun perlu ditampung oleh para pengendali dan pembayar cukai", tambah Encik Khaw.

MENCEGAH PENULARAN DALAM PENGANGKUTAN AWAM

Bagi para penumpang yang kembali ke tempat kerja atau sekolah, mereka perlu mematuhi peraturan jarak selamat.

Para pakar menarik perhatian bahawa langkah-langkah bagi mencegah kesesakan dalam bas dan kereta api mungkin sulit untuk dikuatkuasakan selepas tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19 berakhir pada 1 Jun.

Penumpang MRT memakai pelitup pada 18 Mac 2020. (Gambar: AFP)

Disebabkan itu, semua penumpang diwajibkan memakai pelitup.

Mereka juga harus elak daripada berbual antara satu sama lain, menurut Profesor Teo Yik Ying, Dekan Sekolah Kesihatan Awam Saw Swee Hock Universiti Nasional Singapura (NUS).

"Jika kurang kontak sesama penumpang dan tiada perbualan, kemungkinan cecair menitis di permukaan-permukaan dapat dikurangkan dengan signifikan dan ini akan dapat mengurangkan penularan dalam kalangan penumpang.

Cara-cara lain untuk mencegah penularan COVID-19 dalam pengangkutan awam mungkin termasuk menguji dengan kerap para pekerja barisan hadapan seperti para pemandu, serta meningkatkan kekerapan khidmat bas dan kereta api, meskipun Prof Teo menarik perhatian bahawa ini akan menyebabkan kos operasi meningkat dengan mendadak.

SEMAK SEMULA PENGANGKUTAN AWAM

Sebagai alternatif kepada pengangkutan awam yang sesak, sesetengah negara, termasuk Itali dan Colombia beralih kepada basikal sebagai satu kaedah pengangkutan.

Perancis membelanjakan 20 juta Euro (S$31 juta) untuk memberi subsidi bagi perjalanan yang menggunakan basikal, sementara Britain mengumumkan rancangan bernilai £2 bilion untuk menggalak kaedah perjalanan yang aktif seperti berbasikal dan berjalan kaki.

Meskipun Singapura mempunyai inisiatifnya yang tersendiri untuk menggalak berbasikal, Pemerintah merancang untuk membelanjakan S$1 bilion untuk membina laluan berbasikal dalam tempoh sedekad ini - Prof Madya Theseira percaya bahawa berbasikal tidak akan menjadi alternatif yang realistik bagi sebahagian besar penumpang kerana jarak perjalanan yang jauh antara tempat tinggal dengan tempat kerja, serta kekurangan laluan berbasikal yang diperuntukkan untuk menghubungkan kedua-dua tempat itu.

Singapura harus terus melabur dalam prasarana pengangkutan awam meskipun jika jumlah penumpang merosot dalam jangka panjang, kata Prof Madya Theseira.

Konsultan pengangkutan Encik Gopinath Menon percaya wabak COVID-19 adalah "masa yang tepat" untuk mengkaji dasar pengangkutan Singapura secara menyeluruh.

Semakan sedemikian rupa harus menimbangkan peruntukan untuk menyediakan lorong bas tambahan dan lorong basikal serta menukar beberapa lorong kereta untuk tujuan itu, tambahnya.

"Jika tidak, kita akan kembali kepada sistem lama di mana kereta masih mendominasi, tanpa sebarang perubahan, dan tahap pencemaran kembali seperti sedia kala."

Dalam jangka lebih panjang, Encik Menon berharap kebimbangan terhadap COVID-19 juga akan membawa kepada perancangan bandar yang lebih meluas - supaya orang ramai akan dapat melakukan perjalanan jarak lebih dekat untuk bekerja dan bersantai - selain telekomunikasi dan aturan kerja yang lebih fleksibel.

Aturan bekerja dari rumah buat jangka panjang sebagai tindak balas terhadap COVID-19 boleh menjadi "sesuatu yang baik untuk semua orang", kata Prof Madya Theseira.

"Walaupun kosnya mungkin membebankan, permintaan perjalanan yang berkurangan akan membawa manfaat kepada ekonomi kerana berurus niaga tanpa perlu melakukan perjalanan secara fizikal adalah jauh lebih baik dan berkesan," katanya. 

Sumber : CNA/AY/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan