Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bekas pengendali forklift dipenjara 5 tahun, curi lampin bernilai S$164,000 untuk dijual

Setelah dipecat kerja sebagai pengendali forklift di sebuah gudang, Goh Boon Kheng terus menggunakan pas akses untuk masuk ke dalam gudang tersebut dan mencuri beberapa karton lampin, susu tepung dan gel mandian seperti mana dia lakukan sebelum dipecat.

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas pengendali forklift dipenjara 5 tahun, curi lampin bernilai S$164,000 untuk dijual

(Gambar: iStock)

Diterbitkan : 16 Oct 2020 10:14PM Dikemas Kini : 16 Oct 2020 10:15PM

SINGAPURA: Setelah dipecat kerja sebagai pengendali forklift di sebuah gudang, Goh Boon Kheng terus menggunakan pas akses untuk masuk ke dalam gudang tersebut dan mencuri beberapa karton lampin, susu tepung dan gel mandian seperti mana dia lakukan sebelum dipecat.

Bersama dengan seorang rakan sekerja, dia mencuri lampin yang bernilai sekurang-kurangnya S$164,000 dalam masa kurang setahun. Dia juga mendapatkan khidmat seorang pemandu penghantaran untuk mengirim barangan itu kepada pelanggan.

Goh, 49 tahun, dikenakan hukuman penjara lima tahun pada Khamis (15 Okt) setelah mengaku bersalah terhadap 10 tuduhan mencuri. 26 lagi tuduhan serupa diambil kira dalam menentukan hukuman.

Ketika Hakim Daerah Ong Luan Tze menjatuhkan hukuman, Goh menegaskan beberapa kali dalam bahasa Mandarin melalui seorang penterjemah bahasa bahawa dia tidak mahu mengaku bersalah kerana hukuman yang dikenakan adalah terlalu berat.

Dia dihadapkan di mahkamah melalui wadah persidangan video Zoom dari Penjara Changi, di mana dia sedang menjalani hukuman penjara 10 bulan bagi kesalahan mengambil dadah.

Goh merayu kepada Hakim supaya setiap hukuman yang dikenakan dapat dijalankan secara serentak, dan bukan berturut-turut, menjadikan tempoh hukuman penjara yang perlu dijalani selama 30 bulan sahaja.

Namun, Timbalan Pendakwa Raya Jaime Pang memberi amaran jika dia memutuskan untuk tidak mengaku bersalah dan mohon dibicarakan, pihak pendakwa akan memohon bagi hukuman yang lebih berat. Goh juga sebelum ini sudah menerima khidmat guaman "selama beberapa kali".

Hakim Daerah Ong memberitahu Goh bahawa mengikut undang-undang, berdasarkan jumlah tuduhan yang dikenakan, kedua-dua hukuman itu perlu dijalani secara berturut-turut.

"Hakim bukannya maha kuasa, kami juga perlu mengikut undang-undang," katanya.

Hakim menolak permohonannya dan memberitahu Goh supaya memfailkan rayuan jika dia mahu mencabar hukuman yang dikenakan.

KESALAHAN GOH

Mahkamah diberitahu bahawa Goh bekerja di Ceva Logistics, yang menyediakan ruang gudang kepada syarikat-syarikat lain.

Pada 2017, Goh mencuri barangan dari BTFL, sebuah perniagaan online yang menjual produk bayi dan kecantikan. Dia menyasarkan ruang gudang syarikat itu di Tampines kerana ia terletak paling jauh dari kakitangan keselamatan.

Pada April 2018, dia dipecat namun tetap menyimpan pas akses meskipun setelah diberitahu oleh majikannya berkali-kali untuk memulangkannya.

Mahkamah dokumen tidak menyatakan sebab kontraknya ditamatkan.

Selepas itu, Goh memutuskan untuk meneruskan dengan kegiatan mencuri. Dia mendapatkan khidmat seorang lelaki yang hanya dikenali sebagai Darren untuk bantu memunggah barangan yang dicuri ke dalam van dan menghantarnya kepada pelanggan yang membeli barangan itu.

Goh membayar upah S$50 kepada lelaki itu bagi setiap penghantaran dan tidak memberitahunya bahawa ia adalah barang curian.

Dia juga meminta bantuan seorang lelaki yang bekerja sebagai penolong logistik bersama BTFL, Shahniran Kamisran.

Shahniran memberitahu Goh di mana kakitangan BTFL sedang bertugas semasa waktu lembur, mengatur agar pintu gudang dibiarkan tidak terkunci dan mengetepikan barangan yang ingin dicuri Goh.

Goh menjalankan aktiviti mencuri pada Disember 2017 hingga September 2018, setiap kali mencuri tiga hingga 10 karton lampin. Dia melakukan perbuatan itu sebanyak sekurang-kurangnya 36 kali.

Dia menjual lampin bernilai sekurang-kurangnya S$57,000 kepada seorang pelanggan yang dikenal pasti sebagai Evelyn. Pernah sekali, wanita itu membayar S$1,700 untuk membeli lampin yang bernilai S$8,608.

Pada 3 Sep tahun lalu, ketua pegawai logistik BTFL menyedari apa yang berlaku setelah menyaksikan rakaman kamera litar tertutup (CCTV). Dia melihat Goh dan Darren memunggah barangan yang dicuri ke dalam van dan memberitahu kakitangan keselamatan untuk mencari kenderaan itu.

Apabila kedua-dua lelaki itu kembali pada keesokan harinya, mereka ditahan dan kemudian ditangkap.

Polis menggeledah kediaman Goh serta pelanggannya dan merampas barangan bernilai sekitar S$15,000.

Goh belum lagi membuat bayaran ganti.

Bagi peranannya dalam skim itu, Shahniran dikenakan hukuman penjara selama setahun. 

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan