Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bekas jururawat dipenjara kerana tumbuk penghuni pusat jagaan warga tua

Seorang bekas jururawat dijatuhi hukuman penjara 12 minggu hari ini (6 Mac) atas kesalahan menumbuk seorang penghuni sebuah rumah jagaan warga tua tahun lepas.

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas jururawat dipenjara kerana tumbuk penghuni pusat jagaan warga tua

Tukul kayu mahkamah. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 06 Mar 2019 06:37PM Dikemas Kini : 06 Mar 2019 06:47PM

SINGAPURA: Seorang bekas jururawat dijatuhi hukuman penjara 12 minggu hari ini (6 Mac) atas kesalahan menumbuk seorang penghuni sebuah rumah jagaan warga tua tahun lepas.

Bernardo JR Perdido Ramos, 36 tahun, mengaku bersalah atas satu tuduhan sengaja menyebabkan kecederaan kepada mangsa lelaki yang berusia 77 tahun itu.

Mahkamah dimaklumkan bahawa semasa melakukan kesalahan itu, Ramos bekerja sebagai seorang jururawat di Pusat Jagaan Orange Valley.

Kejadian itu berlaku pada 21 November tahun lalu, ketika Ramos sedang membahagikan cadar katil dan sarung bantal kepada para penghuni rumah jagaan itu.

Trolinya terlanggar katil mangsa lanjut usia yang mengalami demensia itu lalu menyebabkannya terjaga dari tidur dan menjerit: "Siapa yang mengganggu saya?"

Ramos menghampiri mangsa dan menjawab: "Kenapa? Saya! Kenapa? Saya!"

Timbalan Pendakwa Raya Benjamin Samynathan memberitahu mahkamah bahawa mangsa kemudian memukul Ramos sekali di bahagian dadanya.

Ramos membalas tindakan itu dengan menumbuk muka mangsa empat atau lima kali menyebabkannya terjatuh semula ke katilnya.

Rakan sekerja Ramos, Encik Kumara, yang juga berada di bilik itu cuba untuk meleraikan pertengkaran itu tetapi Ramos sempat melepaskan satu atau dua lagi tumbukan ke muka mangsa sebelum meninggalkan bilik itu.

Encik Kumara memberitahu perkara itu kepada penyelianya dan laporan polis dibuat oleh seorang pengurus jururawat.

Menurut pemeriksaan doktor, mangsa mengalami pendarahan di matanya dan bengkak pada bahagian kelopak matanya.

Atas kesalahan sengaja menyebabkan kecederaan, Ramos boleh dihukum penjara hingga dua tahun dan dikenakan denda maksimum S$5,000. 

Sumber : CNA/IL/il
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan