Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bekas pemandu Grab dibicara; cuba rogol, serang seksual penumpang 19 tahun

Seorang bekas pemandu Grab menuntut dibicarakan pada Selasa (29 Sep) atas serangan seksual dan percubaan merogol seorang penumpang berusia 19 tahun yang diambilnya dari sebuah bar dua tahun lalu. 

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas pemandu Grab dibicara; cuba rogol, serang seksual penumpang 19 tahun

Gambar fail Mahkamah Tinggi.

Diterbitkan : 29 Sep 2020 02:11PM Dikemas Kini : 29 Sep 2020 02:14PM

SINGAPORE: Seorang bekas pemandu Grab menuntut dibicarakan pada Selasa (29 Sep) atas serangan seksual dan percubaan merogol seorang penumpang berusia 19 tahun yang diambilnya dari sebuah bar dua tahun lalu.

Tan Yew Sin, 46 tahun, berdepan dengan tuduhan percubaan merogol, serangan seksual dan pencabulan kehormatan yang didakwa dilakukannya ke atas mangsa dalam keretanya.

Menurut pihak pendakwa, Tan menerima tempahan pada awal pagi 19 Mei 2018, untuk membawa mangsa dari Wildseed Bar di Seletar Aerospace Park ke rumahnya.

Maklumat mengenai kediaman mangsa digugurkan daripada dokumen mahkamah atas perintah mahkamah.

Mangsa pergi ke sebuah bar bersama rakan-rakannya pada malam sebelumnya dan menogok sekitar lima gelas bir sepanjang malam, menurut pendakwaan.

Seorang rakan membantu mangsa menempah kereta Grab dan dua lagi kawannya perasan beliau mabuk, menangis serta tidak mampu berjalan dengan betul.

Menerusi rakaman kamera dalam kereta yang dimainkan di mahkamah, kawan mangsa didengar meminta pertolongan tertuduh untuk menghantar remaja perempuan itu pulang. Kawannya juga berterima kasih kepada tertuduh dan meminta mangsa menghantarkan mesej apabila tiba di rumahnya.

Mangsa terbaring di tempat duduk belakang kereta Grab itu dan menangis apabila Tan cuba bercakap dengannya, kata para Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Imaduddien, Chew Xin Ying dan Emily Koh.

Mangsa kemudian tertidur dan dikejutkan oleh Tan apabila mereka sampai di kediamannya. Beliau turun dari kereta itu tetapi tidak dapat mengakses pagar tepi.

TAN BAWA MANGSA KEMBALI KE KERETA

Tan, yang sudah berkahwin dengan tiga orang anak, ternampak mangsa kelihatan "kehilangan arah dan tidak stabil". Dia membawa mangsa kembali ke keretanya setelah melihat gadis itu menyangkung dan mula menangis.

Dalam kenyataannya kepada polis, Tan berkata mangsa menjadi marah ketika berada di dalam keretanya dan mula menghantukkan kepalanya di tingkap sambil menangis.

Tan pergi ke tempat duduk belakang kereta untuk memujuk gadis itu dan menggeledah barangan mangsa untuk mencari alamatnya serta membawanya menghubungi seseorang untuk menjemputnya pulang.

Bagaimanapun, dia sebaliknya mula melakukan kesalahan seksual ke atas mangsa dan bukan membantunya, dengan mencium mangsa itu sebelum mencuba untuk merogolnya, dakwa para pendakwa.

Menurut mereka lagi, Tan kemudian memandu ke sebuah kawasan lebih terpencil dan mula mencabul kehormatan mangsa serta melakukan serangan seksual ke atasnya.

Dia akhirnya membantu mangsa pulang ke kediamannya dan meninggalkan tempat tersebut.

Atas alasan yang tidak diketahui, mangsa tidak pulang ke rumah dan ditemui oleh seorang lagi pemandu Grab pada sekitar 4.40 pagi hari berkenaan dalam keadaan terbaring di tengah-tengah jalan raya tanpa seluar dalam dan seluar pendeknya.

Pemandu Grab itu menghubungi polis dan menunggu sehingga sebuah ambulans tiba. Seorang paramedik wanita akan memberi keterangan bahawa mangsa menangis dan terus bergelut apabila beliau cuba memeriksanya, kata pendakwa. DNA Tan kemudian dikesan pada seluar dalam mangsa.

Pendakwa akan mengemukakan bukti daripada 32 saksi dan rakaman daripada kamera litar tertutup serta kamera dalam kereta Tan.

Rakaman menunjukkan mangsa menangis sepanjang perjalanan dalam kereta itu dengan Tan berulang kali bertanya kepadanya apa yang sudah berlaku dan sama ada beliau baru putus hubungan dengan teman lelakinya.

Dalam keterangan Tan kepada polis, dia mengaku tidak meminta izin mangsa tetapi mendakwa gadis itu "turut serta dalam beberapa perbuatan seksual".

Satu spesimen darah daripada mangsa kemudian didapati mengandungi 26 miligram bagi setiap 100 mililiter darah, dengan anggaran kandungan alkohol darah pada jam 3.00 pagi hari itu dalam lingkungan antara 132.2mg hingga 155.9 mg bagi setiap 100 ml darah.

Seorang konsultan dari Institut Kesihatan Mental (IMH) akan memberi keterangan bahawa mangsa sangat mabuk dan tidak berupaya memberikan persetujuan untuk mengadakan aktiviti seksual, tambah pihak pendakwa.

Apabila dihubungi Mediacorp, seorang jurucakap Grab berkata Tan sudahpun diharamkan daripada wadah Grab.

Perbicaraan akan disambung. Jika sabit kesalahan merogol atau melakukan serangan seksual dengan mengadakan hubungan seks, Tan boleh dipenjara sehingga 20 tahun, didenda atau dikenakan sebatan rotan.

Jika didapati bersalah mencabul kehormatan, dia boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda, dirotan atau mana-mana gabungan hukuman itu. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan