Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bekas timbalan pengarah kumpulan LTA dipenjara terima suapan S$1.24 juta

Bekas timbalan pengarah kumpulan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) yang didapati bersalah kerana menerima wang suapan bernilai S$1.24 juta dijatuhi hukuman penjara lima tahun setengah pada Khamis (2 Sep). 

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas timbalan pengarah kumpulan LTA dipenjara terima suapan S$1.24 juta

Henry Foo Yung Thye, bekas timbalan pengarah kumpulan, dituduh menerima rasuah dan menipu rakan sekerja. (Petikan video: LTA/YouTube)

Diterbitkan : 02 Sep 2021 11:01AM Dikemas Kini : 02 Sep 2021 11:03AM

SINGAPURA: Bekas timbalan pengarah kumpulan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) yang didapati bersalah kerana menerima wang suapan bernilai S$1.24 juta dijatuhi hukuman penjara lima tahun setengah pada Khamis (2 Sep).

Henry Foo Yung Thye, 47 tahun, juga perlu menjalani hukuman penjara tambahan selama setahun jika dia tidak membayar denda sekitar S$1.15 juta bagi jumlah rasuah yang tidak dipulangkan.

Awal dari itu, dia sudahpun melunaskan bayaran S$83,750 daripada S$1.24 juta yang diterimanya sebagai rasuah.

Minggu lalu, Foo, yang sebelum ini bertanggunjawab menyelia pembinaan laluan-laluan MRT Thomson-East Coast dan Rentas Pulau, mengaku bersalah ke atas tujuh tuduhan menerima rasuah dalam bentuk pinjaman untuk memajukan kepentingan perniagaan kontraktor dan subkontraktor.

Sebanyak 29 tuduhan lain turut diambil kira ketika menjatuhkan hukuman ke atasnya. Ia termasuk memperdaya rakan sekerjanya untuk memberinya pinjaman kira-kira S$726,500 bagi memuaskan tabiat berjudinya dan melangsaikan hutangnya.

Sebelum ini, mahkamah diberitahu Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) menerima satu aduan pada Oktober 2018 daripada individu yang tidak diketahui identitinya. Individu itu memberitahu bahawa Foo meminta pinjaman daripada subkontraktor bagi projek-projek di bawah penyeliannya.

Biro itu juga menerima maklumat lanjut bahawa Foo meminta bantuan kewangan daripada pengarah China Railway Tunnel Group untuk menjelaskan hutangnya.

Siasatan CPIB mendapati Foo memperoleh rasuah dalam bentuk pinjaman daripada kontraktor dan subkontraktor untuk memajukan kepentingan perniagaan mereka dengan LTA.

Pihak pendakwa menggambarkan kes Foo sebagai "kes paling besar dalam rasuah sektor awam" sejak kebelakangan ini.

Sebelum ini, peguam Foo menarik perhatian bahawa Foo mengalami gangguan perjudian patologi dan akan meminjam wang daripada sesiapa yang dia berasa rapat dengannya untuk menampung tabiatnya itu.

Enam individu lain dan satu syarikat juga didakwa sehubungan dengan kesalahan-kesalahan Foo.

Dua lelaki - pengarah projek Daewoo Engineering and Construction, Kim Young-gyu, dan pengurus projek, Ro Sung-young - masing-masing dipenjara lapan bulan kerana bersubahat untuk memberi suapan sebanyak S$30,000kepada Foo.

Sesiapa yang didapati bersalah melakukan rasuah boleh didenda sehingga S$100,000, dipenjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Hukuman penjara maksimum bagi setiap kesalahan rasuah boleh dinaikkan kepada tujuh tahun jika ia ada kaitan dengan urusan atau kontrak dengan Pemerintah atau badan awam atau subkontrak untuk melaksanakan kerja yang termaktub dalam kontrak tersebut. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan