Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bekas tapak Big Splash dibangun semula jadi taman permainan baru

Bekas tapak taman tema air Big Splash di Taman East Coast dibangunkan semula menjadi sebuah pembangunan seluas 4.5 hektar yang menempatkan sebuah kawasan permainan di luar bangunan, sebuah kawasan permainan air serta sebuah taman semula jadi.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 28 Mar 2021 08:39PM Dikemas Kini : 28 Mar 2021 10:02PM

SINGAPURA: Bekas tapak taman tema air Big Splash di Taman East Coast dibangunkan semula menjadi sebuah pembangunan seluas 4.5 hektar yang menempatkan sebuah kawasan permainan di luar bangunan, sebuah kawasan permainan air serta sebuah taman semula jadi.

Diberi nama Coastal Playgrove, pembangunan baru itu dilancarkan oleh Menteri Kanan Emeritus Goh Chok Tong, Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee dan Anggota Parlimen Mountbatten Lim Biow Chuan pada Ahad (28 Mac), empat tahun selepas bekas taman tema air ikonik itu ditutup bagi pembangunan semula.

Kemudahan di Coastal Playgrove yang baru dibuka itu termasuk:

  • Sebuah menara permainan setinggi 16 meter, yang menampilkan sebuah kawasan permainan berjaring dan gelongsor. Ia adalah ciri permainan luar tertinggi di Singapura
  • Sebuah kawasan permainan dengan kolam renang yang cetek
  • Sebuah taman permainan menampilkan alam semula jadi
  • Sebuah bilik darjah di luar bangunan

Menara permainan dan kawasan permainan air itu dibuka antara Selasa dengan Ahad dari pukul 8.00 pagi hingga 8.00 malam.

Semasa di taklimat media pada Ahad, pengarah perancangan taman di Lembaga Taman Negara (NParks), Encik Tan Jun Chao berkata bahawa terdapat had keupayaan ditetapkan di kawasan permainan berjaring di menara itu kerana ia adalah ruang tertutup, sejajar dengan langkah pengurusan selamat sedia ada bagi membendung penularan COVID-19.

Kawasan permainan berjaring itu dihadkan kepada maksimum 20 individu di setiap tingkat dan ia akan ditutup sementara apabila had dipenuhi.

Pembukaan Coastal Playgrove menandakan penyelesaian tiga projek pembangunan semula di Taman East Coast bernilai sekitar S$25 juta sejak ia bermula pada 2017.

Dua lagi tapak yang dibangun semula adalah Raintree Cove dan Taman Berbasikal - kedua-duanya dibuka pada 2019.

Coastal Playgrove sepatutnya dibuka pada 2019, namun ia ditunda. Ditanya sebab-sebab penangguhan itu, Encik Tan menjawab pihaknya ingin meluangkan lebih banyak masa mereka bentuk kawasan itu dan mengkaji konteks sejarah bekas tapak Big Splash, memandangkan ia menyimpan banyak kenangan.

Beliau menambah bahawa pandemik COVID-19 juga menjejas penyelesaian projek itu.

NParks juga menyatakan bahawa ia merancang untuk membina laluan alam semula jadi sepanjang 15 kilometer mengelilingi seluruh Taman East Park sepanjang 10 tahun mendatang. Laluan itu bermula dari Taman di Pesisiran Teluk Timur menghala ke Changi.

Apabila ditanya bagaimana laluan itu akan dibangunkan di Taman East Coast memandangkan betapa banyak ia sudah dibangunkan, Encik Tan berkata NParks berhasrat untuk mengubah suai landskap Taman East Coast sepanjang masa dan membangunkan laluan baru yang dapat mendekatkan para pengguna kepada alam semula jadi.

"Kami akur bahawa ini tidak sama dengan apa yang kita ada di taman-taman alam semula jadi. Ia adalah pengalaman berbeza yang disesuaikan dalam sekitaran taman tepi pantai di bandar," katanya. 

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan