Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bekalan sayur di S’pura, M’sia terjejas akibat hujan berterusan

Cuaca hujan selama beberapa hari menjejas bekalan sayur di Malaysia dan Singapura, dengan seorang pengedar mendedahkan bahawa bekalan dari Malaysia merosot lebih 20 peratus. Ini juga mengakibatkan harga sayur-sayuran naik seperti yang disaksikan oleh para pengimport.

Anggaran Waktu Membaca:
Bekalan sayur di S’pura, M’sia terjejas akibat hujan berterusan

Gambar fail sebuah kebun di Singapura. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 16 Jan 2018 08:28AM Dikemas Kini : 16 Jan 2018 08:31AM

SINGAPURA: Cuaca hujan selama beberapa hari menjejas bekalan sayur di Malaysia dan Singapura, dengan seorang pengedar mendedahkan bahawa bekalan dari Malaysia merosot lebih 20 peratus. Ini juga mengakibatkan harga sayur-sayuran naik seperti yang disaksikan oleh para pengimport.

Bekalan seperti tomato, timun, kubis misalnya, jatuh sebanyak 30 peratus, menurut Encik Tan Chin Hian daripada Persatuan Pengimport dan Pengeksport Sayur dan Buah-Buahan Singapura (SFVA).

Beliau berkata bahawa ini adalah sayur-sayuran utama yang diimport dari Cameron Highlands di Malaysia, dan harga bagi sayur-sayuran itu naik sebanyak 40 peratus. Menurut Penguasa Agromakanan dan Veterinar, Malaysia merupakan pembekal sayur utama Singapura.

Rangkaian pasar raya Sheng Siong juga mengalami kemerosotan pada bekalan sayur dari Malaysia, yang mengakibatkan kenaikan harga pada sayur seperti kang kong, chye sim dan bayam, menurut seorang jurucakap.

Walaupun jurucakap tersebut tidak mendedahkan kenaikan harga dengan lebih terperinci, beliau menambah bahawa harga sayur-sayuran dari Thailand dan Vietnam kekal stabil.

"Selain cuba memastikan agar kenaikan harga berpatutuan, kami juga cuba mempelbagaikan sumber-sumber bekalan kami, seperti dari China, Thailand, Vietnam untuk memastikan harga sayur-sayuran stabil," kata jurucakap tersebut.

Meskipun begitu, pengarah produk-produk segar NTUC FairPrice Peter Teo memberitahu Mediacorp bahawa rangkaian pasar raya itu tidak menyaksikan "kenaikan ketara" pada harga dan bekalan sayur-sayuran dan buah-buahan di cawangannya.

"Ini kerana strategi kerencaman sumber berjaya memastikan bekalan yang stabil dan harga kos sara hidup yang sederhana bagi keperluan asas rakyat Singapura," kata Encik Teo.

Encik Tan daripada SFVA turut mengatakan bahawa persatuan tersebut sedang mencari belakan alternatif seperti China dan Taiwan untuk membekalkan produk-produk yang terjejas akibat hujan.

SAYUR-SAYURAN ROSAK AKIBAT HUJAN

Petani tempatan juga terjejas dengan keadaan hujan yang berlarutan, dengan mereka yang bercucuk tanam paling teruk terjejas.

Penolong Pengarah Farm 85 Tan Liang Zhong berkata bahawa sayur-sayuran yang tidak ditanam dalam rumah hijau rosak akibat hujan. Ini termasuk sayur-sayuran seperti bok choy, chai sim dan sayur bayam. Encik Tan turut berkata bahawa sehingga 30 peratus tanaman sudah mula menjadi busuk.

Sayur-sayuran di dalam rumah hijau turut terjejas akibat kekurangan sinaran matahari, dan ia tumbuh dengan lebih perlahan. Encik Tan berkata bahawa kuota produk harian merosot hampir separuh.

Sehingga 90 peratus produk pertanian itu dijual di pusat borong manakala 10 peratus bekalannya dijual di pasar raya seperti Sheng Siong dan NTUC FairPrice.

BEBERAPA HERBA, SAYURAN, HIDUP DALAM CUACA SEJUK

Satu lagi ladang tempatan, Bollywood Veggies, menyatakan meskipun ia ingin menanam hasil pertanian yang lebih tahan lasak, beberapa herba seperti serai terjejas teruk.

“Hampir semua serai yang ditanam untuk ladang kami rosak,” kata CEO Bollywood Veggies Manda Foo.

“Serai perlu cuaca kering untuk hidup, tetapi hujan yang berlarutan ini merosakkan akar-akarnya.”

Namun demikian, hasil pertanian yang lain masih lagi hidup dalam cuaca yang lebin sejuk ini, kata Cik Foo. Ini termasuk bunga telang, moringa dan kacang botor.

Pengasas Comcorp Allan Lim juga berkata bahawa herba-herba seperti daun selasih dan kubis oakleaf mampu hidup dalam cuaca yang lebih sejuk. Walaupun kebun di atas bumbungnya mudah terjejas dengan cuaca, beliau mengambil langkah-langkah perlindungan bagi memastikan perubahan pada cuaca tidak menjejas teruk hasil tanamannya.

Hujan dijangka reda dalam masa beberapa hari akan datang, menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA). 

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan