Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bekas anggota, keluarga pegawai polis terkorban ketika bertugas bakal terima pingat SPF200

Bekas anggota dan keluarga pegawai polis yang terbunuh ketika sedang menjalankan tugas akan menerima pingat bagi mengiktiraf sumbangan mereka dan juga bagi meraikan 200 tahun perkhidmatan polis di Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 03 Aug 2021 05:10PM Dikemas Kini : 03 Aug 2021 09:36PM

SINGAPURA: Bekas anggota dan keluarga pegawai polis yang terbunuh ketika sedang menjalankan tugas akan menerima pingat bagi mengiktiraf sumbangan mereka dan juga bagi meraikan 200 tahun perkhidmatan polis di Singapura.

Parlimen pada Selasa (3 Ogos) meluluskan usulan untuk memperingati 200 tahun Pasukan Polis Singapura (SPF) bagi mengiktiraf sumbangan para pegawainya dalam menjaga keselamatan negara yang merupakan antara negara yang paling selamat di dunia.

Seramai 30 pegawai polis pesara hadir di Parlimen bagi upacara tersebut, dengan sebahagian besar daripada mereka menyertai SPF pada tahun 1960-an dan 1970-an ketika pihak berkuasa sedang berdepan dengan kumpulan-kumpulan kongsi gelap.

Para anggota keluarga dua pegawai yang terkorban sewaktu menjalankan tugas turut hadir di Parlimen.

Pingat itu akan diberikan kepada bekas pegawai polis yang sudah bersara atau selesai menjalani tanggungjawab Perkhidmatan Negara sebelum 1 Januari 2020.

Ia juga akan diberikan kepada keluarga 125 pegawai yang maut semasa sedang menjalankan tugas, menurut rekod-rekod sejak 1901.

Ini termasuk Inspektor Allan Lim yang terbunuh dalam kejadian tembak-menembak melibatkan seorang penculik kejam pada 1965 dan Staf Sarjan Nadzrie Matin yang terkoban dalam nahas trafik sewaktu membuat rondaan dengan menunggang motosikalnya pada 2017.

Pingat Dwiabad Pasukan Polis Singapura 2020 pula akan diberikan kepada para pegawai polis yang berkhidmat antara 1 Januari 2020 dengan 31 Disember 2020.

Ini termasuk pegawai polis sepenuh masa, anggota perkhidmatan negara sepenuh masa, anggota kerahan dan para pegawai Pasukan Konstabel Relawan.

Pingat itu akan diletakkan pada seragam mereka.

"Pingat Dwiabad Pasukan Polis Singapura 2020 mengiktiraf sumbangan-sumbangan penting SPF kepada Singapura sepanjang 200 tahun lalu dan juga bagi mengiktiraf para pegawai SPF atas jasa bakti mereka kepada negara," menurut SPF dalam kenyataannya pada Selasa.

Lencana dan pingat itu akan dilancarkan pada Jun 2022.

MEMASTIKAN SINGAPURA SELAMAT

Enam Anggota Parlimen juga menyampaikan ucapan bagi menyokong usulan itu, sambil mengucapkan terima kasih kepada para pegawai dulu dan sekarang dan menyorot sumbangan-sumbangan serta keberanian mereka sewaktu bertugas. Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat yang juga merupakan seorang bekas pegawai polis turut menyampaikan ucapan.

Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam dalam ucapannya memberi penghormatan kepada enam pegawai polis yang kecundang ketika sedang menjalankan tugas.

Dewan menepuk tangan sebagai tanda penghormatan kepada keluarga mereka sedang Encik Shanmugam mengundang anggota keluarga para pegawai yang terkorban untuk berdiri.

"Para pegawai ini dan pegawai-pegawai lain berkorban nyawa sedang mereka memastikan kita selamat," luah beliau. "Marilah kita memperingati apa yang mereka sudah lakukan untuk SPF dan untuk Singapura." 

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan