Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bekas Pesakit COVID-19 kongsi cabaran lalui Program Pemulihan di Rumah

Cik Alfie dimaklumkan dia positif COVID-19 melalui SMS dan diarah mengasingkan diri. Namun dia kurang pasti apakah antara peraturan dan prosedur yang perlu dia patuhi setelah gagal menembusi talian MOH. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Setiap kali Alfie Nadhira Mohd Ya'akub perlu menggunakan tandas, beliau harus membuka pintu biliknya dan memberitahu ahli keluarganya.

Ahli keluarganya pula kemudian akan memakai pelitup sebelum Cik Alfie boleh keluar dari bilik pengasingannya.

Cik Alfie disahkan positif COVID-19 dan diarah menjalani Program Pemulihan di Rumah hujung bulan lalu.

Namun oleh kerana bapanya sukar bergerak dan perlu menggunakan bilik tidur utama, Cik Alfie terpaksa mengasingkan diri dalam bilik yang lain.

Maka itu setiap kali selepas menggunakan tandas yang dikongsi sama ahli keluarganya, beliau perlu membersihkan tandas tersebut dengan cecair pembasmi kuman.

PROSEDUR PENGASINGAN KURANG JELAS

Beliau disahkan positif COVID-19 selepas berjumpa doktor kerana mengalami sakit tekak.

"Sebab kita tidak diberitahu apa-apa. Hanya panggilan pendek sahaja. Macam cakap awak disahkan ada COVID. Jadi hentikan buat apa-apa, masuk bilik. Bila dapat mesej, mereka ada letak nombor telefon dan lelaman. Saya cuba telefon nombor itu dulu tapi saya tak dapat jawapan panggilan. Jadi saya ke lelaman itu untuk baca apa langkah-langkah yang patut yang saya ambil." kata Cik Alfie.

Beliau yang turut mengalami pelbagai simptom jangkitan COVID-19 termasuk demam panas setinggi 39 darjah selsius, cuba menghubungi pegawai MOH beberapa kali kerana tidak pasti dengan garis panduan bagi HRP.

"Tujuh hari pertama demam saya tinggi sangat sampai saya menggigil. Sebab saya tak tahu nak buat apa. Itu yang cabaran paling besar saya rasa pasal garis pandunya ialah kalau awak ada sesak nafas baru awak telefon ambulans. Jadi bagi saya, saya tak adalah tenat sampai perlukan peralatan hospital," jelasnya lagi.

Mujur, Cik Alfie mendapatkan nasihat dari rakan baiknya seorang jururawat tentang apa yang perlu beliau lakukan seperti mengambil ujian ART setiap hari dan mendapatkan khidmat teleperubatan.

Kemudian pada hari ketujuh pula, beliau mendapat hasil ujian ART yang negatif.

KELEMAHAN PROGRAM HRP CUBA DIPERBAIKI

Di parlimen kelmarin (4 Okt), Menteri Kesihatan Ong Ye Kung akur bahawa masih ada beberapa kelemahan berkaitan HRP yang sedang cuba diperbaiki.

Mentelah lagi jumlah kes jangkitan COVID-19 sejak beberapa minggu kebelakangan ini melonjak, menyebabkan tekanan pada pasukan operasi.

Cik Alfie yang kini sudah tamat 10 hari pengasingan Sabtu lalu (2 Oktober) di rumah berpendapat perlu ada lebih banyak panduan diberikan untuk membantu mereka yang menjalani HRP.

"Saya rasa patut ada 'exit PCR' jadi orang-orang yang sudah habis pengasingan ini nak keluar balik jumpa keluarga, mereka tak serba salah. Sebab lepas saya boleh keluar bilik, saya takut juga. Betul ke saya negatif sebab saya punya berdasarkan ART sahaja," tambah beliau.

Sejak minggu lalu, MOH dengan bantuan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) telah berusaha menyelesaikan beberapa isu berkenaan HRP bagi memperbaiki komunikasi dengan para pesakit di bawah program tersebut. 

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan