Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bekas Pengerusi Masjid Darussalam mengaku bersalah pecah amanah wang masjid lebih S$300,000

Bekas Pengerusi Masjid Darussalam, Abdul Mutalif Hashim, hari ini (12 Mac) mengaku bersalah atas enam pertuduhan melakukan pecah amanah melibatkan wang masjid sebanyak S$306,629.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Bekas Pengerusi Masjid Darussalam, Abdul Mutalif Hashim, hari ini (12 Mac) mengaku bersalah atas enam pertuduhan pecah amanah melibatkan dana masjid bernilai S$306,629.

Abdul Mutalif membuat pengakuan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Kenneth Chin membacakan pernyataan di Mahkamah Negara pagi tadi.

Mahkamah memutuskan Abdul Mutalif bersalah atas enam pertuduhan menggelapkan dana tersebut antara 1 Januari 2006 hingga 30 November 2012.

PENGERUSI MMB SELAMA TUJUH TAHUN

Dia adalah Pengerusi Lembaga Pengurusan Masjid selama tujuh tahun, antara 2003 hingga Ogos 2010 sebelum meneruskan khidmat sebagai pengerusi sukarela sehingga bulan Mac 2013.

Abdul Mutalif, 58 tahun, juga adalah Pengarah Eksekutif Persatuan Just Parenting (JPA) dan antara bulan Ogos 2010 dengan Ogos 2011, dia menerima gaji bulanan sebanyak S$7,000.

Selain itu, dia juga menyandang jawatan sebagai Presiden Persatuan ADAM, sebuah pertubuhan kebajikan yang berdaftar.

MUSLIHAT TERBONGKAR

Muslihatnya terbongkar setelah dia meletak jawatan.

Semasa menyandang jawatan sebagai Pengerusi Masjid Darussalam, Abdul Mutalif mengarahkan para sukarelawan dan noja masjid supaya menghantar "Tabung Jumaat" dan "Tabung Kebajikan" ke pejabatnya setiap kali selepas solat, supaya "disimpan dengan selamat".

Selepas mengambil wang derma tersebut, Abdul Mutalif, menyuruh para sukarelawan dan noja membawa bakinya ke pejabat pentadbiran untuk dikira.

Baki itu kemudian dikira dan dicatat ke dalam sistem akaun masjid sebelum disalurkan ke dalam akaun bank masjid, mengikut prosedur Peraturan Kewangan Masjid (MFR) yang ditetapkan MUIS.

GUNA WANG BAGI PERBELANJAAN PERIBADI, JPA, ADAM

Antara 1 Januari 2006 dengan 31 Mac 2013 dia dituduh menggelapkan S$371,891.

Wang tersebut diambil tanpa pengetahuan MUIS dan/atau Lembaga Pengurusan Masjid (MMB) dan disalurkan ke dalam beberapa akaun bank, termasuk akaun peribadi.

Dia menggunakan wang tersebut bagi perbelanjaan peribadi dan keluarga seperti bil kad kredit, melancong dan bil perubatan.

Dia juga menyalurkan wang ke dalam akaun JPA bagi membiayai kos operasi termasuk gaji, sewa dan bil api air. Ini selain kegunaan Persatuan ADAM.

"TERANG-TERANGAN LANGGAR PERATURAN MUIS"

Tindak-tanduk Abdul Mutalif itu menyalahi Peraturan Kewangan Masjid yang ditetapkan oleh MUIS.

Beberapa bulan selepas dia meletakkan jawatan sebagai pengerusi, wang derma yang dikumpul masjid melonjak dari sekitar S$10,000 hingga S$19,000 sebulan kepada antara S$40,000 dengan S$60,000 sebulan, menurut DPP.

Ini mendorong MUIS untuk segera bertindak dengan membuat aduan polis yang mendakwa Abdul Mutalif menyalahgunakan wang derma masjid.

Bank akaun Abdul Mutalif, dengan baki sekitar S$96,000, dibekukan oleh Jabatan Ehwal Komersil (CAD) pada Disember 2013.

Semasa perbicaraan pagi tadi, DPP menyifatkan tindakan Abdul Mutalif sebagai "terang-terangan melanggar" peraturan-peraturan yang sudah ditetapkan MUIS.

Menurut DPP lagi, baki lapan pertuduhan akan diambil kira semasa menjatuhkan hukuman kelak.

15 APRIL DIJADUAL JATUH HUKUMAN

Peguam bela Encik Satwant Singh, kemudian meminta Hakim Daerah Ong Chin Rhu supaya menangguhkan tarikh untuk beliau membuat rayuan bagi meringankan hukuman.

Tempoh ikat jamin Abdul Mutalif dilanjutkan dan hukuman ke atasnya dijadual dibacakan pada 15 April.

Bagi kesalahan yang dilakukan sebelum tahun 2008, Abdul Mutalif boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum tiga tahun dan/atau didenda bagi setiap kesalahan.

Bagi setiap kesalahan yang dilakukan selepas 2008 pula dia boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan/atau didenda.

LAPORAN BERKAITAN:



Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan