Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bekas pemimpin Gereja City Harvest Chew Eng Han dijel mulai 1 Mac

Semasa pembicaraan segera yang diadakan pagi ini (27 Feb), Mahkamah Rayuan mengarahkan bekas pemimpin Gereja City Harvest Chew Eng Han memulakan hukuman penjaranya pada 1 Mac, atas kesalahan menggelapkan dana gereja.

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas pemimpin Gereja City Harvest Chew Eng Han dijel mulai 1 Mac

Gambar fail bekas pemimpin Gereja City Harvest Church Chew Eng Han.

Diterbitkan : 27 Feb 2018 02:00PM Dikemas Kini : 27 Feb 2018 02:01PM

SINGAPURA: Semasa pembicaraan segera yang diadakan pagi ini (27 Feb), Mahkamah Rayuan mengarahkan bekas pemimpin Gereja City Harvest Chew Eng Han memulakan hukuman penjaranya pada 1 Mac, atas kesalahan menggelapkan dana gereja.

Hukuman itu akan bermula sebaik sahaja tempoh reman Chew selama seminggu berakhir.

Sekalipun begitu, jika hakim daerah mengarahkan supaya tempoh reman Chew dilanjutkan untuk membantu siasatan atas percubaannya melarikan diri ke luar negara, "hukuman Chew akan dimulakan segera sebaik saja tempoh lanjutan reman berakhir", menurut arahan mahkamah tinggi.

Chew, 57 tahun, ditangkap oleh Polis Pengawal Pantai pada Rabu lalu (21 Feb) kerana mencuba melarikan diri dari jeti Pulau Ubin, lokasi keberangkatan yang tidak sah.

Dia dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak $1 juta dan sepatutnya menyerah diri pada hari Khamis (22 Feb) untuk memulakan hukuman penjara selama tiga tahun empat bulan atas peranannya dalam kes penyalahgunaan dana gereja sebanyak $50 juta.

Chew menaiki sampan bermotor yang dikemudi oleh seorang pemilik peternakan ikan, Tan Poh Teck.

Sampan itu dipintas oleh polis pengawal pantai sekitar 2.4 kilometer dari Pulau Ubin menyusuli maklumat yang diterima pasukan tersebut.

Chew dan Tan mendakwa mereka sedang memancing semasa diberkas.

Pihak berkuasa merampas wang tunai sebanyak $5,000 dan peralatan memancing dari sampan tersebut.

Chew didakwa pada Khamis (22 Feb) atas pertuduhan cuba melarikan diri dari Singapura ke Malaysia. Tan pula didakwa atas pertuduhan bersubahat.

Kedua-duanya akan dihadapkan ke Mahkamah Negara pada 1 Mac.

Abang Chew, Eng Soon, 61 tahun, pula ditangkap pada petang Rabu.

Chew Eng Soon juga bersubahat dengan adiknya untuk melarikan diri, dakwa pihak berkuasa. Dia belum lagi didakwa di mahkamah.

Terbaru, seorang lelaki rakyat Malaysia berusia 45 tahun ditangkap di Johor Baru dengan bantuan Polis Diraja Malaysia setelah Mahkamah Negara Singapura mengeluarkan waran tangkap.

Khoo Kea Leng akan didakwa di Singapura esok (28 Feb).

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan