Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bekalan S'pura di pasar raya 'cukup'; 'rantaian bekalan kekal utuh', jamin Chan Chun Sing

"Semua kedai runcit, termasuk pasar raya, akan tetap dibuka selama tempoh ini," kata Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing pada Jumaat (14 Mei), sambil mengingatkan orang ramai supaya hanya beli apa yang diperlukan saja.

Anggaran Waktu Membaca:
Bekalan S'pura di pasar raya 'cukup'; 'rantaian bekalan kekal utuh', jamin Chan Chun Sing

Pelanggan beratur panjang di NTUC FairPrice Finest di Serangoon Gardens pada 14 Mei 2021.

Diterbitkan : 14 May 2021 09:35PM Dikemas Kini : 14 May 2021 09:43PM

SINGAPURA: Bekalan Singapura "mencukupi" dan "rantaian bekalan kekal utuh", kata Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing pada Jumaat (14 Mei).

Menyusuli pengumuman bahawa menjamu selera di semua kedai makanan dan minuman tidak dibenarkan mulai 16 Mei hingga 13 Jun, Encik Chan menulis di Facebook: “Semua kedai runcit, termasuk pasar raya, akan tetap dibuka selama tempoh ini. Bekalan kita mencukupi. Rantaian bekalan kita tetap utuh.

"Mari kita terus ingat untuk membeli hanya apa yang kita perlukan dan jangan lupakan mereka yang lebih memerlukan antara kita."

Pada petang Jumaat, pelbagai gambar dan video menunjukkan barisan panjang orang sedang beratur dan rak kosong di pasar raya muncul di media sosial, sejurus selepas pengumuman sekitar 1.00 tengah hari.

PASAR RAYA UTAMA NASIHAT PELANGGAN JANGAN PANIK

Menjawab pertanyaan Mediacorp, kumpulan syarikat Dairy Farm Group menyatakan ia menyaksikan peningkatan jumlah pelanggan ke kedai setelah pengumuman tersebut.

"Kami ingin menggalakkan pelanggan supaya berbelanja dengan selamat dan bertanggungjawab kerana kami jamin mempunyai bekalan yang mencukupi di semua kedai dan gudang kami. Semua pasar raya Cold Storage dan Giant sudah siap untuk memenuhi keperluan pelanggan,” kata jurucakap syarikat itu.

"Kami telah melaksanakan langkah-langkah untuk memastikan bahawa rantaian bekalan kami tetap pelbagai dan kukuh, dan dapat berubah mengikut sekitaran dan sebarang cabaran yang dijangkakan."

Jumlah pekerja di pasar raya Dairy Farm Group juga telah ditambah untuk menguruskan banjiran orang ramai dan memastikan pelanggan mematuhi langkah jarak selamat, kata jurucakap itu.

Sistem dan aplikasi gerbang TraceTogether juga telah dilaksanakan untuk membolehkan pengesanan kontak. Jumlah pelanggan di setiap kedai akan dihadkan, tambah jurucakap itu. Permukaan yang kerap disentuh seperti bakul dan troli juga dibasmi kuman setiap dua jam.

Seorang jurucakap Sheng Siong juga menyuarakan sentimen yang sama: “Kami menasihatkan pelanggan supaya terus bertenang, dan jangan membeli barangan dapur dan keperluan harian secara berlebihan. Sumber bekalan kami pelbagai dan kami akan terus bekerja rapat dengan pembekal kami. "

Rantaian bekalan pasar raya itu juga "berdaya tahan" dan mempunyai inventori tempatan yang mencukupi untuk bekalan makanan dan kelengkapan peribadi bagi memenuhi keperluan harian pelanggan, kata jurucakap itu kepada Mediacorp.

"Kedai-kedai kami akan terus dibuka dan kami akan terus menambah stok kami secara berkala."

BEKALAN BERAS CUKUP UNTUK 3 BULAN: FAIRPRICE

Dalam satu kenyataan media pada Jumaat, NTUC FairPrice menyatakan rangkaian kedai dan portal pembelian online akan tetap dibuka "dan tidak perlu terburu-buru atau berlebihan berbelanja" dalam tempoh ini.

"Walaupun tidak akan ada had pembelian yang dikenakan, pihak koperasi akan memantau keadaan dengan teliti dan menggesa semua pembeli supaya hanya membeli apa yang mereka perlukan sambil terus mematuhi protokol pengurusan selamat."

Syarikat itu menyatakan ia juga telah menambah inventori bagi kategori produk tertentu seperti barang permintaan tinggi seperti beras, mi dan produk kertas.

FairPrice menambah bahawa ia menyimpan stok beras cukup untuk lebih tiga bulan.

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan