Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bekas penghantar makanan foodpanda dipenjara kerana hasut keganasan susulan skuter elektrik dilarang di laluan pejalan kaki

Selepas Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) mengumumkan larangan terhadap penggunaan skuter elektrik di laluan pejalan kaki, seorang penghantar makanan bersama foodpanda menghantar mesej kepada sebuah kumpulan sembang mengajak mereka mengadakan rusuhan.

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas penghantar makanan foodpanda dipenjara kerana hasut keganasan susulan skuter elektrik dilarang di laluan pejalan kaki

(Gambar hiasan)

Diterbitkan : 30 Oct 2020 10:12PM Dikemas Kini : 30 Oct 2020 10:13PM

SINGAPURA: Selepas Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) mengumumkan larangan terhadap penggunaan skuter elektrik di laluan pejalan kaki, seorang penghantar makanan bersama foodpanda menghantar mesej kepada sebuah kumpulan sembang mengajak mereka mengadakan rusuhan.

Benny Mok Swee Tian, 35 tahun, dikenakan hukuman penjara lapan minggu dan denda S$500 pada Jumaat (30 Okt) setelah mengaku bersalah atas satu tuduhan masing-masing kerana menghasut untuk melakukan keganasan dan mencuri.

Mok bekerja sebagai seorang pekerja penghantaran makanan ketika melakukan jenayah itu dan merupakan anggota dua kumpulan sembang bagi pekerja penghantar foodpanda di Telegram, dengan lebih 6,000 anggota dalam kedua-dua kumpulan sembang itu.

Pada 30 Dis tahun lalu, Mok menghantar mesej kepada salah satu kumpulan sembang itu, menyeru diadakan "PMD riot' atau 'rusuhan PMD' pada keesokan malam dan meminta orang ramai berkumpul pada pukul 9.00 malam di Taman Punggol.

Dia kemudian menghantar mesej kepada satu lagi kumpulan sembang yang berbunyi: "Ya. Bawa parang. Lihat orang sahaja serang dan kelar mereka. Mahu?"

Mesej-mesej itu dihantar sehari sebelum tamatnya tempoh nasihat bagi pengguna e-skuter untuk membuat penyesuaian terhadap larangan menggunakan skuter elektrik di laluan pejalan kaki.

Seorang anggota kedua-dua kumpulan sembang itu membaca mesej yang dihantar Mok lalu membuat aduan polis kerana beliau bimbang kemungkinan berlaku keganasan.

Mok ditangkap dan dia mengaku menghantar mesej-mesej tersebut ketika dia berada di Hougang Mall.

Polis dikerahkan ke Taman Punggol pada 31 Dis tahun lalu, namun tiada kejadian ganas yang berlaku.

Mok juga mengaku bersalah atas satu tuduhan yang tidak terkait kerana mencuri lima buku komik bernilai S$36.87 dari Kinokuniya pada Ogos tahun lalu.

Pihak pendakwa memohon bagi hukuman penjara sekurang-kurangnya dua bulan sementara pihak pembela memohon bagi hukuman penjara lebih ringan sambil berkata bahawa anak guamnya merupakan anggota baru di kumpulan sembang Telegram itu dan tidak mempunyai pengaruh.

Atas kesalahan menghasut untuk melakukan keganasan, Mok boleh dipenjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan mencuri, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan