Images
  • chancery court ggle
    Pemandangan dari luar Chancery Court (Gambar: Google Street View)

Bekas bangunan Chancery Court diguna untuk 1,200 pekerja asing

SINGAPURA: Bekas bangunan Chancery Court di 36, Dunearn Road dijadikan tempat penginapan alternatif bagi para pekerja asing.

Dalam satu kenyataan kepada Mediacorp, Penguasa Tanah Singapura (SLA) menyatakan bangunan milik Far East Organisation itu boleh menampung sehingga 1,200 pekerja.

Pihak berkuasa menyatakan bangunan itu dijadikan tempat penginapan bagi para pekerja asing yang sihat yang bekerja dalam khidmat-khidmat penting.

Semua langkah yang perlu sudah dilaksanakan dan kemudahan asas serta makanan disediakan. Pihak majikan juga akan menyediakan pengangkutan untuk para pekerja tersebut.

Para pekerja pula mesti mematuhi langkah-langkah pemutus rantaian jangkitan COVID-19.

Terletak bertentangan dengan Sekolah Anglo-Chinese (Barker Road), kawasan Chancery Court seluas hampir 260,000 kaki persegi. Ia terdiri daripada sebuah blok menara setinggi 16 tingkat dan tujuh blok maisonette.

Bangunan itu merupakan estet perumahan HUDC yang diswastakan dan dijual pada harga lebih S$400 juta dua tahun yang lalu.

SLA menyatakan Far East Organisation menawarkan kepada pemerintah untuk menggunakannya bagi menyokong usaha membendung penularan virus COVID-19.

Menurut penasihat akar umbi GRC Tanjong Pagar, Melvin Yong, para penduduk di sekitar tempat penginapan sementara itu sudah diberitahu mengenai perkembangan tersebut melalui surat.

Para anggota jawatankuasanya juga sudah mengumpulkan maklum balas para penduduk dan akan terus bekerjasama dengan agensi pengurusan tempat ini.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

- CNA/HK/tq

Top