Images

Bekalan pertama vaksin COVID-19 tiba di S'pura dari Belgium

SINGAPURA: Singapura menerima bekalan pertama vaksin COVID-19 pada Isnin malam (21 Dis) menerusi pesawat kargo Singapore Airlines dari Belgium, di mana vaksin-vaksin itu dihasilkan.

Vaksin Pfizer-BioNTech tiba di Lapangan Terbang Changi menerusi khidmat pesawat SIA Boeing 747-400 berjadual dari ibu kota Brussels di Belgium pada kira-kira pukul 7.55 malam.

Vaksin Pfizer-BioNTech adalah vaksin pertama yang diluluskan untuk penggunaan di Singapura.

Singapura adalah negara Asia pertama menerima vaksin itu, yang dihasilkan bersama oleh syarikat gergasi farmaseutikal Amerika Syarikat Pfizer dan BioNTeach dai Jerman.

Vaksin itu sudah pun digunakan di Britain dan Amerika Syarikat.

Menteri Pengangkutan Ong Ye Kong hari ini (21 Dis) mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam penghantaran vaksin tersebut. "Banyak persiapan dilakukan bagi memastikan ia berjalan dengan lancar," katanya.

"Misalnya, syarikat-syarikat penyedia bersepadu kami DHL, UPS, FedEX, mereka sama ada sudah memperuntukkan, sebilangan besar sumber atau pun meletakkan ibu pejabat daerah mereka di Singapura.

"Para kakitangan, syarikat logistik kami, mereka semua dilatih mengikut piawai Persatuan Kesihatan Sedunia (WHO) supaya dapat mengendalikan jenis kargo ini secara selamat.

"Vaksin mesti disimpan pada suhu rendah - sekitar 70 darjah Selsius di bawah sifar."

SIA menyatakan sebagai sebahagian daripada percubaan yang dijalankan pada Sabtu (19 Dis) di laluan penerbangan yang sama, bekas-bekas termal atau kotak sejuk yang digunakan untuk membawa vaksin itu dijejaki bagi memantau suhu dalamannya.

Kadar pemejalwapan ais kering dalam kotak-kotak sejuk itu juga diukur, merujuk kepada proses di mana pepejal bertukar menjadi gas.

Dalam satu kenyataan media pada Isnin, syarikat penerbangan negara SIA menyatakan bahawa bekalan vaksin itu diberi keutamaan bagi pemunggahan di Brussel dan Singapura.

Ia kemudian dipindahkan ke kemudahan rantaian beku Sats iaitu Coolport, untuk penyimpanan dan penghantaran.

Naib presiden kanan SIA bagi kargo, Encik Chin Yau Seng berkata: "Penghantaran kumpulan pertama vaksin COVID-19 kepada Singapura adalah detik penting dalam perjuangan kami melawan COVID-19, dan kami berbesar hati diberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada usaha ini.

"Ia juga menunjukkan ketersediaan Singapura bagi setiap peranan penting dalam menghantar dan mengagihkan vaksin COVID-19 secara antarabangsa."

Syarikat logistik DHL Global Forwarding menyatakan dalam satu kenyataan berlainan pada Isnin bahawa ia sudah mengatur bagi vaksin-vaksin diambil dari tapak pengilangan di Puurs, Belgium.

Vaksin itu diiringi oleh para pegawai keselamatan ketika dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Kebangsaan Brussels.

Di Lapangan Terbang Changi, DHL mengendalikan pelepasan kastam dan penghantaran terakhir ke "lokasi yang dikhususkan" di Singapura.

Syarikat itu akan mengendalikan pemulangan kotak-kotak sejuk ke Eropah.

- TODAY/HA/ha

Top