Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bekas kakitangan SMRT didakwa makan rasuah lebih S$54,000, palsukan tanda tangan

Seorang bekas penolong pembeli SMRT didakwa hari ini (20 Ogos) atas kesalahan rasuah dan pemalsuan selepas dituduh menerima sogokan lebih S$54,000.

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas kakitangan SMRT didakwa makan rasuah lebih S$54,000, palsukan tanda tangan

(Gambar fail: AFP)

Diterbitkan : 20 Aug 2021 12:24PM Dikemas Kini : 20 Aug 2021 12:27PM

SINGAPURA: Seorang bekas penolong pembeli SMRT didakwa hari ini (20 Ogos) atas kesalahan rasuah dan pemalsuan selepas dituduh menerima sogokan lebih S$54,000.

Demikian dedah Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB).

Soh Choon Heng, 43 tahun didakwa menerima rasuah daripada pengarah-pengarah syarikat dan juga memberi mereka maklumat tentang sebutan-sebutan harga yang ditawarkan kepada SMRT oleh syarikat-syarikat penyedia lain.

Perbuatan itu dilakukan atas kepentingan syarikat-syarikat tersebut untuk bekerjasama dengan SMRT, menurut CPIB.

Dari 2016 hingga 2020, Soh didakwa menerima rasuah berjumlah sekurang-kurangnya S$24,450 daripada Yong Ming Jun, yang pada ketika itu merupakan pengarah pembekal barang-barang ganti kenderaan Euro Bremse. Soh dan Yong masing-masing dikenakan lima tuduhan atas kesalahan rasuah.

Antara 2017 dengan 2019, Soh didakwa menerima sekurang-kurangnya S$28,700 daripada Wong King Mooi, bekas pengarah pembekal barang-barang ganti kenderaan CEE Technologies. Kedua-dua mereka berdepan tiga tuduhan rasuah setiap seorang.

Soh juga disyaki menerima rasuah sekurang-kurangnya S$900 pada 2015 daripada seorang lagi pengarah syarikat yang tidak didedahkan namanya oleh CPIB dalam kenyataan media. Dia dikenakan satu tuduhan rasuah bagi kesalahan tersebut.

Selain itu, Soh dikenakan empat tuduhan kerana disyaki memalsukan tanda tangan para pegawai SMRT dalam dokumen-dokumen pemerolehan.

Pada November 2017, Soh didakwa "memalsukan lampiran" tanda tangan seorang pengurus pemerolehan SMRT dalam dua surat perjanjian.

Ini dilakukan dengan niat membuat orang lain percaya bahawa dokumen-dokumen tersebut dimeterai oleh pengurus pemerolehan tersebut, meskipun hakikatnya, ia bukan sedemikian, menurut CPIB.

Dia didakwa mengulangi perbuatan itu pada Disember 2017 dan Mei 2018 dengan tanda tangan pengarah pemerolehan SMRT dalam dua kontrak pembekalan.

Individu yang sabit kesalahan rasuah boleh dipenjara sehingga lima tahun, didenda sehinga S$100,00 atau kedua-duanya sekali.

Jika Yong didapati bersalah melakukan pemalsuan, dia boleh dihukum penjara sehingga empat tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.

"Singapura mengamalkan pendekatan tidak bertolak ansur sama sekali terhadap rasuah dan kegiatan jenayah lain," tegas CPIB.  

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan