Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bekas pengarah dikenakan hukuman penjara tambahan 18 bulan kerana palsukan kematiannya

Seorang lelaki yang memalsukan kematiannya, ketika bebas diikat jamin, dijatuhi hukuman penjara tambahan 18 bulan.  

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas pengarah dikenakan hukuman penjara tambahan 18 bulan kerana palsukan kematiannya

(Gambar hiasan: AFP/Getty Images/Joe Raedle)

Diterbitkan : 18 Feb 2020 12:09AM Dikemas Kini : 18 Feb 2020 12:11AM

SINGAPURA: Seorang lelaki yang memalsukan kematiannya, ketika bebas diikat jamin, dijatuhi hukuman penjara tambahan 18 bulan.

Ng Kek Wee, bekas pengarah Singalab International, sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 30 bulan pada 4 Mei 2017 atas kesalahan meggelapkan 3 juta saham daripada sebuah anak syarikat firma itu. Demikian menurut polis pada Isnin (17 Feb).

Ng membuat rayuan terhadap sabitan serta hukumannya dan dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu kesnya dikemukakan di Mahkamah Rayuan. Dia diberikan keizinan oleh Mahkamah Negara untuk membuat perjalanan ke China bagi tujuan kerja.

Sementara menunggu perbicaraan rayuan itulah dia memalsukan kematiannya.

PALSUKAN JADUAL PENERBANGAN

Perbicaraan bagi rayuan lelaki berusia 55 tahun itu ditetapkan pada 20 Julai 2018. Pada hari rayuan, peguam Ng, Lim Chee San, berjaya memohon bagi penangguhan atas dasar bahawa Ng sedang menjalani rawatan di China ketika itu untuk "pelbagai penyakit perubatan" dan tidak berada dalam keadaan sihat untuk pulang ke Singapura, menurut dokumen mahkamah.

Perbicaraan rayuan itu ditangguhkan ke 14 September 2018 apabila Encik Lim sekali lagi memohon bagi penangguhan atas alasan yang sama. Perbicaraan rayuan itu kemudian ditangguhkan lagi ke 15 Mac 2019.

Encik Lim memberitahu mahkamah bahawa Ng akan pulang ke Singapura bagi rayuan itu dan peguam berkenaan diarahkan oleh Mahkamah Negara untuk memuatnaikkan salinan jadual penerbangan Ng ke dalam Sistem Pengurusan Kes Bersepadu (ICMS) sebagai bukti menunjukkan niatnya untuk kembali ke Singapura.

"Tertuduh berada di China waktu itu dan berhasrat untuk kekal berada di luar bidang kuasa dan tidak pulang bagi perbicaraan rayuan pada 5 Mac 2019. Tertuduh membuat keputusan untuk memalsukan sijil kematiannya bagi menunjukkan mahkamah bahawa dia sudah meninggal dunia," menurut dokumen mahkamah.

Ng membayar RMB300 (S$60) kepada seorang individu tidak dikenali di China untuk membuat jadual penerbangan yang menunjukkan bahawa dia dijadualkan pulang ke Singapura pada jam 12.15 petang, tanggal 13 Mac 2019, menaiki Shenzhen Airlines dari Shenzhen.

Jadual palsu itu juga menunjukkan Ng akan membuat perhentian sementara di Indonesia di mana dia membuat sijil kematian yang palsu.

Ng menghantarkan jadual itu kepada Encik Lim yang memuatnaikkannya ke dalam ICMS, tanpa menyedari bahawa ia adalah palsu.

PALSUKAN SIJIL KEMATIAN

Bagi mengesahkan kematian Ng, Jabatan Ehwal Komersil (CAD) menjalankan pemeriksaan dan mendapati bahawa Ng sudah meninggalkan Indonesia pada 3 Mac 2019, seminggu sebelum 'kematiannya'.

Ng juga membuat perjalanan menggunakan pasport Singapuranya antara 3 Mac 2019 hingga 3 April 2019, menaiki penerbangan antara Malaysia dengan China semasa tempoh dia sepatutnya mati.

Ng diberkas dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kuala Lumpur pada 13 Ogos 2019 apabila dia menggunakan pasport Singapuranya untuk memasuki Malaysia. Dia kemudian dibawa pulang ke Singapura untuk berdepan dengan dakwaan.

Pada Isnin (17 Feb), Ng mengaku bersalah kerana menyampaikan maklumat palsu kepada seorang pegawai awam, bersubahat dalam membuat bukti palsu dalam prosiding kehakiman dan gagal menghadirkan diri ke mahkamah dengan sengaja dan tanpa alasan munasabah.

Dia dijatuhi hukuman penjara tambahan 18 bulan.   

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan