Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Juara bertahan, naib juara dinobat johan Musabaqah Tilawah dan Tahfiz al-Quran 2019

Pertandingan Musabaqah Tilawah dan Tahfiz al-Quran peringkat kebangsaan Singapura sampai ke kemuncaknya pada Ahad (18 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pertandingan Musabaqah Tilawah dan Tahfiz al-Quran peringkat kebangsaan Singapura sampai ke kemuncaknya pada Ahad (18 Ogos).

Berlangsung selama dua hari, kedua-dua acara itu menarik 240 peserta, naik 30 dan 50 peratus bagi kategori-kategori tilawah dan tahfiz.

Hasbi Hanuar, 11 tahun, Ubaidillah Al Hamdan Fahmi, 16 tahun dan Widadul Wahidah Mahamod, 25 tahun, masing-masing mendapat markah tertinggi dan dinobat Qari dan Qariah bagi kategori kanak-kanak, belia dan peringkat dewasa.

Turut menjulang kejuaraan sebagai Qari atau Qariah terbaik dalam tiga kategori tersebut ialah Naurah Khalisah Nasser, 11 tahun, Nur Zahratul Humaira Hilmi, 16 tahun dan Muhd Sadid Abdul Latif, 28 tahun.

BERAZAM MAHU TINGKAT MINAT MEMBACA AL-QURAN BUAT MASYARAKAT UMUM

Bagi Widadul atau lebih mesra dipanggil Widad, beliau berjaya mempertahankan gelaran bagi Qariah peringkat dewasa.

Kemenangannya itu diharap dapat memberi inspirasi kepada masyarakat umum untuk menambah minat kepada pembacaan al-Quran.

"Harapan saya semoga pendengar-pendengar bacaan al-Quran akan dapat lebih tertarik untuk mendalami bacaan al-Quran sebab saya yakin dengan kemasukan kami bersama dalam tilawah ini, kami dapat menaikkan atau memartabatkan bacaan al-Quran Insya-Allah," kata Widad, yang bertugas sebagai seorang penyelaras program aLIVE di Masjid Yusof Ishak.

TAHUN LEPAS TEWAS, TAHUN INI REZEKI LUAS

Pemenang kategori belia, Ubaidillah pula, membuktikan gagal menjadi johan tahun lalu dalam kategori yang sama menjadi pemacu untuk cemerlang tahun ini.

"Tahun lepas saya mendapat tempat kedua dalam musabaqah ini. (Untuk tahun ini) tentulah saya buat lebih ekstra ataupun lebihkan latihan dari segi kelas dan juga malam dan siang," ujar Ubaidillah, yang sebelum ini pernah menjuarai kategori kanak-kanak, beberapa tahun lalu.

Meskipun baru berusia 11 tahun, Hasbi Hanuar bukan 'orang baru' dalam dunia pertandingan tilawah al-Quran.

Namun, buat kemenangan kali ini, beliau mendakap impian yang lebih besar.

"Satu hari nanti, saya ingin mewakili Singapura untuk peringkat antarabangsa," ujar Hasbi, yang sejauh ini telah menyertai 16 pertandingan tilawah, dalam dan luar negeri.

Selain perlu jelas dalam ‘tarannum’ atau membacakan ayat-ayat suci al-Quran dengan tajwid serta ‘lagu’ yang betul, ketiga-tiga pemenang itu mempunyai satu ciri yang menonjol, sesuatu yang dipuji para pengadil.

"Bacaannya ada "tadabbur" maknanya ada penghayatan dan mereka faham makna al-Quran itu. Ini menyebabkan mereka dapat membaca dengan baik. Itu antara kelebihan yang boleh dikenal pasti," kata Ustaz Mohd Qusyairy Taha selaku ketua pengadil.

SENARAI JUARA

Bahagian Tahfiz
Kategori A (7 - 12 tahun): Umar Rasyideen Mohd Salehin
Kategori B (13 - 18 tahun): Ummu Umara Mohamed Sarjoon
Kategori C (19 - 25 tahun): Syed Hussein Fathi Syed Mahmud Shahab

Bahagian Tilawah

  • Kategori Kanak-Kanak (7 - 12 tahun)

Qariah
Johan: Naurah Khalisah Nasser
Naib Johan: Hadiina Sofwah Muhd Syafie
Tempat Ketiga: Arinal Haque Muhd Zuhal

Qari
Johan: Hasbi Hanuar
Naib Johan: Muhd Zhafri Irfan Mohd Effindi
Tempat Ketiga: Muhd Uwais Qarni Hezrul Iskandar

  • Kategori Belia (13 - 18 tahun)

Qariah
Johan: Nur Zahratul Humaira Hilmi
Naib Johan: Amirah Adani Zulfadhli
Tempat Ketiga: Syifaa Zahra' Aidil

Qari
Johan: Ubaidillah Al Hamdan Fahmi
Naib Johan: Amir Abdullah Mohd Firoze
Tempat Ketiga: Muhd Darwish Abdul Rahim

  • Kategori Dewasa (19 - 50 tahun)

Qariah
Johan: Widadul Wahidah Mahamod
Naib Johan: A'tiiqah Suhaimi
Tempat Ketiga: Aliah Husna Khamsani

Qari
Johan: Muhd Sadid Abdul Latif
Naib Johan: Nor Muhammad Ali
Tempat Ketiga: Muhd Tamliikhaa Khamsani

Para pemenang itu mengibarkan bendera Singapura dalam pertandingan-pertandingan musabaqah di persada antarabangsa.

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan